Categories
SELANGOR

Perpustakaan Awam Anggerik Vanilla tawar keahlian percuma hingga 31 Disember

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi perpustakaan awam pertamanya, Perpustakaan Anggerik Vanilla yang terletak di Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad, berkata perpustakaan yang terletak bersebelahan pejabat cawangan MBSA itu turut menawarkan promosi keahlian percuma kepada orang ramai sehingga 31 Disember tahun ini.

Katanya, segala proses peminjaman buku dapat dipermudahkan dan pemakluman berkenaan aktiviti terbaru juga dapat disampaikan dengan mudah dan cepat dengan kad keahlian.

pesta buku 01“Ini adalah perpustakaan awam yang pertama dibuka MBSA untuk manfaat masyarakat setempat. Pelbagai buku tempatan dan luar negara disediakan sebagai bahan bacaan serta rujukan pelbagai peringkat umur kepada pengunjung perpustakaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrin berkata, yuran keahlian akan dikenakan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ahli selepas 31 Disember ini.

Bagi orang dewasa, yuran keahlian yang dikenakan adalah RM15 untuk pendaftaran dan RM5 dikenakan bagi pembaharuan setiap tahun, kanak-kanak pula dikenakan RM5 bagi pendaftaran dan pembaharuan setiap tahun, manakala golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) serta warga emas adalah percuma.

“Pelbagai program dan aktiviti sampingan dianjurkan di perpustakaan ini antaranya Program Riang Ria Cuti Sekolah, Lab Interaktif dan Aktiviti Kraf Kreatif Kanak-Kanak

MBSA-Shahrin Ahmad“Penganjuran program seperti ini mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penduduk sekitar terutama pada musim cuti sekolah,” katanya.

Perpustakaan Anggerik Vanilla akan beroperasi pada hari Selasa hingga Jumaat jam 8.30 pagi hingga 5 petang dan ditutup selama satu jam bermula jam 1 tengah hari kecuali Jumaat, yang mana akan ditutup bermula jam 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang.

Sementara itu, pada setiap Sabtu minggu kedua dan keempat pula, perpustakaan akan beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

Perpustakaan tidak akan beroperasi pada Sabtu minggu pertama dan ketiga, selain Ahad dan Isnin serta cuti umum.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan Perpustakaan Anggerik Vanilla MBSA, orang ramai boleh menghubungi Unit Perpustakaan, Bahagian Pembangunan Masyarakat, Jabatan Korporat & Pembangunan Komuniti, Rafida Abdul Rahman di talian 013-3685345.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.