Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah dua atlet para raih pingat emas

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada dua atlet para negara yang berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kejayaan jaguh badminton Cheah Liek Hou dan lompat jauh Abdul Latif Romly sebagai membanggakan.

“Sekalung tahniah buat jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou yang berjaya menggenggam pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020! Beliau menjadi pemenang emas sulung dalam badminton yang pertama kali dipertandingkan dengan kemenangan straight set!

“Tahniah @LatifRomly berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sekaligus mempertahankan pingat yang dimenangi beliau di Rio 2016. Syabas Latif!,” tulisnya menerusi dua hantaran Twitter.

Dalam aksi akhir berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi, Liek Hou yang turun bagi kategori SU5 cemerlang apabila menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia Dheva Anrimusthi 21-18, 21-15.

Kemenangan pemain berusia 33 tahun itu lebih manis kerana ini adalah kali pertama sukan badminton dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia membabitkan orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, Latif yang berusia 24 tahun menepati sasaran ditetapkan apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter(m) pada percubaan kedua dalam aksi akhir di Stadium Olimpik Tokyo.

Setakat hari ke-11 temasya, Malaysia menghuni kedudukan ke-39 dengan mengumpul lima pingat iaitu tiga emas dan dua perak.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh lompat jauh para raih emas ketiga negara

TOKYO, 4 SEPT: Juara bertahan Rio 2016 Abdul Latif Romly, sekali lagi menggegarkan pentas Paralimpik, apabila memenangi satu lagi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di temasya berprestij itu hari ini.

Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri, apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya, 7.26 meter (m), yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.

Abdul Latif seterusnya meninggalkan jauh pencabar lain dengan lompatan 7.45m pada percubaan keduanya, yang merupakan lompatan terbaiknya pada penampilan keduanya di pentas Paralimpik.

Bagaimanapun pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m di Sukan Para Asia 2018 di Indonesia itu, beraksi kurang baik pada lompatan ketiga dengan 7.24m sebelum lompatan keempatnya dibatalkan.

Atlet berusia 24 tahun itu, yang juga merupakan pemegang rekod Paralimpik dengan lompatan 7.60 di Rio 2016, itu kemudian dihimpit kecederaan selepas mencatat 5.56m pada lompatan kelimanya.

Situasi itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan aksinya, dan terpaksa diusung dengan kerusi roda oleh pegawai perubatan untuk menerima rawatan lanjut, namun emas tetap memihak kepada Malaysia.

Athanasios Prodromou dari Greece merangkul perak menerusi lompatan terbaik 7.17m, manakala lompatan sejauh 7.12m membantu Nicholas Hum dari Australia untuk membawa pulang gangsa.

Kejayaan Abdul Latif di Stadium Olimpik pada hari ini menyaksikan Malaysia telah mengutip tiga emas, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu, Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu kali ini.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Selain itu, jaguh powerlifting Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas pertama negara di Jepun dalam acara lelaki 72 kilogram (kg) pada 28 Ogos.

Kontinjen negara juga memperolehi dua pingat perak menerusi rakan sepasukan Bonnie, Jong Yee Khie dalam acara 107kg pada Isnin (30 Ogos) dan Chew Wei Lun dalam sukan boccia individu campuran BC1 (kecacatan fizikal) pada Rabu (1 Sept).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dek Wan mara peringkat akhir, tekad pertahan emas esok

TOKYO, 3 SEPT: Juara bertahan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menepati ramalan apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan “Dek Wan” mencatatkan masa 12.06 saat (s) pada saringan kedua dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Pelari berusia 33 tahun ketika ditemui Bernama selepas lariannya percaya mampu berlari lebih pantas dan akan berusaha untuk mempertahankan pingat emasnya esok.

“Ya, Dek Wan percaya boleh lari lebih laju dan nak menang emas esok” katanya.

