Categories
NASIONAL

Atlet terjun, Ooi Tze Liang sumbang pingat emas ke-4

SHAH ALAM, 1 OGOS: Atlet terjun negara, Ooi Tze Liang memberi keceriaan kepada kontinjen negara apabila berjaya menambah pingat emas Malaysia pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow.

Dalam acara akhir tiga meter papan anjal lelaki yang berlangsung di Kolam Renang Royal Commonwealth, penerjun berusia 20 tahun dari Pulau Pinang itu berjaya mengumpul 457.60 mata untuk meraih pingat emas.

Ketinggalan 7.90 mata di belakang Tze Liang adalah pemenang pingat emas acara satu meter papan anjal, Jack Laugher dari England dengan 449.70 mata dan pingat gangsa menjadi milik rakan senegaranya, Oliver Dingley dengan 425.20 mata.

image.jpg.pagespeed.ce.7WUO8wGEFQ“Saya sangat berpuas hati sebab dapat meraih pingat emas seperti yang disasarkan. Saya akui memang ada tekanan ketika bersaing di sini, tetapi menganggap pertandingan akhir ini sama seperti dalam latihan dan jadi lebih tenang serta fokus.

“Akhirnya, saya dapat buktikan kepada rakyat Malaysia. Segala usaha saya selama ini berjaya menghasilkan pingat emas pada Sukan Komanwel,” katanya yang dipetik dari BERNAMA.

Tze Liang berkata, selepas menamatkan saingan peringkat saringan di tempat kedua pada sebelah pagi, dia berasa yakin untuk beraksi dengan baik dan meraih pingat.

“Dari situ, saya fikir secara positif untuk membuat yang terbaik pada peringkat akhir,” kata atlet yang diperkenalkan dengan sukan terjun oleh bapanya sejak berusia lapan tahun.

Tze Liang akan bergandingan dengan Ahmad Amsyar Azman dalam acara tiga meter papan anjal seirama lelaki esok.

“Berdasarkan prestasi kami hari ini, saya yakin akan memberikan saingan terbaik,” katanya yang memenangi pingat perak Sukan Asia acara tiga meter papan anjal seirama bersama Bryan Nickson Lomas di Guangzhou, empat tahun lepas.

Sementara itu, Pandelela Rinong hanya mampu raih pingat perak bagi acara 10m platform individu wanita di temasya Sukan Komanwel ke-20 itu.

Chong-Wei-FengManakala, pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng berada pada landasan tepat dalam meneruskan legasi mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel ke-20 di Emirates Arena.

Selaku pemain pilihan utama, Wei Feng mengambil masa 29 minit mengetepikan pencabarnya, Tony Stephenson dari Northen Ireland dengan straight set iaitu 21-15 dan 21-10 pada perlawanan ketiga.

Wei Feng dijadualkan bertemu R V Gurusaidutt dari India pada perlawanan berikutnya pada Jumaat.

Selain Wei Feng, seorangan lagi pemain perseorangan negara, Liew Daren turut layak ke suku akhir selepas menewaskan D Karunaratna dari Sri Lanka dengan straight set 21-19 dan 21-12 dalam masa 37 minit.

Liew dijadualkan bertemu K Parupalli dari India pada perlawanan suku akhir pada Jumaat.

Untuk rekod, pemain perseorangan negara cemerlang dengan pencapaian pingat emas sebanyak enam kali berturut-turut di Sukan Komanwel iaitu menerusi Rashid Sidek pada edisi 1990 dan 1994, Wong Choo Hann (1998), Hafiz Hashim (2002) dan Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2006 dan 2010.

Sementara itu, Tee Jing Yi pula mudah mengalahkan pesaingnya N Murukkuwadura dari Sri Lanka dengan 21-9 dan 21-6 untuk mara ke pusingan suku akhir bagi acara perseorangan wanita.

Tee akan menentang P C Thulasi dari India pada perlawanan separuh akhir.

Leave a Reply

Your email address will not be published.