Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Hijrah Selangor tawar pembiayaan sehingga RM20,000 sempena Ramadan, Syawal

SHAH ALAM, 18 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan program pembiayaan sehingga RM20,000 kepada usahawan negeri ini yang layak sempena Ramadan dan Syawal.

Pengurus Promosinya, Mohd Ridhwan Asmara berkata permohonan skim i-Bermusim dibuka mulai 25 Februari hingga 25 Mac ini bagi permohonan beroperasi di bazar Ramadan manakala bagi ekspo Aidilfitri pula tarikh tutupnya akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata, program pembiayaan ini memberi peluang kepada golongan terbabit memperoleh modal perniagaan bagi beroperasi di bazar Ramadan dan ekspo Aidilfitri.

“Pinjaman dari RM1,000 sehingga RM20,000 hanya diberi kepada peniaga yang mempunyai permit sah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain mempunyai premis perniagaan, hanya satu pembiayaan diberikan dalam perniagaan berbentuk perkongsian,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata tempoh kelulusan bagi pembiayaan bawah RM5,000 mengambil masa kurang tujuh hari manakala pinjaman melebihi jumlah tersebut sekitar dua minggu.

“Tempoh pembiayaan pula sehingga 25 minggu atau enam bulan dengan caj perkhidmatan satu peratus dikenakan setiap bulan dan bayaran balik adalah secara mingguan,” katanya.

Permohonan boleh dibuat dengan menghubungi mana-mana pegawai pembiayaan Hijrah di cawangan berhampiran.

Berikut dokumen diperlukan:

– Dua keping gambar berukuran pasport
– Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
– Salinan lesen SSM/PBT atau salinan perjanjian membabitkan aktiviti perniagaan
– Salinan penyata akaun bank atau muka depan buku akaun
– Salinan bil utliti premis dan tempat tinggal

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK sedia 887 petak bazar Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyediakan 887 petak bazar Ramadan membabitkan 12 lokasi pada tahun ini, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Norfiza Mahfiz memaklumkan pihak berkuasa itu turut menyediakan 300 petak bazar Aidilfitri di dua lokasi lain iaitu di Jalan Taiping dan Lorong Selamat.

Menurutnya, permohonan tapak bazar Ramadan dibuka mulai 1 hingga 28 Februari manakala bazar Aidilfitri dari 28 Februari sehingga 11 Mac.

“Bayaran yang dikenakan adalah RM150 bagi tapak yang tidak digunakan untuk pasar malam, manakala RM130 bagi tapak pasar malam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga dan pelanggan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pengoperasian bazar berkenaan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Pihak MPK amat mengambil berat pematuhan SOP bagi memastikan tiada isu berbangkit berkaitan wabak dan pada masa operasi bazar berjalan lancar.

“Semua peniaga dan pelanggan yang dibenarkan berniaga serta masuk ke kawasan tapak perlu menunjukkan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan mereka lengkap suntikan pelalian,” katanya.

Borang permohonan boleh didapati melalui sistem permohonan permit perniagaan sementara dengan melayari pautan https://iportal.mpklang.gov.my/PermitOnline.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Boleh sambut Aidilfitri, gelombang Omicron dijangka turun sebulan lagi

PUTRAJAYA, 7 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan gelombang penularan Omicron dapat diturunkan sebulan atau dua bulan lagi sekali gus membolehkan sambutan Aidilfitri pada awal Mei depan tanpa sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia bergantung kepada pematuhan langkah pengawalan oleh rakyat termasuk mengambil dos penggalak dan mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.

“Ini semua tentang tingkah laku, saya tahu ramai risau tentang raya dan sebagainya, tetapi jika kita memainkan peranan penting, dapatkan dos penggalak, vaksin anak-anak, kita jangka akan dapat stabilkan pandemik dalam masa sebulan atau dua bulan lagi, kalau Omicron dapat diturunkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Ia mungkin memberi kelegaan kepada orang ramai yang mula meluahkan kebimbangan tidak dapat menyambut Aidilfitri tahun ini disebabkan peningkatan mendadak kes Covid-19 akibat Omicron.

Pada 23 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya tahun ini.

Memberikan data mengenai penularan kes Covid-19 di beberapa negara lain, Khairy berkata peningkatan kes akibat Omicron bukan hanya berlaku di negara ini, tapi turut berlaku di beberapa negara seperti Singapura yang melaporkan lebih 13,208 kes baharu pada 4 Feb lepas, tiga kali ganda berbanding hari sebelumnya.

Pada 5 Feb, Korea Selatan pula melaporkan kes harian sebanyak 38,670 kes, Indonesia (33,729 kes), Thailand (10,879 kes), Filipina (7,469 kes), Australia (22,985 kes) dan Jepun 102,275 kes.

“Jadi gelombang Omicron, bukan hanya berada di Malaysia, bukan ‘konspirasi KJ’ untuk menafikan Hari Raya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy meluahkan keyakinan negara masih berada di landasan betul dalam menguruskan gelombang Omicron.

Tegasnya, peningkatan kes buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, walaupun negara kini berhadapan dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

Ini sebahagian besar disumbangkan oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 60 kluster perayaan, lebih 3,000 positif Covid-19

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 60 kluster perayaan membabitkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai dikesan sepanjang 13 Mei hingga hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 58 kluster Aidilfitri dan dua sambutan Gawai itu merekodkan 3,511 kes positif selepas 13,023 individu disaring.

Jelasnya Sabah mencatatkan bilangan tertinggi dengan 11 kluster, diikuti Sarawak (lapan) dan Kedah (tujuh).