Pencabar terdekatnya, Yang Yifei dari China menamatkan lariannya dengan merekodkan masa 12.10s manakala pelari Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Evgenii Shvetsov di kedudukan ketiga dengan masa 12.26s.

Mohamad Ridzuan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam senarai lapan pelumba daripada kedua-dua saringan, yang layak ke final.

James Turner dari Australia mencuri tumpuan apabila bukan sahaja muncul pelari terpantas, malah beliau turut memecahkan rekod Paralimpik milik Mohamad Ridzuan di Rio 2016 iaitu 12.07s, dengan catatan baharu 11.87s.

James juga merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Aksi final akan berlangsung pagi esok, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh angkat berat negara raih emas pertama, pecah rekod Paralimpik

TOKYO, 28 OGOS: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan menakjubkan apabila menghadiahkan emas pertama buat negara pada hari keempat Sukan Paralimpik pada Sabtu.

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Bagaimanapun, Bonnie tidak berjaya memecah rekod dunianya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila gagal melakukan angkatan seberat 231 kg dalam percubaan keempatnya.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB taruh harapan pingat emas pertama Olimpik Tokyo

SHAH ALAM, 24 JULAI: Dato’ Menteri Besar menaruh harapan kepada kontinjen Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Selamat berjaya saya ucapkan kepada seluruh warga kontinjen Malaysia terutamanya atlet-atlet dari Selangor.

“Ayuh realisasikan impian untuk pingat emas pertama bagi Malaysia di Sukan Olimpik. Semoga berjaya!” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Malam tadi, pembukaan temasya sukan terbesar dunia berlangsung dalam stadium yang hampir kosong apabila kurang 1,000 orang kenamaan menghadiri majlis di Stadium Olimpik yang mampu memuatkan 68,000 penonton.

Temasya sukan berprestij bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini menyaksikan seramai 30 atlet negara akan beraksi dalam 27 acara membabitkan 10 jenis sukan.

Empat daripadanya mewakili Selangor iaitu Phee Jing En (renang), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Gavin Kyle Green (golf) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik).

Pada edisi Rio 2016, Malaysia yang diwakili 32 atlet membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang disifatkan pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perjuangan 30 atlet negara buru emas pertama Olimpik bermula

TOKYO, 22 JULAI: Selepas kira-kira setahun Sukan Olimpik Tokyo 2020 tertangguh susulan penularan pandemik COVID-19, temasya sukan terbesar dunia itu bakal membuka tirai secara rasmi pada Jumaat (23 Julai).

Bagi 30 atlet negara yang bakal beraksi pada Olimpik Tokyo, kini tiba masa bagi mereka menampilkan aksi terbaik masing-masing, bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.

Setelah lebih empat tahun mengerah keringat, berdepan kepayahan dan melakukan pengorbanan dalam persiapan menghadapi temasya berprestij itu, mereka akan berdepan atlet terbaik dunia dalam acara masing-masing untuk mendapatkan pengiktirafan, dan lebih penting meraih pingat emas sulung Olimpik buat Malaysia.

Sejak Sukan Olimpik mula diperkenalkan pada 1896 di Athens, Greece, dan Malaysia mula menyertai temasya berkenaan bermula 1956 di Melbourne (sebagai kontinjen Malaya), belum pernah ada atlet Malaysia yang meraih pingat emas.

Adakah ia akan berbeza kali ini? Adakah mana-mana 30 atlet negara yang berada di Tokyo dapat menamatkan penantian sekian lama ini, dengan membawa pulang pingat emas yang dinanti-nantikan jutaan rakyat Malaysia?

Seperti legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong, kesemua mereka semakin hampir merealisasikan pingat emas pertama itu di Rio 2016, namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Bukan mudah untuk meraih pingat emas Olimpik, apabila terpaksa bersaing dengan jaguh terbaik dunia, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika atlet negara menampilkan aksi terbaik, peluang tersebut sentiasa ada.

