Categories
SELANGOR

Abdul Khalid: Lebih satu nama calon MB dicadang pada 2008, 2013

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 27 OGOS: Lebih daripada satu nama dicalonkan Pakatan Rakyat (PR) kepada Istana untuk jawatan Menteri Besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum pada 2008 serta 2013 dan bukannya calon tunggal seperti didakwa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata terdapat permohonan calon lain selain dirinya yang dicadangkan PKR dan PAS dari masa ke masa selepas kedua-dua PRU itu berlangsung.

MBSehubungan itu, katanya tindakan PKR mencalonkan satu nama sahaja yang didakwa sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 termasuk mengambil maklum titah Sultan Selangor adalah tidak tepat.

“Saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan (berhubung pencalonan Menteri Besar) kerana itu terpulang kepada Pakatan, maka apa-apa kenyataan mengenai perkara ini akan dibuat pihak Istana.

“Ada permohonan lain dibuat oleh PKR dan PAS pada 2008 dan 2013, laporan (satu nama sahaja) tidak dilaporkan secara tepat kerana lebih dari satu nama dihantar dari masa ke masa kepada Istana,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini.

Semalam, PKR dan DAP berkata hanya akan mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dipersembahkan kepada sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Menurut kenyataan bersama kedua-dua parti itu, tindakan berkenaan diambil sejajar dengan konvensyen pencalonan menteri besar pada 2013 dan mengambil kira titah Sultan Selangor.

Selepas pilihan raya umum lalu, menurut PKR dan DAP, parti-parti dalam Pakatan Rakyat hanya mencalonkan Abdul Khalid sahaja walaupun istana turut meminta lebih daripada satu nama.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata beliau tidak berhasrat untuk mengemukakan cadangan membubarkan DUN Selangor sekiranya Sultan Selangor menolak cadangan nama yang dikemukakan PR kelak.

“Kita tunggu pelantikan Menteri Besar baru kerana apabila Menteri Besar dilantik, isu pembubaran tidak timbul,” katanya lagi.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata partinya belum menetapkan sebarang keputusan berhubung cadangan calon bagi posisi pemimpin tertinggi negeri itu.

Katanya sebarang keputusan hanya akan ditentukan oleh PAS Pusat melalui satu mesyuarat yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

“Kami belum ada cadangan dan belum mesyuarat. Tidak pasti bila mesyuarat itu akan berlangsung tetapi pastinya sebelum tempoh yang ditetapkan pihak Istana,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.