“Sebanyak 20 kematian dilaporkan dari kluster kategori ini dan sehingga kini 11 kes masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Peningkatan kes dan kematian dari kluster ini adalah serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh singkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes akan terus meningkat sekiranya masyarakat masih leka dan tidak mengambil iktibar dari perkara ini.

“Kita wajar contohi negara jiran yang berjaya kawal situasi pandemik hasil kerjasama semua pihak dan kepatuhan tinggi kepada tatacara operasi piawaian (SOP).

“Oleh itu rakyat digesa kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak selain mendaftar pengambilan vaksin bagi membentuk imuniti kelompok,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Keluarga asnaf seronok beraya rumah baharu percuma

KETIKA umat Islam girang merai pagi Aidilfitri, keluarga Rohaya Atan, 41, dan suami A’adila Abd Aziz, 48, sibuk menadah baldi.

Rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor kerap dimasuki air hujan dek atap zink telah berkarat. Bocor sana sini.

Dibina abang Rohaya kira-kira 30 tahun lalu, mereka membeli pada harga RM900, itu pun secara ansuran selama 10 bulan. Kini, rumah itu hanya menunggu masa menyembah bumi.

Tapi itu dulu. Kali ini, mereka berhari raya di rumah baharu sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi lengkap kemudahan elektrik dan air.

Air paras betis

Setiap kali air pasang, dapur dan bilik air digenangi air separas betis berhari-hari lamanya. Kadang-kala sampai berminggu-minggu.

Kedudukan rumah di antara pinggir sungai dan tambakan jalan berturap menyebabkan air tertampung. Lambat mengalir.

Bahkan, dinding dan lantai papan rumah kayu pula kian rapuh dimakan anai-anai. Salah melangkah, kaki lobos ke bawah.

Kediaman lama keluarga Rohaya Atan di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor yang kerap dimasuki air hujan dek atap zink telah berkarat

Setiap kali hujan, anak-anak yang mahu ke sekolah juga terpaksa memijak batu besar untuk menyeberang ke jalan.

Lebih-lebih lagi Zaifitri A’adila, anak bongsu berusia sembilan tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal sejak lahir.

Rumah itulah didiami bersama lima anak berusia antara sembilan hingga 23 tahun. Di situlah mereka menyambut Aidilfitri sekian lama, hanya ala kadar.

Bukan tidak teringin tetapi jangankan rumah baharu, belanja harian pun selalu sangkut. Mujur ada bantuan bulanan LZS untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Berapalah sangat pendapatan nelayan pantai. Setiap kali turun ke laut dapatlah sekitar RM35. Itupun kalau cuaca baik. Kalau cuaca buruk atau musim tengkujuh, berhari-hari tidak ke laut. Mereka makan apa yang ada. Selalunya sayur yang dikutip sekitar kampung, ikan masin dan ikan pekasam yang dibuat sendiri.

Justeru, mereka gembira tidak terkata apabila ditawar rumah baharu percuma sumbangan LZS. Syukurnya tidak terkira. Mereka berterima kasih kepada LZS dan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin yang banyak membantu.

“Macam bermimpi. Dahulu, tidak pernah terfikir dapat memiliki rumah sendiri kerana saya tidak mampu.

“Anak-anak tidak sabar mahu raya walaupun persiapan ala kadar sahaja,” kata Rohaya kepada Selangorkini.

Pada Oktober tahun lalu, mereka dengan penuh ceria berpindah ke rumah bernilai antara RM86,000 hingga RM90,000.

Tidak terlintas

Seperti jiran mereka, rumah Rahmat Idris, 59, juga usang dan sering dinaiki air. Bersama isteri dan enam anak berusia 30 hingga 15 tahun, mereka mendiami rumah itu 12 tahun lamanya.

Dengan menjual besi, tin aluminium, barangan plastik di pusat kitar semula selain menjual daun nipah kepada peniaga otak-otak, impian memiliki rumah sempurna telah lama luput dari hasrat.

Rahmat Idris gembira menerima rumah baharu sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor

Tidak pernah terlintas LZS memberi rumah buat mereka. Basikal, kenderaan untuknya untuk mencari bahan terbuang pun hasil bantuan agensi itu.

“Tidak sangka boleh dapat rumah sendiri. Kalau ikut kemampuan, tidak tahulah bila boleh ada rumah sendiri. Berapa sangatlah pendapatan jual besi buruk,”
katanya.

Selain mereka, seramai 11 lagi keluarga asnaf fakir dan miskin di Kampung Baru Pasir Penambang di sini menerima rumah sedemikian.

Lebih mengujakan mereka, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sendiri menyampaikan simbolik kunci rumah kepada mereka pada 24 April.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Nostalgia raya di desa, sambutan penuh meriah

TIAP kali Syawal menjelma, rumah pusaka tinggalan ibu bapa yang didiami Mardiana Abdullah, 37, riuh rendah dengan kehadiran sanak keluarga.

Dengan bilangan 11 beradik, ditambah anak saudara yang berbelas-belas, pelbagai ragam dan keletah berlaku sepanjang mereka berkumpul.

Memang menjadi tradisi untuk sembilan adik beradiknya yang tinggal di luar Pahang pulang merai Aidilfitri setiap tahun di rumah pusaka itu.

Ia menjadi rutin tidak boleh tidak sejak ibu bapa mereka, Abdullah Ibrahim dan Salmah Ismail, meninggal dunia pada 2008 serta 2011. Menjadi kelaziman adik beradik di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pulang ke rumah pusaka itu.

Menjelang Aidilfitri, semua adik-beradik termasuk ipar duai berhimpun. Mereka bergotong-royong. Ada yang mengemas, ada yang memasak. Riuh rendah suara memenuhi rumah.