Bukan memperkecilkan keupayaan mana-mana atlet Malaysia yang bertanding pada temasya itu, namun secara realistik impian untuk melihat atlet negara meraih pingat emas sulung itu terletak kepada tiga sukan iaitu berbasikal, badminton dan terjun.

Setelah memenangi pingat gangsa pada edisi Rio 2016, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mencipta sejarah atlet berbasikal Malaysia pertama meraih pingat di pentas Olimpik, diletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat emas pertama Malaysia itu, dan beliau tanpa berselindung sedia menyahut cabaran tersebut.

“Saya mengambilnya secara positif, tanggungjawab saya kepada negara. Daripada bersembunyi di sebalik tirai, sebagai atlet profesional, saya melangkah untuk menggalas tanggungjawab dan sudah pasti berusaha keras di belakang tabir,” kata Mohd Azizulhasni.

Mohd Azizulhasni yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut pada temasya Olimpik Tokyo, pernah mencipta sensasi muncul juara keirin di Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, selepas hanya memperoleh pingat perak pada 2010 dan gangsa pada 2015 dan 2016.

Pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia juga menjadi sandaran utama bagi menamatkan penantian kilauan emas itu, sekiranya mampu mempamerkan prestasi terbaiknya berdasarkan pencapaiannya mengatasi pemain nombor satu dunia Kento Momota dan juara bertahan Viktor Axelsen, sebelum bergelar juara All England 2021.

Ratu terjun negara Pandelela juga diharap dapat menyinar di Olimpik kali ini, berbekalkan semangat meraih pingat emas pada Piala Dunia Terjun 2021 di Pusat Akuatik Tokyo pada awal Mei lepas, yang bakal menjadi venue sama acara terjun pada temasya Olimpik kali ini.

Rekod pencapaian atlet berusia 28 tahun itu muncul penerjun pertama Malaysia meraih pingat Olimpik apabila merangkul gangsa pada edisi London 2012 dalam acara 10m platform wanita individu, sebelum memperbaikinya dengan pingat perak di Rio 2016 dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong, turut memberi harapan kepada kontinjen negara dalam meraih emas kali ini.

Namun, ketika tumpuan lebih terarah kepada beberapa atlet dalam menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya Olimpik Tokyo, atlet lain juga mampu membuat kejutan meraih pingat andai mereka berada di prestasi terbaik pada temasya kali ini.

Pemenang pingat perak Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying dalam acara beregu campuran serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), berpeluang membawa pulang sebutir pingat jika berada pada prestasi terbaik, selain Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) mampu membuat kejutan dalam acara badminton.

Jun Hoong, yang sebelum ini bergelut akibat kecederaan, juga mampu melakar pencapaian membanggakan apabila bakal turun beraksi dalam acara 10 meter platform wanita individu di Tokyo, setelah menjadi satu-satunya penerjun Malaysia yang pernah memecahkan dominasi penerjun China di pentas dunia dalam acara terjun, apabila muncul juara Kejohanan Dunia 2017.

Kemampuan pelumba muda Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut beraksi dalam acara keirin dan pecut, juga tidak harus diketepikan.

Bintang dalam pembikinan itu menjadi prospek dalam meraih pingat dan tidak mustahil mampu mencipta kejutan menyumbang emas kepada Malaysia, seperti pernah dilakukannya di beberapa kejohanan antaranya Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia dan Kejohanan Keirin Victoria, apabila muncul juara mengatasi seniornya, Mohd Azizulhasni sebelum ini.

Pemanah negara Khairul Anuar Mohamad juga mampu mencuri tumpuan untuk membawa pulang pingat berdasarkan statusnya selaku naib juara Kejohanan Dunia 2019, namun beliau harus kekal fokus dan konsisten mengharungi cabaran di Tokyo.

Kontinjen Malaysia kali ini turut akan diwakili Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara pelayaran laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita); Nur Suryani Mohamed Taib (50m rifle tiga posisi wanita) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).

