Categories
NASIONAL

Ramai gelandangan tidak miliki KP, sukar mencari kerja

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Tidak memiliki kad pengenalan merupakan masalah paling besar yang dihadapi kebanyakan warga miskin tegar kota tidak berumah di Kuala Lumpur sehingga menyukarkan mereka mendapat pekerjaan lebih baik.

Salah seorang golongan miskin tegar kota yang cuma mahu dikenali dengan panggilan Abang Din berkata, hal ini berlaku, ramai antara mereka terpaksa melarikan diri dengan tergesa-gesa daripada ditangkap hingga menyebabkan beg pakaian yang mengandungi Mykad dan barangan penting lain tertinggal dalam keadaan kelam kabut.

20140706_005401“Bila penguatkuasa menjumpai beg kami, mereka akan selongkar dan buang barang-barang kami merata-rata macam sampah termasuk kad pengenalan kami,” kata Abang Din ketika ditemui Selangor Kini berhampiran Bangkok Bank, di sini.

Jelas Abang Din yang juga mengalami nasib sama, ramai yang kehilangan Mykad tidak memohon Mykad baru kerana tidak mampu membayar denda yang tinggi yang dikenakan Jabatan Pendaftaran Masyarakat (JPN).

Jurucakap bagi sekumpulan sukarelawan Dapur Jalanan yang menjalankan aktiviti mengagihkan makanan kepada golongan miskin tegar kota, Wong Kar Fai turut mengesahkan diberitahu perkara sama dari ramai warga miskin tegar kota yang menjadikan kaki lima Bandaraya Kuala Lumpur tempat tidur mereka.

“Ini bukan perkara baru, dah ramai beritahu perkara sama. Ada beg diletakkan berhampiran ada juga yang menyorokkan beg sebelum tidur tetapi anggota penguatkuasa menjumpai beg pakaian mereka dan kemudiannya diselongkar, disepak dan dibuang macam sampah.

“Ini menyebabkan mereka sukar mendapatkan pekerjaan lebih baik sebab tiada MyKad. Kalau ada majikan yang terima pun cuma berniat untuk memanipulasi tenaga mereka dengan memberikan upah sangat rendah dengan alasan tidak mempunyai MyKad,” kata beliau kepada Selangor Kini.

Kata beliau lagi, lebih memburukkan keadaan apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenakan denda yang tinggi daripada RM100 bagi individu kali pertama kehilangan Mykad dan meningkat sehingga RM500 bergantung kepada jumlah kehilangan menyebabkan golongan itu tidak mampu membayarnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.