Categories
SELANGOR

Program Kayuhan Merdeka terap gaya hidup sihat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 26 JULAI : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menganjurkan Program Kayuhan Merdeka sebagai simbolik terhadap sambutan bulan kemerdekaan ke-57 tahun, pada 23 Ogos ini.

Program yang turut mendapat kerjasama syarikat IOI Properties Sdn Bhd itu akan bermula seawal jam 7.30 pagi bertempat di The Cube, Bandar Puteri Puchong,

Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Muhammad Azli Miswan, berkata ia bertujuan menerapkan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat melalui aktiviti sukan kayuhan basikal secara berkumpulan.

IOI CRU Cycling Event (1)Katanya, program ini dianjurkan tepat pada masanya kerana dapat menggalakkan lagi penggunaan basikal untuk tujuan riadah kepada masyarakat, di samping mengaktifkan lagi hujung minggu mereka dengan aktiviti bermanfaat.

“Program berbentuk santai ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori keluarga, yang mana ibu bapa boleh membawa anak berumur tujuh tahun dan ke atas mengikuti kayuhan bersama-sama.

“Manakala kategori umum terbuka kepada individu berumur 15 tahun dan ke atas serta terbuka kepada kelab basikal seluruh Malaysia. Bagi kategori umum jarak kayuhan adalah 15 kilometer (km), manakala kategori keluarga adalah sejauh 6km sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Azli berkata, penyertaan adalah percuma dan peserta dikehendaki menggunakan basikal yang dilengkapi ciri keselamatan iaitu mempunyai brek dan bertopi keledar.

Katanya, pendaftaran bermula pada 18 Julai hingga 15 Ogos ini dan boleh dibuat secara talian di laman sesawang www.myioi.com/merdekafunride atau hubungi talian 03-8064 8833 atau email ke [email protected].

MB-Cycle Fest MPSJ“Sebanyak 300 penyertaan awal akan menerima hadiah istimewa iaitu beg hadiah dan kemeja-t percuma daripada pihak penganjur. Orang ramai yang berminat dijemput menyertai program ini, di samping berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik dan jualan basikal dengan harga istimewa,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan MPSJ di talian 03-8024 7700 atau Urus Setia program di talian 03-8026 4462/4469.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.