Selain itu, Leong Mun Yee yang akan bergandingan dengan Pandelela dalam acara 10 meter seirama wanita), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik); Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga); Gavin Kyle Green, Kelly Tan (golf); serta Welson Sim dan Phee Jinq En dalam acara renang.

Ketika dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19, Sukan Olimpik kali ini bakal berlangsung dengan pelbagai cabaran dan peraturan ketat bermula 23 Julai sehingga 8 Ogos ini.

Dengan kehadiran lebih 10,000 atlet, pegawai dan media dari lebih 200 negara, penganjur menguatkuasakan pelbagai prosedur operasi standard bagi membendung penularan pandemik itu, antaranya mewajibkan ujian calitan COVID-19 kepada setiap peserta terlibat dalam temasya itu, tidak membenarkan kehadiran penonton di stadium, serta mengehadkan pergerakan mereka yang terlibat dalam temasya itu.

Kesemua peraturan itu adalah bagi memastikan Sukan Olimpik Tokyo berlangsung dengan selamat, kerana sehingga kini lebih 70 peserta yang terlibat dalam temasya sukan berkenaan dikesan positif COVID-19.

Pun begitu, biarpun pelbagai cabaran dan normal baharu untuk bersaing pada temasya kali ini, semangat atlet Malaysia tetap membara untuk mengharumkan nama negara, sekali gus merealisasikan impian meraih pingat emas pertama negara pada temasya sukan terkemuka dunia itu.

Malah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini, turut mengumumkan sasaran kontinjen Malaysia bagi edisi kali ini ialah untuk meraih tiga pingat, termasuk sebutir emas.

Badminton, berbasikal dan terjun – tiga sukan yang menyumbangkan pingat pada edisi lepas di Rio 2016, kekal sebagai prospek utama pingat untuk Malaysia di Tokyo 2020.

Di Rio, Malaysia membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang juga merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan pada Sukan Olimpik.

Apa pun keputusan bakal diperoleh, beraksi di pentas Olimpik sudah tentu menjadi satu kebanggaan dan pencapaian tertinggi, tambahan pula persediaan atlet pada temasya kali ini lebih sukar berbanding sebelum ini apabila tiada atau kurang kejohanan kompetitif sebelum bersaing di Tokyo, selain tidak dapat menjalani latihan secara biasa.

Demi Malaysia, sama-sama kita mendoakan kejayaan atlet negara di Tokyo, terutama dalam misi membawa pulang pingat emas pertama Olimpik!

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna dinasihat waspada tawaran luar biasa kedai emas

ALOR SETAR, 10 APRIL: Pengguna dinasihatkan supaya berhati-hati dan sentiasa peka ketika membuat pembelian barangan kemas serta tidak mudah terpedaya dengan promosi kedai-kedai emas terutama jika harga yang ditawarkan di luar daripada kebiasaan.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata walaupun ada undang-undang jelas bagi membanteras penipuan, namun pengguna sendiri perlu bijak melindungi diri mereka daripada urusniaga yang merugikan.

“Apabila hendak membeli emas, pengguna perlu membuat pilihan membeli di tempat yang betul, jangan tertarik dengan harga di luar daripada kebiasaan sebab kemungkinan ada unsur-unsur yang tidak betul di situ.

