Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Raya Aidilfitri oleh MB Selangor

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahitaala Wabaraktuh, dan Salam Bahagia.

Dengan tulus dan ikhlas, saya dan isteri, mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri” tahun 1435 Hijrah, bersamaan tahun 2014, kepada seluruh muslimin dan muslimat di negeri Selangor, juga di Malaysia.

MB berbuka di Masjid Al-Rahman Pandamaran Jaya (117)aSaya dan barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri Selangor memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana memberi kesempatan kepada kami untuk meneruskan pentadbiran penggal keduanya di negeri ini. Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, kita dapat menjayakan pelbagai program dan aktiviti demi kesejahteraan penduduk dan kemakmuran negeri ini yang kita kasihi.

Sejak menerajui Kerajaan Negeri ini pada Mac 2008, kami sedar penduduk di negeri yang termaju dan terkaya ini, sebenarnya berhak menikmati limpahan daripada hasil negeri. Sehubungan itu, melalui dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang dilancarkan pada Jun 2008, pelbagai program, skim dan insentif dilaksanakan bagi manfaat anak jati Selangor dan rakyat negeri lain juga yang menetap di Selangor.

Hakikatnya, sekitar empat juta orang daripada lebih 5.7 juta orang penduduk di negeri Selangor menerima manfaat daripada sekurang-kurangnya satu program atau skim dalam Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor ini. Pemberian air percuma sehingga 20 meter padu setiap bulan adalah bantuan yang dinikmati oleh semua lapisan penduduk di rumah kediaman yang bermeter individu.

Golongan berpendapatan di bawah RM5 ribu sebulan menikmati pelbagai bantuan lagi yang disediakan. Misalnya, mereka layak memohon membeli rumah mampu milik yang sedang dibina di beberapa daerah.

Bantuan dalam bentuk latihan dan kemahiran pula diberikan kepada golongan belia menganggur, ibu tunggal, orang kurang upaya, pesara dan orang Asal bagi membolehkan mereka berniaga secara kecilan atau memohon pekerjaan yang sesuai. Usaha dan tindakan ini dilakukan disebabkan golongan ini terus terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang masih gagal disekat oleh pihak yang berwajib.

Mulai tahun 2014 ini, beberapa program baharu dilancarkan. Antaranya, program memperkasa pembangunan kampung-kampung tradisi dan baru. Usaha ini dilakukan bagi meningkatkan pendapatan per kapita penduduk luar bandar agar setanding dengan pendapatan penduduk di bandar-bandar. Tambahan pula kajian kami mendapati program pembangunan luar bandar oleh Kerajaan Pusat gagal meningkatkan pendapatan rakyat kampung atau desa.

Kerajaan Negeri juga sedang membina Jambatan Klang Ketiga bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas pergi-balik di laluan Bandar Diraja Klang dengan Pelabuhan Klang dan Petaling Jaya, termasuk kawasan persekitaran Bandar. Kita akan mengadakan majlis rasmi pada 6 Ogos ini bagi menandakan projek ini sudah bermula. Jambatan ini dijangka siap untuk kegunaan dua tahun dari sekarang.

Sebagai peneraju Kerajaan Negeri yang terkaya dan termaju , saya wajar mengingatkan diri saya dan rakyat supaya kita menghormati institusi raja berperlembagaan sebagai pemerintah negeri ini dan terhadap barisan pemimpin yang menerajui kerajaan negeri sekarang.

Allah berfirman dalam surah an-Nisaa, ayat 59, yang antara lain maksudnya; “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah rasul juga taatilah para penguasa. Apabila kamu berselisih faham dalam sesuatu perkara kembalilah kepada Allah dan al-Quran dan rasulnya…”

Berdasarkan situasi di negeri Selangor yang penduduknya berbilang kaum dan berbilang agama, di kesempatan ini saya menyeru setiap warga negeri ini supaya bersikap hormat menghormati, bersikap adil dan tidak menghina adat dan sembahan keturunan atau agama masyarakat lain.

Sebagai orang Islam, kita mesti mematuhi maksud perintah Allah dalam surah al-Hujarat, ayat 12, bahawa Allah Subhanahuwataala melarang manusia bersikap buruk sangka, berhasad dengki dan memfitnah. Manakala pada ayat 13, Allah mengingatkan bahawa Allah mencipta manusia berjenis lelaki dan perempuan dalam berbagai-bagai bangsa dan suku supaya kita saling mengenal.

Sehubungan ini, saya berharap agar amalan kunjung mengunjung pada hari-hari perayaan kaum perlu dijayakan oleh rakyat Selangor. Mudah-mudahan amalan begini dapat mewujudkan kefahaman yang mampu menghindar sikap prasangka atau perbuatan ‘menghina’ adat dan perlakuan agama dan budaya kaum lain.

Dalam bidang politik pentadbiran pula, pemimpin sentiasa bersilih ganti manakala kerajaan yang memerintah kerap bertukar corak dan gaya. Bagaimanapun, peralihan pemimpin dan kerajaan terbukti lebih lancar dan menguntungkan rakyat dan negara sekiranya ditentukan oleh majoriti rakyat melalui pilihan raya umum.

Di kesempatan ini juga, saya mewakili Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor merakamkan salam takziah kepada ahli keluarga, rakan serta kenalan para penumpang dan anak kapal MH17 dan tidak lupa juga penumpang dan anak kapal MH370.

Doa dan ingatan kami sentiasa bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangan para penumpang serta anak kapal. Dan kita berdoa semoga Roh mereka dirahmati Tuhan.

Sebagai menghormati mangsa-mangsa tragedi ini, Kerajaan Selangor membatalkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang sepatutnya diadakan pada 1 Syawal seperti tahun-tahun sebelum ini.

Ini sebagai tanda Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor turut berkongsi kesedihan dan kedukaan yang diratapi anggota keluarga dan rakan mangsa tragedi MH17 dan MH370.

Sekianlah sahaja. “Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin”.
Wassalamulaikum Warahmatulahitaala Wabarakatuh, dan Salam Perpaduan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.