Menu wajib setiap tahun adalah rendang ayam atau rendang daging dan kuah kacang untuk digandingkan bersama ketupat, nasi impit serta lemang. Belum ditambah menu sampingan seperti laksa dan bihun sup yang memenuhi meja buat menjamu tetamu.

Paling sibuk selepas berbuka puasa pada malam 1 Syawal kerana itulah saat akhir untuk mereka membuat persiapan akhir sebelum menyambut tetamu keesokannya.

Yang tua sibuk di dapur manakala anak kecil berlari bermain bunga api. Halaman rumah turut dihias indah. Pelita disusun mengerdip suasana malam.

Santak ke pagi

Mereka melakukan kerja sambil bergebang, berkongsi cerita itu ini santak ke pagi. Habis kisah masa kecil dikenang, dari cerita manis atau pahit sekalipun. Sesekali ketawa berderai.

Yang pasti, abang keduanya Hairy paling terakhir melelapkan mata. Beliau bertanggungjawab menjaga ketupat dan nasi impit. Adakalanya sampai jam 5 pagi.

Ruang tamu tempat mereka berehat. Tidur bersepah di setiap sudut. Bergelimpangan antara satu sama lain. Ada berbantal, ada hanya berselimut di lantai. Kedudukan juga tidak tersusun. Namun, itu bukan masalah sebaliknya kebahagiaan begitu terasa.

Mardiana Abdullah

“Walaupun berselerak dan kelihatan tidak selesa, namun itu antara momen indah yang sukar dilupakan,” kata Mardiana kepada Selangorkini baru-baru ini.

Usai Subuh pagi Syawal, ‘drama’ berebut bilik air pasti berlaku. Tidak kira tua muda, satu bilik air pasti direbut hingga kaedah nombor penggiliran terpaksa dibuat.

Selepas solat sunat Aidilfitri, mereka saling bermaafan. Yang sulung mengetuai, pengganti ibu bapa yang telah pergi. Bagi kanak-kanak, itulah saat paling dinanti – sesi pemberian duit raya.

Menjadi kewajipan mereka mengenakan baju warna sedondon di pagi Aidilfitri. Pemilihan warna dibuat sepakat meski fesyennya berbeza-beza.

Acara wajib pastinya mengabdikan foto kenangan. Bergaya dengan pelbagai aksi walau hanya berlatar belakang suasana desa.

Hampir keseluruhan keluarga besar itu minat menyanyi. Pada malam raya mereka mengadakan karaoke selain menghabiskan sesi malam dengan aktiviti BBQ, membakar ayam dan ikan.

“Ini acara kemuncak keluarga kami. Walau hanya pertandingan antara adik beradik, kami tetap sediakan hadiah sebagai sokongan antara satu sama lain.

“Lagu dikumandang bukan hanya lagu raya. Semua irama dinyanyikan, konon tunjuk kehebatan vokal masing-masing,” kata suri rumah itu sedikit tertawa.

Sambutan Syawal juga dimeriahi dengan permainan sampul raya bertuah. Seorang dari mereka akan menerima duit raya dengan nilai tertinggi.

“Kami diberi pilihan ambil sampul raya yang sudah diletakkan sejumlah wang. Lepas ambil sampul itu, pasti suasana gamat dengan sorakan kerana semua mahu tahu nilai duit raya yang diterima.

“Yang bertuah akan terima duit raya terbanyak. Acara itu bukan sahaja membuatkan rumah menjadi riuh malah hubungan kami semakin erat” katanya.

Sekatan PKP

Namun, kemeriahan itu tidak dapat diteruskan tahun lalu. Barangkali juga tahun ini. Penularan wabak Covid-19 pada awal 2020 menyebabkan pergerakan rentas negeri disekat melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Kali ini, anak keenam itu hanya beraya bersama suami Azman Jamaluddin, 40, dan adik bongsu, Mohd Fahmi, 24, yang turut menetap di rumah pusaka itu.

Sama sekali berbeza. Raya dirai secara sederhana. Pagi Syawal jadi begitu hambar. Tiada menu istimewa, tiada lagi baju raya sedondon.Tiada sesi bermaafan, bergambar apatah lagi.

“Terngiang-ngiang suara anak-anak buah berlari bermain mercun. Suara mereka meminta duit raya.

“Dapur sunyi. Hanya saya seorang. Kalau tidak, kami semua akan berbual hingga jam dua tiga pagi,” keluhnya.

Tahun lalu, mereka menyambut raya bersama adik beradik hanya melalui panggilan video telefon bimbit. Dapatlah menatap wajah, mendengar suara paling tidak.

Kerinduan itu hanya benar-benar terubat apabila sambutan Aidiladha pada Jun tahun lalu lantaran pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Mereka berharap sambutan kali ini kembali meriah. Tiada lagi halangan untuk rentas negeri. Meski sedar kemungkinan itu tipis ekoran peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini, mereka berharap nostalgia beraya di desa, di rumah pusaka bukan lagi angan-angan.

Categories
RENCANA WAWANCARA

10 tahun sambut Syawal di destinasi percutian

BUKAN kampung halaman yang dituju. Bukan lemang, ketupat mahupun rendang dicari. Begitulah Errah Amran sejak lebih 10 tahun lalu setiap kali fajar Aidilfitri menyinsing.

Bersama ibu dan kakak, mereka memilih lokasi menarik untuk ‘berhari raya’ meski terpaksa ‘berkelana’ berpuluh-puluh kilometer.

Menetap di Pulau Pinang, mereka bertiga lazimnya memilih Cameron Highlands, Ipoh dan Kuala Lumpur sebagai destinasi raya.

