Categories
NASIONAL

EKSKLUSIF: ABIM pergiat kempen penerangan penindasan Islam Xinjiang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 5 OGOS: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dijangka akan terus melancarkan kempen penerangan secara agresif bagi membuka mata masyarakat dunia berhubung penindasan yang dilakukan kerajaan China terhadap umat Islam Uyghur di Xinjiang.

Naib Presidennya, Mohammad Raimi Ab Rahim, berkata ia ditambah dengan serangan terbaru di wilayah itu sehingga mengorbankan hampir 100 nyawa dengan sebilangan besarnya terdiri daripada etnik Uyghur.

Katanya, ABIM turut mengambil kesempatan memberi penerangan berhubung isu Palestin yang juga menjadi keprihatinan umat Islam seluruh dunia selain di Xinjiang.

uyghur2“Kita jangkakan proses penerangan selepas Ramadan ini akan lebih agresif terutama dengan serangan terbaru kerana keadaan di sana bertambah teruk.

“Walaupun dunia kini lebih tertumpu kepada Palestin, tetapi pada masa sama masyarakat Islam di Malaysia tidak seharusnya melupakan kempen untuk membantu masyarakat Xinjiang dan Uyghur,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, kerjasama pihaknya bersama badan antarabangsa seperti di Turki dan Eropah masih berjalan lancar dan sedang menunggu langkah seterusnya untuk memberi kenyataan tegas berhubung penindasan terhadap umat Islam minoriti itu.

Katanya, buat masa ini pihaknya sudah menghantar protes dan akan terus membuat bantahan serta penerangan kepada seluruh masyarakat.

“Disebabkan maklumat yang agak terkawal di sana jadi kita sedang menunggu langkah berikutnya untuk memberikan satu kenyataan tegas apakah tindakan masyarakat komuniti Uyghur sedunia serta badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu mereka.

raimi abim“Kita juga mohon kepada masjid dan surau yang mahukan penjelasan untuk hubungi ABIM dan mereka akan diberi penerangan,” katanya.

ABIM dengan kerjasama Global Peace Mission Malaysia (GPM) turut melancarkan Tabung Prihatin bagi membantu etnik Uyghur termasuk di seluruh dunia.

Etnik Uyghur tidak dibenarkan mengamalkan ajaran Islam antaranya kakitangan kerajaan dan kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun dilarang untuk hadir ke masjid untuk mendirikan solat jemaah, larangan memakai tudung serta menyimpan janggut.

Selain itu, mereka turut dilarang daripada berpuasa kononnya sebagai justifikasi bagi memelihara kesihatan dan produktiviti kerja.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.