Categories
NASIONAL

Tembak MH17 tindakan jenayah perang & cabul undang-undang antarabangsa

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17 ‘mungkin boleh disamakan dengan jenayah perang’.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay berkata PBB mengutuk “penembakan dasyat” pesawat penumpang Malaysia di wilayah yang dikuasai pemberontak.

MH17Insiden itu yang mengorbankan kesemua 298 orang yang berada dalam pesawat dan mendesak penyiasatan “yang menyeluruh, berkesan, bebas dan tidak berat sebelah” dijalankan.

“Pencabulan undang-undang antarabangsa ini, dalam keadaan sekarang, mungkin boleh disamakan dengan jenayah perang.

Setiap usaha akan dilakukan untuk memastikan sesiapa yang melakukan pencabulan serius undang-undang antarabangsa termasuk jenayah perang akan dibawa ke muka pengadilan, tidak kira siapa mereka,” kata Pillay dalam satu kenyataan dipetik Agence France-Presse (AFP).

Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine yang menghadapi pergolakan, 17 Julai lepas semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 298 orang – 283 penumpang dan 15 krew. Pesawat itu dipercayai telah ditembak jatuh.

Menurut AFP, Palang Merah secara rasmi menyatakan pada minggu lepas bahawa Ukraine kini berada dalam kancah perang saudara dan pengelasan ini bermakna pihak-pihak yang terlibat dalam konflik boleh didakwa kerana melakukan jenayah perang.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.