“Cameron Highlands antara destinasi percutian yang kami gemari. Walaupun banyak restoran dan tempat menarik tutup, kami makan di restoran makanan segera dan menikmati suasana dingin bersama.

“Hanya pagi raya sahaja suasana lebih sunyi, namun hari-hari seterusnya keadaan kembali sesak. Sebab itulah kami pilih pagi Aidilfitri untuk bersiar-siar,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Errah, 37, menganggap perayaan itu waktu terbaik buat mereka sekeluarga meluang masa bersama dan bergembira tanpa perlu bersesak-sesak.

“Pernah juga kami berhari raya di KLCC dan menghabiskan masa dengan ‘window shopping’. Kami juga ronda sekitar ibu kota yang sunyi kerana rata-rata penduduk balik kampung,” katanya.

Walaupun kebanyakan kedai tutup, mereka tidak berdepan masalah untuk makan, misalnya. Bahkan lebih seronok. Tenang, tidak payah berebut-rebut.

Errah mengakui ramai kalangan rakan tertanya-tanya mengapa mereka sekeluarga tidak menziarah saudara-mara pada pagi Syawal, tradisi turun-temurun pagi Aidilfitri.

“Kami sudah tidak ada datuk dan nenek. Saudara-mara pula sibuk dengan keluarga masing-masing. Sebab itu, kami tidak mahu ganggu mereka. Jadi, saya luangkan masa dengan keluarga sendiri,” katanya.

Hanya selepas percutian sehari dua itu berakhir, ketika mereka dalam perjalanan pulang singgah beraya ke rumah sanak saudara di Tapah, Perak.

“Raya ‘kan sebulan, jadi tak perlu kalut untuk melakukan aktiviti ziarah,” kata Errah, sedikit tertawa.

Lawat destinasi

Pengalaman Fauzan Azwan ‘tersangkut’ di Petaling Jaya akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu mencetus idea untuk merancang percutian tahun ini.

Sememangnya guru bahasa Arab itu tidak pernah berenggang dengan keluarga setiap kali musim perayaan. Tetapi kali ini, terasa mustahil untuk balik kampung.

Beliau bercadang bersiar-siar ke destinasi menarik di Selangor. Sawah padi, pusat beli-belah, hotel dan kafe menarik, semua tersedia. Justeru, beliau dan rakan-rakan mahu melawat Pekan Sekinchan, Elmina Valley, Tamarind Square, Taman Eko Rimba Kanching dan beberapa kafe hipster.

Beliau sudah menempah hotel kontena di Sekinchan, Sabak Bernam. Namun, pelaksanaan PKP enam daerah di Selangor menyebabkannya terpaksa menukar pelan.

“Saya akan kekal di daerah Petaling, mungkin duduk di Concorde Shah Alam yang tawarkan pakej waktu raya. Lagipun dekat dengan masjid negeri. Senang untuk solat raya. Selepas mungkin ronda Kawasan sekitar PJ dan Shah Alam. Ada banyak tempat menarik di situ,” katanya.

Bagi Fauzan, asal dapat bersiar-siar sambil melaram, beliau puas hati. Namun, jauh di sudut hati, beliau berharap suasana sedemikian tidak berulang tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Habsah Hassan sedih lirik lagu raya moden hilang syahdu

SAMBUTAN Aidilfitri tidak lengkap tanpa iringan melodi dan bait puitis yang menghidupkan suasana. Tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, lagu raya lama kekal jadi pilihan ramai merentasi peredaran zaman.

Wartawan Afix Redzuan dan jurufoto Hafiz Othman menemu bual penulis lirik tersohor Datuk Habsah Hassan mengupas isu lirik lagu raya.

Mengapa lagu Aidilfitri lama terus popular berbanding lagu sekarang terutama dari segi lirik?

Saya rasa kerana kebanyakan penulis muda tidak mempunyai pengalaman yang dekat dengan kehidupan dan budaya Melayu lama sebenarnya. Apatah lagi lahir dan membesar dalam era baharu di tengah bandar.

Lagu lama ada jiwanya tersendiri kerana hari raya hari istimewa bagi orang Islam dan dirai orang Melayu di Malaysia.

Biasanya lagu raya berkisar pada pengalaman beraya semasa kecil, remaja, dewasa dan kenangan indah atau sayu bersama ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai.

Kemanisan perhubungan ini yang selalu dijadikan gambaran di samping sentuhan terhadap iman, keindahan alam, desa, masyarakat dan budaya Melayu.

Ciri-ciri ini kurang ditemui dalam lagu baharu. Saya rasa tidak boleh disalahkan mereka (penulis lirik baharu). Mungkin kurang pendedahan, pengalaman dan pembacaan menyebabkan penghayatan mereka terhadap “roh” hari raya sedikit hambar.

Contohnya, lagu Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarhamah Saloma, Suara Takbir dan Dendang Perantau nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Lagunya ringkas liriknya mudah tetapi hingga ke hari ini, tanpa lagu-lagu itu, kita dapat rasakan seolah-olah tiada suasana raya.

Sekitar 1970-an, 1980-an dan 1990-an, ada juga lirik lagu-lagu raya yang saya tulis. Kami juga tidak lari dari nostalgia. Alhamdullillah ada antaranya diterima baik dan menjadi malar segar.

Walaupun generasi baharu tidak melalui apa yang kami lalui tetapi mereka nampaknya boleh terima lagu-lagu raya begitu. Antaranya Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina), Sepasang Kurung Biru (Khairil Johari Johar) dan Selamat Hari Raya (Rahimah Rahim).

Selain Suara Takbir yang wajib, lagu-lagu raya lama seolah-olah menjadi “Signature Tune”. Penghayatan penulis terhadap suasana raya boleh melahirkan seni kata yang menyentuh hati.

