Categories
SELANGOR

Selangor buka peluang atlet SUKMA lanjut pengajian di IPT negeri

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JULAI : Atlet Sukan Malaysia (SUKMA) negeri yang gagal mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi akan diberi peluang untuk menyambung pelajaran ke institusi di bawah pentadbiran Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata peluang itu bertujuan untuk menghargai usaha atlet yang pernah mengharumkan nama negeri melalui penyertaan dalam sukan itu.

x6Katanya, adalah diharapkan atlet yang berminat dapat menggunakan peluang itu dengan sebaiknya.

“Kerajaan Negeri setuju untuk memberi peluang pada atlet yang gagal untuk menyambung pelajaran mereka ke institusi di Selangor contohnya Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Kita memberi peluang kerana sangat menghargai usaha mereka selama ini yang sudah mengharumkan nama Selangor dalam sukan itu,” katanya dalam ucapannya di Majlis Penyerahan Insentif Sukma di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Pada masa sama, Abdul Khalid memaklumkan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan satu jumlah yang bersesuaian daripada rizab negeri bagi tujuan pembangunan SUKMA akan datang.

Katanya, ia membabitkan peruntukan penyediaan peralatan dan kemudahan atlet dalam usaha mempertingkatkan prasarana sukan negeri.

mb“Kita akan cuba berbincang satu jumlah yang bersesuaian. Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap semua yang terbabit bersedia menghadapi sukan itu tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi, berkata satu peruntukan bagi pembangunan belia sudah diluluskan supaya golongan terbabit menyertai aktiviti sukan.

Katanya, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Fakulti Sains Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memulakan latihan pada setiap hujung minggu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.