Categories
NASIONAL

Utusan harus dipersalahkan, manipulasi kenyataan Muhyiddin isu 13 Mei

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 JULAI: Utusan Malaysia harus dipersalahkan kerana memanipulasi kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu 13 Mei yang ditimbulkan baru-baru ini, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Lim berkata, tindakan akhbar Umno itu menyebabkan Muhyiddin menerima pelbagai kritikan apabila melaporkan beliau memberi amaran kemungkinan berlaku satu lagi ketegangan akibat hubungan antara kaum dan agama yang makin buruk di negara ini.

Muhyiddin memberi amaran yang Malaysia mungkin menyaksikan satu lagi peristiwa berdarah jika tiada usaha dilakukan untuk memperbaiki keharmonian antara kaum.

utusanUtusan Malaysia bertarikh 5 Julai lalu menyiarkan berita bertajuk ‘Tidak mustahil 13 Mei 1969 berulang – TPM’ melaporkan Muhyiddin berkata: “Sebab itu timbul pelbagai andaian apabila hubungan kaum sudah sampai ke tahap cetus ketegangan dan hubungan tidak baik. Ini boleh menyebabkan peristiwa tersebut dan saya tidak mahu sebut tarikh itu (13 Mei 1969).”

Lim berkata, daripada laporan itu, Utusan sendiri meletakkan tarikh 13 Mei 1969 itu di dalam kurungan.

“Kalau ucapan Muhyiddin di Pagoh dimanipulasi, dalangnya tidak lain adalah Utusan. Ini kerana Utusan yang melaporkan amaran 13 Mei Muhyiddin itu dalam konteks hubungan kaum yang dikatakan makin teruk kerana Melayu dan Islam diserang,” katanya melalui blog.

Beliau berkata, walaupun beliau mengalu-alukan penjelasan Muhyiddin yang sebenarnya tidak membuat amaran 13 Mei, kenyataan itu harus diambil dengan berwaspada.

lim kit siang oren“Atas dasar kepentingan negara saya terima kenyataannya tanpa ragu dan berharap pada masa depan tidak ada sesiapa yang akan membuat amaran 13 Mei lagi kepada masyarakat.

“Saya ada banyak soalan untuk Muhyiddin, termasuk kenapa beliau tidak membuat penjelasan secepat mungkin tetapi hanya menunggu selepas enam hari baru membuat kenyataan,” katanya.

Lim berkata, rakyat Malaysia harus belajar daripada isu itu supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan mengelak menyentuh isu sensitif dan provokasi.

“Bukankah lebih bermanfaat, produktif dan patriotik jika semua rakyat Malaysia bersatu tidak kira apa bangsa, agama juga wilayah serta menjadikan Malaysia negara yang hebat berjaya daripada mempertaruhkan potensi negara ini dengan mencetuskan api permusuhan, selain kebencian antara kaum dan agama,” katanya.

MuhyidinKenyataan Muhyiddin itu mencetuskan kemarahan ahli politik pembangkang termasuk Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy yang mencabar TPM dan membuat laporan polis terhadapnya.

Bagaimanapun, semalam, Muhyiddin melahirkan rasa kecewa kerana terdapat beberapa pihak memutarbelitkan kenyataannya berhubung tragedi 13 Mei itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.