Categories
NASIONAL

Isu Gaza juga perlu dibincang dalam Sidang Khas Parlimen

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JULAI: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa usul berhubung konflik di Gaza dapat dibahaskan sekali dalam Sidang Parlimen tergempar berkenaan tragedi MH17.

Beliau berkata, Gaza juga adalah satu lagi tragedi kemanusiaan yang memerlukan perhatian pihak antarabangsa.

gazaKatanya, Malaysia perlu memperlihatkan ketegasan dalam isu keadilan, keamanan dan hak kemanusiaan terutama negara adalah calon kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Pakatan Rakyat (PR) sudah lama mahu membawa usul ini, namun tidak dilayan kerajaan. Konflik di Gaza sehingga kini meragut ratusan nyawa termasuk wanita, kanak-kanak dan warga tua,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat MH17, pada 17 Julai lalu.

Beliau dalam perutusan khas yang disiarkan RTM 1 berkata, sidang tergempar itu adalah bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap tragedi malang itu.

MH17 aKatanya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas serta tidak bertanggungjawab itu.

Pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan ditembak jatuh di Timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, konflik di Gaza sehingga kini mengorbankan ratusan orang awam dan puluhan kanak-kanak selain ribuan lagi cedera, yang mana kebanyakannya akibat dibedil askar Zionis.

Smoke and fire from an Israeli bomb rises into the air ove Gaza CityTentera Zionis juga sejak semalam sejurus tragedi MH17 mula melancarkan serangan darat ke atas bumi Gaza.

Walaupun dikecam masyarakat dunia, sekutu kuat Israel, Amerika Syarikat bagaimanapun memberikan restu kepada mereka.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry ketika menelefon Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengatakan sokongannya terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri daripada serangan ‘pihak pengganas’.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.