Categories
SELANGOR

Tempoh daftar Tawas dilanjut ke 3 tahun

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM 22 JULAI: Kerajaan Selangor memanjangkan tempoh kelayakan pendaftaran Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dari satu tahun kepada tiga tahun dari tarikh kelahiran.

Pengurus Perhubungan Awam, Pemasaran Dan Promosi (Yawas) Kee Abidin Hairum berkata langkah itu diambil bagi membolehkan anak-anak Selangor yang belum mencapai usia 3 tahun atau lahir bermula 9 Julai 2011 yang belum berkesempatan menyertai Tawas didaftarkan sebagai ahli.

tawas logo bear“Kita prihatin dengan aduan ibu-bapa yang mengeluh tempoh setahun tidak cukup untuk mereka daftarkan anak-anak di bawah Tawas.

“Langkah ini juga diharap membantu Tawas meningkatkan lagi jumlah pendaftaran agar lebih ramai anak-anak Selangor yang layak menerima manfaat program,” jelasnya kepada Selangor Kini.

Bermula 9 Julai lalu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah menimbang dan meluluskan perubahan tempoh kelayakan pendaftaran Tawas kepada tiga tahun.

Ia berkuatkuasa serta merta dan mana-mana kelahiran yang belum mencapai umur tiga tahun pada tarikh pendaftaran akan diterima tertakluk pada terma dan syarat-syarat kelayak sedia ada.

Tawas diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri sejak Jun 2008 dengan menjanjikan setiap anak kelahiran Selangor akan mendapat pelaburan RM100 dan pada usia 18 tahun, peserta berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada pelaburan tersebut.

Setakat 22 Julai 2014, Tawas menerima 159,953 permohonan. Daripada angka itu hanya 139,972 permohonan lulus manakala 13,907 permohonan gagal dan bakinya 3,040 permohonan lagi tidak lengkap untuk diproses.

Pendaftaran TAWAS boleh dibuat di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pejabat Daerah, Pejabat Penghulu/Ketua Kampung, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpilih atau terus ke pejabat Yawas di alamat A1-11-2 & A1-11-3 Jalan Multimedia 7/AH, Park City, I-City, Shah Alam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.