Categories
NASIONAL

Rakyat Malaysia perlu kikis sikap sambut Aidilfitri serba baru

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 JULAI: Umat Islam di negara ini masih berpeluang merayakan sambutan Aidilfitri dalam suasana meriah walaupun berjimat cermat.

Bersesuai dengan bulan Ramadan sebagai bulan tarbiyyah dan penghulu segala bulan yang penuh dengan keberkatan, umat Islam wajar membudayakan amalan berjimat dalam setiap perbelanjaan.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengikis kebiasaan dan tradisi menyambut Aidilfitri dengan pakaian dan kelengkapan rumah serba baru.

org beli baju raya 12 jul 01Katanya, perbelanjaan perlu dibuat secara berhemah dengan membuat penilaian berdasarkan pendapatan dan tabungan mereka, bahkan hasil berjimat di bulan Ramadan juga boleh menampung keperluan perbelanjaan menyambut Aidlifitri.

“Ramai di kalangan kita berbelanja sakan untuk juadah serta sering berbuka di luar. Sedangkan semua tahu seusai ramadan, kita akan menyambut Aidilfitri dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar.

“Perkara ini dapat diatasi jika mereka mengamalkan budaya berjimat ketika bulan ramadan dengan membelanjakan lebihan duit itu untuk menampung keperluan dan perbelanjaan untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Yusof berkata, masyarakat juga perlu mengelak menggunakan gaji semasa untuk persiapan perbelanjaan Aidilfitri, bahkan bagi yang mempunyai bajet terhad, memadai jika memakai pakaian raya tahun lalu jika masih dalam keadaan baik.

“Sebagai contoh baju melayu, ramai di kalangan kita hanya memakainya pada hari raya dan mungkin beberapa kali sahaja untuk majlis rasmi. Jadi apa salahnya, baju melayu yang sama diulang pakai untuk raya berikutnya.

“Buanglah tradisi raya semua benda perlu diganti sehingga seseorang itu terpaksa berbelanja lebih daripada kemampuan yang akhirnya terjerat hutang,” katanya.

FOMCAMohd Yusof juga menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika berbelanja untuk persiapan hari raya di karnival jualan murah.

Katanya, sebahagian pusat membeli belah mengadakan jualan murah lebih kepada gimik untuk menarik pengguna untuk datang, tetapi harga barangan yang ditawarkan selepas diskaun tidak berbaloi untuk pengguna.

“Pengguna perlu bijak membuat tafsiran sama ada peratusan diskaun yang tawarkan itu tulen. Pengalaman FOMCA, sebahagian pusat membeli belah menaikan harga sesuatu barangan terlebih dahulu dan selepas ditawarkan diskaun setinggi 70 peratus harganya masih sama atau kurang sedikit daripada harga asal.

“Dalam situasi ini, pengguna perlu bijak merancang kewangan dan membuat pilihan rasional dalam berbelanja. Dinasihatkan supaya pengguna membawa wang secukupnya serta tidak terlebih berbelanja,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.