Sejauh mana pengalaman dan kekuatan melodi menjadikan sesebuah lirik indah?

Hari raya suatu hari yang syahdu, indah dan gembira. Jadi, melodi dan lirik harus jalan seiring. Tidak mengapa komposer generasi baru memilih irama rancak dan penulis lirik melakar seni kata yang mudah dan ringkas. Trend muzik memang sentiasa berubah. Yang penting melodi, tema dan kupasan lirik, cerita di sebalik lagu harus menyentuh naluri pendengar.

Sebab itu, saya katakan lagu-lagu nyanyian Allahyarhamah Saloma tentang kegembiraan, mercun dan kuih-muih adalah perkara yang dilalui sejak dahulu hingga sekarang. Macam lagu Suara Takbir (mengisahkan) takbir itu sendiri. Kesayuan kita sedang menyambut hari raya apatah yang kehilangan ibu bapa atau insan tersayang.

Melodi dan lirik yang seiring menyulam rasa serta menghasilkan karya yang cantik.

Apakah lirik lagu kegemaran Datuk?

Saya sebenarnya ada banyak lagu kegemaran contohnya Dendang Perantau. Walaupun saya dibesarkan di Singapura tetapi kehidupan di sana tidak jauh beza dengan masyarakat luar bandar di Malaysia. Saya pula berkesempatan berhijrah ke Melaka dan merasai suasana raya di kampung. Jadi apabila menulis, ia tidak lari daripada pengalaman.

Tidak perlu ikut apa yang orang buat tetapi sudah namanya lagu raya, kita tidak boleh lari dari tema dan penceritaan hampir sama. Maksudnya cerita sama tetapi sentuhannya berbeza. Contohnya lagu Abang Pulang. Tidak sentuh hari raya secara langsung tetapi bercerita tentang pengalaman manis anak muda pulang ke kampung dan sambutan indah yang diterimanya.

Untuk hasilkan lirik, apakah faktor yang mendorong ilham?

Yang penting bukan sahaja menulis lirik, tulis apa saja termasuk cerpen dan puisi. Pertama, mesti ada pengalaman tetapi tidak semua ada pengalaman luas. Kedua, rajin membaca. Contohnya, kalau mahu menulis mengenai desa, kita kena banyak membaca mengenai desa walaupun tidak pernah melaluinya.

Sekarang senang. Dengan adanya media baharu, kita boleh tengok YouTube untuk dapat gambaran masa silam. Yang penting pendedahan melalui pembacaan dan menonton.

Satu lagi kita kena rajin bertanya. Orang dulu-dulu kata “Malu bertanya sesat jalan”. Rajinlah bertanya orang lama, orang pandai untuk menimba ilmu. Kita juga harus tahu golongan sasaran, perlu fikir mengapa orang ingin dengar dan baca karya kita. Jika tidak banyak, sedikit pun karya perlu ada keistimewaan berbanding yang lain.

Satu lagi kalau ingin menjadi penulis, perlu ada penguasaan bahasa. Perbendaharaan kata kita sangat luas. Sedih melihatkan nasib generasi baru. Sangat kurang didedah dengan khazanah bahasa Melayu yang indah.

“Melentur buluh biar dari rebung” membentuk minda dan keperibadian anak bangsa biar dari usia muda. Kanak-kanak dan pelajar hari ini difahamkan sangat kurang, malah tidak diajar peribahasa, perumpamaan, bidalan, pantun seloka dan kekayaan cerita rakyat. Sedih!

Ini semua keindahan yang perlu kita pertahan dan belajar supaya tidak hilang. Sayangnya, sekarang tidak banyak. Sedihlah kerana itu perbendaharaan kita, harta kita, khazanah yang ditinggalkan orang tua kita. Di situ sebenarnya memperlihat kebijaksanaan orang-orang dahulu.

Orang sekarang ramai yang pandai, ada ijazah tetapi sayang kurang bijak. Kebijaksanaan itu yang perlu kita cari.

Berapa tempoh untuk siapkan satu lirik?

Bergantung. Kadang-kadang kita ada mood, faktor deadline selain itu saya suka ambil ruang yang selesa. Kalau ada deadline saya tiada pilihan, kena paksa diri untuk fokus.

Tetapi kebanyakan waktu, saya diberi kelonggaran. Kalau sudah ada idea, satu hari (lirik) boleh siap. Ada kalanya idea itu berubah-ubah.

Pada saya, menulis lirik seperti juga menghasilkan tulisan lain. Walau umumnya lirik lagu ada 16 baris ayat tetapi ia harus mengandungi mesej dan jalan cerita.

Yang menyanyi harus pandai mentafsir dan menghayati serta boleh menyentuh perasaan pendengar. Saya seboleh-bolehnya tidak mahu orang memberi tema kecuali lagu korporat, iklan atau kempen. Dengan tema, saya rasa lebih sempit sedangkan saya mahu menulis apa yang saya suka.

Antara lirik atau melodi, mana dahulu?

Ada beberapa keadaan saya buat lirik dahulu kemudian baru komposer buat lagu. Begitu juga sebaliknya. Kedua-duanya boleh.

Datuk lebih terkenal penulis lirik berbanding kegiatan seni lain?

Betul sebab menulis lirik merupakan genre terakhir penulisan. Saya lebih suka orang kenal saya sebagai penulis skrip.

Mungkin kerana lagu luas ruangnya mencakup seluruh negara dan segenap usia masyarakat. Bercerita tentang manusia dalam lagu lebih cepat sampai ke sasarannya.

Ramai yang beri komen positif, mereka mengenali lirik saya berdasarkan penggunaan bahasa yang mudah difahami. Alhamdullilah. Sebab itu, saya kata pentingnya bahasa.

