Categories
SELANGOR

MBI struktur ahli lembaga pengarah anak syarikat bermula KSSB, PNSB

Oleh: AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 9 JULAI: Penstrukturan semula ahli lembaga pengarah anak syarikat Kerajaan Negeri dilakukan untuk menambah baik prestasi agensi selain ‘menggugurkan’ pekerja yang tidak produktif.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata tindakan itu juga untuk mengkaji semula prestasi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tegasnya, kajian semula hanya dilakukan jika perlu bagi menambah baik sesebuah syarikat dan tidak membabitkan syarikat yang menunjukkan prestasibaik.

“Kita akan terus memantau prestasi GLC yang menjadi sebahagian daripada sumber dan aset negeri. Kita juga perlu memberikan tumpuan kepada pengurusan dan mereka yang menguruskannya.

pic-tan-sri-khalid-tokoh-reformasi“Mesyuarat Majlis Kewangan Negara mengemukakan cadangan supaya ia dipantau,” katanya ketika mengulas berkenaan tindakan Perbadanan Menteri Besar (MBI) mengkaji semula keanggotaan ahli lembaga pengarah anak syarikat negeri.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak tersenarai di bawah MBI kerana terletak di bawah akta negeri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin, mengumumkan kedudukan pengerusi syarikat, ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi di semua anak syarikat milik penuh kerajaan Selangor yang diletakkan di bawah MBI akan dikaji semula, semalam.

Katanya, tumpuan khusus akan dilakukan ke atas keanggotaan ahli lembaga pengarah dan akan dilaksanakan secara berperingkat dan dimulakan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

faekah-husin-22Beliau berkata, tindakan MBI itu selari dengan prinsip pentadbiran telus dan bertanggungjawab yang diamalkan Selangor sejak 2008 yang memperlihatkan Kerajaan Negeri berupaya meningkatkan tahap kecekapan dalam aspek perbelanjaan serta pengurusan.

“Langkah ini bagi memastikan ahli lembaga pengarah yang dilantik terdiri daripada profesional berkelayakan dan berpengalaman yang berupaya membawa anak syarikat terbabit serta MBI ke tahap yang lebih tinggi. Lebih penting lagi, mampu membawa polisi dan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Ia juga bertujuan memperkasa peranan dan fungsi ahli lembaga pengarah melalui suntikan idea yang boleh merangsang perkembangan syarikat, sekali gus membawa manfaat kepada negeri dan rakyat Selangor,” katanya.

Terdapat 12 anak syarikat MBI iaitu KSSB, PNSB, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSSB) dan Tourism Selangor Sdn Bhd.

Selain itu, Rantaian Mesra Sdn Bhd, Majlis Sukan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad dan Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.