Categories
NASIONAL

Banteras gejala rasuah, FAM perlu program insentif ke Piala Dunia

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JULAI: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu melaksanakan program intensif dalam usaha memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia bukan hanya sekadar menjadi pemerhati dan bersorak untuk pasukan yang diminati.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin, berkata perubahan harus dilakukan demi memastikan Malaysia maju ke Piala Dunia.

Katanya, salah satu perubahan yang perlu dibanteras adalah gejala rasuah yang masih berleluasa di negara itu.

KL00_080711_FAM_TM“Malaysia tidak akan maju dan melangkah jauh jika rasuah masih lagi berleluasa. Inilah virus yang harus dihapuskan. Bukan sahaja sukan, bahkan ekonomi negara juga tidak mampu melonjak jauh jika terdapat pemimpin negara terbabit dalam rasuah,” katanya dalam kenyataan media.

Khairil berkata, gejala bookie juga masih menghantui bola sepak negara yang menyebabkan mutu sukan itu terbantut ekoran pembabitan orang dalam.

“Tidak pelik jika usaha dilakukan dalam memastikan mutu bola sepak negara ini terbantut dek kerana musuh negara di dalam selimut yang terbabit dalam gejala rasuah ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan disiplin pemain juga harus diperketatkan dan jika tidak, sebaiknya FAM mencari skuad baru daripada pemain yang kerap menimbulkan masalah.

“Disiplin pemain juga harus diperketatkan kerana usaha tanpa disiplin adalah sesuatu yang sia-sia sahaja. Saban tahun kedengaran masalah disiplin di kalangan pemain dan ada yang terbabit dengan masalah di kelab malam, lari daripada latihan dan terbabit khalwat.

FAM“Pemain seperti ini tidak layak untuk menduduki skuad negara, bahkan mereka akan menconteng arang di muka Malaysia kelak. Lebih baik mencari skuad baru daripada berharap kepada pemain yang kerap menimbulkan masalah, yang mana sikap besar kepala mereka harus diajar,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak harus mencontohi pasukan besar tetapi cukup sekadar mencontohi pasukan Bosnia Herzegovina yang berdepan dengan perang tetapi kini bergelut membangunkan negaranya.

“Walaupun begitu, mereka masih mampu menyaingi ke Piala Dunia. Algeria juga boleh dijadikan contoh bagaimana mereka juga sebuah negara yang membangun masih mampu ke Piala Dunia.

“Apatah lagi mereka ini yan semuanya Islam bermain dalam keadaan berpuasa di bulan Ramadan. Algeria juga dalam proses membangun selepas bergelut dengan perang dan hal ini jauh berbeza dengan Malaysia yang dalam keadaan aman dan damai. Inilah yang perlu diambil iktibar oleh FAM,” katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan kepimpinan baru FAM yang diterajui Tengku Abdullah mampu melonjakkan mutu bola sepak negara.

Katanya, perlantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara dilihat sebagai satu usaha bersungguh-sungguh FAM dalam memartabatkan mutu sukan bola sepak negara.

Katanya, hal itu kerana Teong Kim adalah bekas penolong jurulatih pasukan bawah 19 tahun Bayern Munich danpernah bermain di Eropah dalam pasukan Hertha BSC di Jerman pada tahun 1987.

“Pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam sukan bola sepak eropah diharap dapat membantu menjayakan bola sepak Malaysia. Tidak mustahil dan saya optimis bahawa dalam tempoh 15 tahun lagi, Malaysia mampu bersaing bersama pasukan besar lain dalam Piala Dunia.

“Jadi, sesuatu perlu diambil iktibar bagi Malaysia dalam kempen Piala Dunia 2014 ini. Sudah 15 kali Piala Dunia berlangsung seusai kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957.

“Namun sebanyak itulah juga, Malaysia hanya mampu menjadi pemerhati dan bersorak mengikut pasukan yang diminati. Walaupun FAM pernah mensasarkan pada tahun 1990 yang Malaysia akan ke Piala Dunia pada tahun ini, namun sehingga ia berakhir, tiada apa-apa pun yang berlaku,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.