Orang ingat atau tidak, saya tidak kisah. Penghargaan bukan matlamat pada saya. Selepas lebih 40 tahun baru orang beri anugerah.

Siapa beri aspirasi menulis lirik?

Orang itu pun tidak sedar Din Osman, kawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan komposer pertama Datuk Ooi Eow Jin. Tidak lupa juga Cikgu Hawa Muhammad aktivis teater di Singapura, insan pertama yang menggalakkan saya menulis skrip drama pentas.

Sebelum terkenal sebagai penulis lirik, apakah yang Datuk lakukan?

Asalnya menulis drama pentas, itulah pengalaman saya. Kemudian drama radio, cerpen, sajak, televisyen dan filem. Akhir sekali, barulah menulis lirik.

Dalam tahun 1970-an, saya menulis lirik ketika berkhidmat di RTM. Saya menulis beratus-ratus drama radio. Apabila adanya televisyen, barulah saya menulis drama TV.

Drama pentas pertama ketika saya di sekolah lagi. Saya ada mentor yang dipanggil Kak Hawa. Saya anak polis. Setiap daerah polis perlu adakan persembahan sempena penubuhan Malaysia.

Kak Hawalah yang mendorong saya menulis drama pentas bertajuk Damak berdasarkan yang diceritakan kepada saya. Beliau memberi tunjuk ajar tentang dialog dan format penulisan drama pentas. Kak Hawa merupakan aktivis teater Kumpulan 4PM. Selain itu, bapa aktif dengan kegiatan kebudayaan.

Dahulu ada program ‘Sekawan Satria’ di radio. Saya lebih rapat dengan bapa dan selalu ikut beliau termasuk ke Radio Singapura.

Beliau juga membawa pancaragam polis marin bernama Seri Temasik Hiburan Pati. Masa itu, antara penyanyinya Allahyarhamah Rosiah Chik dan Allahyarhamah Rafaeh Buang. Ketika itu, skrip dibuang selepas habis drama dan saya ambil untuk belajar formatnya.

Selepas itu, berhijrah ke Malaysia. Saya minat menulis. Semasa tingkatan tiga, drama radio pertama disiarkan di Radio Singapura tajuknya Hati Si Cacat.

Latar belakang cerita membabitkan konfrontasi kerana Indonesia tidak bersetuju dengan penubuhan Malaysia. Maka, ceritanya tentang askar yang cedera dalam mempertahan negara.

Ketika itu, saya tiada pengalaman, tidak pernah masuk hutan. Itulah pentingnya membaca dan dengar radio. Apabila diterima, masa itu bayarannya RM45 dan saya lebih bersemangat untuk berkarya. Tetapi sebelum itu banyak karya ditolak.

Masa itu, kita beremosi mengapa karya ditolak sebab tidak diberi penjelasan. Saya hantar luahan ke akhbar dalam segmen ‘Luahan Pembaca’.

Habis sekolah, saya balik ke Singapura walaupun ibu bapa di Melaka. Saya bekerja sebagai penulis skrip drama sambilan di Radio Singapura sekitar 1968. Antara hasil karya ialah siri rancangan ISADRA iaitu kombinasi irama, sajak dan drama.

Saya seronok sebab aktiviti kebudayaan banyak di sana. Saya menjadi penulis sambilan sehingga bapa paksa balik ke Malaysia.

Saya mula bekerja di Arkib Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan masing-masing selama setahun. Kemudian RTM yang memang menjadi jiwa saya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang.

Bagaimanakah pengalaman seterusnya?

Pada 1973, saya mula bekerja di RTM dan menjadi juruhebah sebelum berhenti pada 1984. (Selain itu) pernah menjadi penerbit radio dan pindah ke Kuantan sebagai penerbit am. Kemudian balik ke KL sebagai penyunting skrip.

Saya sayang kerja saya di RTM. Saya jarang ambil cuti. Demam pun saya kerja sebab tidak terasa beban dan seronok. Tetapi disebabkan suasana kerja tidak menyenangkan hati saya bincang dengan suami dan dia menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada saya.

Pada masa sama, saya terima tawaran dari dua sahabat Allahyarham Pak Harun Hassan, penerbit majalah Perempuan dan majalah popular lain serta Dato’ Hishamudin Yaacob dari Karangkraf yang surat tawarannya masih saya simpan sehingga kini. Saya buat keputusan menerima tawaran dari Pak Harun kerana ruang tugasnya lebih sesuai dengan pengalaman saya.

Bersama Allahyarham Pak Harun melalui syarikatnya Amir Communication, kami terbitkan filem Ali Setan. Saya terbabit sepenuhnya dalam penerbitan sebagai penyunting skrip, eksekutif produser, pengurus produksi dan penulis lirik. Saya sepenuh masa menyiapkan filem berkenaan sebelum meletak jawatan.

Kemudian saya buat syarikat produksi sendiri, namanya HasComm dengan dua rakan wartawan veteran tapi yang sempat hanya buat satu drama enam episod bertajuk Rumah Kecil Tiang Seribu.

Kemudian, saya tubuhkan produksi Serangkai Filem bersama suami yang aktif sehingga kini.

Bersama sahabat baik saya Rahimah Rahim, kami tubuhkan Directors Team Sdn Bhd yang terbitkan Hati Bukan Kristal. Filem yang menang enam anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-9 turut memperkenal pelakon baharu Ridzuan Hashim, Julia Rais dan Zaiton Sameon selain pengarah baharu Allahyarham Raja Ahmad Alauddin sebagai pengarah.

Produksi kami antara yang terawal menghasilkan drama swasta sebab dahulu stesen tv hanya terima produk akhir. Alhamdulillah sepanjang beroperasi karya tidak ditolak.