“Jadi kita nak nasihatkan pengguna yang hendak memiliki emas, terutama secara dalam talian juga kena tengok penjual itu mestilah yang berdaftar dan dipercayai, tetapi saya menasihatkan pengguna untuk bijak membuat penilaian sebelum membuat pembelian,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis sambutan Hari Pengguna Kebangsaan peringkat negeri Kedah 2021 dan kempen pembudayaan norma baharu Covid-19 di pasar-pasar utama yang dirasmikan Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Azman berkata pihaknya telah menerima lapan aduan daripada pengguna pada tahun ini berkaitan harga emas yang mengelirukan oleh peniaga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penipuan jual emas dalam talian meningkat sejak Januari

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Kes penipuan jualan barang kemas secara dalam talian menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 37 kes melibatkan kerugian berjumlah RM239,530 direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata kes penipuan barangan kemas itu dalam tempoh tersebut antara paling tinggi dicatatkan pihak polis sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata sepanjang 2019, sebanyak 21 kes dilapor membabitkan kerugian berjumlah RM148,444 dan jumlah kes itu meningkat pada tahun berikutnya (2020) dengan 44 kes melibatkan kerugian RM261,954.

“Seiring perkembangan teknologi dan komunikasi semasa telah mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian berikutan kemudahan akses tanpa had khususnya semasa negara berdepan wabak Covid-19.

“Justeru, ia menjadikan platform berkenaan sebagai pilihan pengguna namun pada masa sama mewujudkan kegiatan jenayah penipuan penjualan barangan tidak wujud,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainuddin berkata pihaknya melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan usaha membanteras kegiatan itu dilakukan secara efektif.

“Namun dari aspek pencegahan, pembabitan masyarakat amat diperlukan dan orang ramai digesa berhati-hati dalam segala urusan pembelian barang kemas secara dalam talian.

“Orang awam diminta supaya tidak percaya dengan sebarang tawaran jualan barang kemas murah daripada harga pasaran semasa terutama apabila tawaran dibuat pihak yang tidak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.

Beliau berkata mereka perlu membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan pembelian dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat semakan pengesahan akaun dan talian telefon melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terlibat dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berasak-asak beli emas, 23 individu dikompaun

KOTA BHARU, 30 NOV: Gara-gara ‘berasak-asak’ di kedai emas tanpa mengendahkan tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi, polis Kelantan mengeluarkan 23 kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis berkenaan semalam.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata penurunan harga emas sejak minggu lepas menyebabkan banyak kedai emas menjadi tumpuan sehingga ada yang ‘bertolak-tolak’ kerana mahu membeli emas.

“Dalam keadaan seperti itu, sudah pasti ada pelanggan yang mengabaikan SOP seperti penjarakan fizikal. Pemilik premis juga gagal menyediakan peralatan lain seperti penyukat suhu kerana mungkin terlalu sibuk melayan pelanggan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata polis Kelantan kini memantau kira-kira 35 kedai emas di sekitar Kota Bharu bagi memastikan pemilik dan pelanggan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Shafien berkata langkah itu berikutan langkah keselamatan bagi mengekang penyebaran Covid-19 seperti penyediaan alat penyukat suhu, pensanitasi tangan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dilihat kurang dititikberatkan.

Jelasnya, polis menyeru kepada masyarakat supaya mematuhi SOP supaya dapat memutuskan rantaian wabak itu secepat mungkin.

“Jikalau kita patuh kepada segala arahan…insya-Allah keadaan akan kembali pulih seperti sediakala. Setakat ini kita mengarahkan agar mereka (pemilik premis dan pelanggan) supaya mematuhi SOP dan polis akan sentiasa pantau.

“Namun, sekiranya mereka masih berdegil, polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan supaya tindakan menutup premis dilakukan,” katanya.

Pemilik premis sepatutnya meletakkan garisan atau tali bagi mendisiplinkan pelanggan supaya beratur sebelum memasuki premis.

“Polis tidak boleh ditempatkan sepanjang masa di sesebuah premis untuk memantau keadaan itu dan apa salahnya pemilik premis mengeluarkan sedikit modal bagi menyediakan khidmat anggota Rela.

“Kita sekarang hidup dalam norma baharu. Dahulu, apabila kita melihat orang memakai pelitup muka kita rasa pelik tetapi sekarang orang yang tidak memakai pelitup muka pula kita rasa pelik. Eloklah juga kita amalkan budaya tegur menegur supaya semua masyarakat mengamalkan SOP yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Tujuh atlet tinju Selangor ke Sukma, sasar satu emas

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor akan menghantar tujuh atlet tinju dengan sasaran satu pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan.

Jurulatihnya, Mohd Nazwan Shah berkata setakat ini sesi latihan berjalan lancar di Seksyen 7 di sini walaupun perlu mematuhi tatacara operasi piawai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Semasa PKP tempoh hari semua atlet perlu menghantar video latihan harian kepada saya. Sekarang sesi latihan masih berjalan seperti biasa cuma belum bebas dan tiada latihan berpasangan berbanding sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah kali terakhir Selangor meraih kejayaan pada Sukma 2016 di Sarawak dengan meraih gangsa dan tidak memenangi sebarang pingat di Perak pada 2018.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021, manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad memanah sasar kekalkan satu emas

SHAH ALAM, 28 JULAI: Pasukan memanah Selangor mensasar untuk mengekalkan satu pingat emas yang dimenangi pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

Jurulatihnya, Arif Farhan berkata sasaran itu paling logik setakat ini berdasarkan kekuatan dan kemampuan atlet bagi mengharungi cabaran sukan dwitahunan di Johor tahun depan.

“Walaupun sukan memanah kini dalam format berbeza, iaitu dengan jarak 70 meter, tapi kita optimis mengekalkan kemenangan terutama dalam acara berpasukan,” katanya.

Beliau menambah setakat ini pasukan itu belum memutuskan senarai akhir atlet yang akan terpilih yang dikurangkan daripada 26 kepada 16 individu.

“Setakat ini kita berusaha untuk mengembalikan kecergasan, stamina dan psikologi atlet, memandangkan terpaksa berehat panjang akibat wabak Covid-19,” katanya.

Selangor memenangi satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukma yang berlangsung pada 11 hingga 22 September 2018.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan pandemik Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan, manakala Para Sukma berlangsung dari 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan berkenaan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Buru slot tambahan Sukan Olimpik Tokyo 2020 – Azizulhasni

NILAI, 14 FEB: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Berlin, Jerman, pada 26 Februari hingga 1 Mac ini menjadi platform bagi skuad negara meraih satu lagi slot tambahan dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang berkata justeru dalam usaha meraih sasaran itu, beliau serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Mohd Zonis perlu berada di kedudukan enam terbaik secara keseluruhan dalam acara pecut pada kejohan tersebut.

“Fokus pada kejohanan dunia adalah untuk mendapatkan satu lagi slot dalam acara pecut supaya di Olimpik Tokyo nanti kita dapat sekurang-kurangnya dua individu bersaing dalam acara keirin dan pecut,” katanya pada sidang media mengenai persiapan skuad trek negara ke Berlin, di sini, semalam.

Selain sasaran berada di pentas podium, katanya, beliau akan menggunakan kejohanan itu untuk melakukan sebarang pelarasan sebelum menghadapi Sukan Olimpik 2020.

Mengenai persiapannya menjelang kejohanan trek dunia itu, Azizulhasni berkata meskipun hanya 90 peratus pulih selepas terbabit dalam kemalangan pada siri Piala Dunia di Brisbane, Australia, Disember lalu, namun persiapan tetap diteruskan.

“Bahu saya masih sakit kalau latihan di gimnasium atau berkayuh di atas ‘roller’ tetapi kayuhan di gelanggang tidaklah menjejaskan, tetapi secara keseluruhannya persiapan sudah mantap,” katanya.

Pada kejohanan trek dunia, Azizulhasni akan bersaing dalam acara keirin, Fadhil dalam acara 1 kilometer ujian masa dan ketiga-tiga pelumba negara itu turut mengambil bahagian dalam acara pecut.

Sukan Olimpik 2020 di Tokyo dijadual bermula 22 Julai hingga 9 Ogos ini.

-BERNAMA