Antara tajuk yang popular adalah Kalau Panggang Dekat di Api yang mempertemu Eman Manan dan Fauziah Dato’ Ahmad Daud, Harimau Miau Miau pula memperkenal Ridzuan Hashim, Louisa Chong Abdullah dan masa itu (Dato’) Khatijah Ibrahim berlakon.

Bagaimana menulis dalam kesibukan membangunkan produksi?

Saya bukan penulis lirik sepenuh masa. Menulis adalah kesukaan saya. Saya teruja setiap kali dapat idea. Jadi, tidaklah ganggu kerja harian saya.

Seingat saya, lirik pertama ialah lagu Terkenang nyanyian Allahyarham Zulkiflee Ahmad tetapi saya ada peminat tegar Allahyarham Karim Sulaiman, bekas pengarang Berita Harian, memberitahu lirik pertama saya ialah lagu nyanyian Salamiah Hassan. Saya lupa tajuknya. Beliau kumpul hampir 80 peratus lirik saya yang dijadikan beberapa jilid. Budi baik arwah sentiasa saya kenang.

Sekarang ada dalam 1,300 lirik saya yang dapat dikesan. Bukan sekadar penyanyi tetapi termasuk lirik korporat, iklan, kempen dan lagu universiti.

Apakah pencapaian dalam bidang filem?

Pembabitan dalam filem Ali Setan banyak memberi pengalaman berharga pada saya. Dalam filem Hati Bukan Kristal, Erma Fatimah dapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Ridzuan Hashim (Pelakon Lelaki Terbaik), Julia Rais (Pelakon Bintang Harapan), Allahyarham Raja Ahmad Alauddin (Pengarah Terbaik) dan saya (Skrip Terbaik).

Melalui Serangkai Filem pula, kami terbitkan Soalnya Hati, Soalnya Siapa dan bekerjasama dengan Nizalman menerbitkan Qaisy & Laila yang turut dilakonkan Jehan Miskin dan Fazura.

Untuk penerbitan drama TV Singapura, saya tubuhkan Directors Team Singapura.

Saya cerewet tentang skrip dan pelakon. Serangkai Filem banyak melahirkan pelakon baharu (Dato’) Jalaludin Hassan, Nasir Bilal Khan, Julia Rais, Jehan Miskin dan ramai lagi.

Dahulu kita bekerja kerana cintakan kerja kita. Kita mahu berikan yang terbaik di samping mencari rezeki. Sekarang orang bekerja cinta soal kedua. Yang utama untung rugi.

Nasihat untuk genarasi muda menjadi penulis yang baik?

Semua orang ada bakat tersendiri sama ada sedar atau tidak. Pada saya, setiap bakat yang Tuhan beri istimewa. Kita jangan sia-siakan.

Kita kena fokus dan serius dalam semua perkara yang kita lakukan. Insya-Allah akan ada hasilnya. Mungkin bukan hari ini tetapi akan datang.

Saya selalu ingatkan diri, kalau dapat banyak anugerah ketika muda mungkin akan hanyut sebab kita muda dan tenggelam dalam pujian. Ada sebab Tuhan tidak bagi ketika itu.

Kita boleh lihat ramai orang yang berjaya dengan impiannya tetapi gagal dalam hidup. Kenapa? Kerana kita tidak boleh tangani keadaan ketika itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit Covid-19 rai Syawal di pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 13 MEI: Suasana Hari Raya tetap ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi merai pesakit serta petugas.

Bermula malam tadi, para pesakit di setiap dewan mula bertakbir dan masing-masing menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi tadi.

Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS berkata pesakit juga dirai dengan juadah Aidilfitri bagi membangkitkan suasana berhari raya.

Pegarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim

“Juadah seperti ketupat, lemang disediakan bagi menghidupkan suasana raya untuk memastikan mereka tidak terlalu sedih.

“Ada kalangan mereka dari tahfiz jadi kita bekalkan mereka ‘mic’ untuk mereka memimpin takbir dan solat,” kata Dr Shahabuddin Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan singkat Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Katanya, bagi petugas pula pertandingan dekorasi Aidilfitri diwujudkan bagi memeriahkan suasana di sekitar dewan.

“Setiap dewan dan setiap agensi yang bertugas akan menggunakan kreativiti masing-masing untuk membuat dekorasi.

“Ada dekorasi membakar lemang, membuat dodol yang direka mereka. Malah ruangan bergambar turut disediakan bagi masing-masing merakam gambar kenangan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Penduduk Malaysia tetap bersemangat buat persiapan raya

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Mood meraikan Aidilfiti masih tetap ‘dirasai’ di seluruh negara dengan orang ramai kelihatan membuat persiapan di saat akhir membeli kelengkapan raya dan barangan basah biarpun kebanyakan mereka kali ini cuma beraya di ‘perantauan.’

Tinjauan Bernama di beberapa pasar pagi dan premis menjual kelengkapan raya yang sebelum ini menjadi tumpuan setiap kali menjelang Aidilfitri mendapati hampir kesemuanya ‘meriah’ dengan pengunjung seawal 7 pagi dan majoriti premis serta pengunjung dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

Di Pasar Chow Kit, pengunjung diarahkan berbaris untuk memasuki premis manakala kawasan sekitarnya dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), sesuai dengan SOP ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semalam.

Perkara sama dapat dilihat di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dan Pasar Seksyen 6 di Shah Alam, Selangor yang merupakan tempat tumpuan untuk membeli baju raya serta barangan keperluan bagi persiapan juadah Aidilfitri.

Pengunjung Pasar Seksyen 6, Mohd Muizzuddin Abdullah, 29, berkata meskipun penat beliau akur untuk beratur seawal 7.30 pagi dan terpaksa menunggu lebih sejam sebelum dibenarkan masuk bagi mencari bahan memasak laksa yang dikirim isteri.

Tinjauan turut mendapati kebanyakan pusat beli-belah terkemuka yang tersenarai di dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) masih ditutup hari ini.

Selain menjaga SOP asas seperti pemakaian pelitup muka, berbaris dan penjarakan sosial, beberapa premis mengehadkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa.

Ini termasuk Pasar Besar Kuantan di Pahang yang mengehadkan 170 pengunjung pada satu-satu masa manakala pasar pagi Pekan Kota Sarang Semut di Kedah hanya membenarkan 20 orang dan Pasar Awam Larkin Sentral di Johor pula mengehadkan 200 individu pada satu-satu masa.

Paling menarik, pihak pengurusan Pasar Besar Melaka di Bachang, Melaka mengambil inisiatif menyediakan laluan khas untuk warga emas yang merupakan golongan berisiko dijangkiti Covid-19 selain mengehadkan kemasukan pengunjung kepada 20 orang pada satu-satu masa.

Pematuhan SOP juga dilihat memuaskan di Gerai Bawah Tali Api Manjoi, Perak serta Pasar Awam Taman Tun Sardon di Pulau Pinang dan seorang pengunjung, Rohani Rahman, 68, berkata beliau berasa selamat membeli barangan di pasar itu.

Bagaimanapun, keadaan sedikit berbeza di Pasar Awam Kepala Batas, Pulau Pinang apabila pengunjung dilihat berkerumun di gerai-gerai tanpa beratur mengikut SOP sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa hadir membuat pemeriksaan.

Di Negeri Sembilan pula, aktiviti ‘mantai’ yang sinonim dengan Adat Perpatih dilihat masih mendapat sambutan sehingga menyaksikan seorang penjual daging mantai di Pasar Besar Seremban iaitu Daniel Zulkifli berjaya menjual kira-kira satu tan produknya seawal 9.30 pagi.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak rakyat sambut Aidilfitri dengan semangat perangi Covid-19

SHAH ALAM, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak seluruh umat Islam khususnya warga Selangor untuk sama-sama menyambut Aidilfitri dengan semangat memerangi Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jika Aidilfitri tahun lalu dengan ungkapan norma baharu bagi menggambarkan sambutan yang tidak pernah dilalui, 1 Syawal kali ini membawa perasaan ‘déjà vu’ bagai mengulangi perkara sama.

“Dengan semangat kita jaga kita, kita membuktikan tahun lalu umat Islam mampu meraikan Aidilfitri dengan sederhana tanpa mengunjungi bazar, balik kampung atau berkumpul di rumah saudara-mara serta rakan.

“Pada waktu itu, kita berjaya menikmati detik perayaan dengan keluarga tersayang di rumah sendiri. Kita juga mengadaptasi diri kepada norma baharu dan menghubungi keluarga di kampung melalui panggilan video WhatsApp atau Zoom.

“Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga terdekat dengan berkongsi makanan atas kekangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya menerusi kenyataan perutusan Aidilfitri.

Namun kata Amirudin, beliau melihat situasi kali ini tidak seperti sebelum ini di mana kelompok besar masyarakat kembali kepada kebiasaan lama dengan mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP).

Menurutnya, keadaan tidak menentu dari segi politik mahupun ekonomi mendorong Kerajaan Negeri untuk sentiasa menumpu segala usaha menangani impak kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

“Sejak PKP diisytiharkan Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri dipimpin Pakatan Harapan serta disokong penjawat awam bertungkus-lumus menggunakan teknologi seperti SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), kaedah inovatif seperti saringan bersasar serta Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) supaya wabak ini dapat ditangani.

“Dalam pada itu, saya menyedari betapa Covid-19 merupakan salah satu wadah terbaik untuk kita mengenal semula erti sebenar kehidupan; antara nilai diterapkan ibu bapa sejak usia muda lagi.

“Dengan fitrah kemanusiaan dan semangat #KitaSelangor, kita mesti menang dengan perang melawan Covid-19, sepertimana kita memenangi jihad melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan ini. Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah. Minal Aidil Wal Faizin. Maaf zahir dan batin,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Norma baharu Aidilfitri untuk perangi Covid-19 – Agong

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang perlu sekali lagi disambut dengan norma baharu adalah untuk kebaikan dan masa depan bersama dalam usaha memerangi pandemik Covid-19.

Pengorbanan itu, titah Seri Paduka, menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun tanpa aktiviti kunjung-mengunjung dan balik kampung di samping menikmati juadah tradisi, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat perlu bersyukur kerana masih lagi dapat melaksanakan ibadah di bulan Ramadan dan dikurniakan kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

“Beta menyedari rakyat terpaksa akur dengan pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik Covid-19. Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan melanda,” titah Seri Paduka dalam Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan menerusi siaran televisyen dan radio, malam ini.

Yang di-Pertuan Agong tidak mahu kerukunan hidup bermasyarakat dilupakan menerusi tutur kata yang menanam benih-benih perbalahan sesama rakyat, dalam situasi semasa dihadapi negara.

Seri Paduka juga menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa atau agama yang telah bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

Al-Sultan Abdullah tidak lupa mengajak setiap rakyat bersama-sama menghargai jasa, komitmen, keberanian dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara yang telah mencurah khidmat bakti dengan penuh kegigihan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

“Teruskanlah melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan,” titah Seri Paduka.

Menerusi kesatuan seluruh rakyat Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan keyakinan bahawa negara akan berupaya membendung penularan pandemik Covid-19.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

“Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka.

– BERNAMA