Categories
NASIONAL

Israel terus mengganas, 9 petugas media turut jadi korban

PALESTIN, 4 OGOS: Kira-kira 10 rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel sekitar Semenanjung Gaza pagi ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 1,822 orang.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Ashraf al-Qudra, berkata lima orang terbunuh di Jabalia di utara, tiga di kawasan sekitar bandaraya Gaza di Zeitun dan Sheikh Radwan, seorang di Nuseirat dan seorang kanak-kanak terbunuh di bandaraya Rafah di selatan.

Askar Israel menyerang 4,686 sasaran di Semenanjung Gaza dalam konflik yang bermula, pada 8 Julai lalu.

gazaSelain itu, rejim Zionis bertindak melancarkan 72 serangan yang menyasarkan petugas media di wilayah Gaza.

Kementerian Maklumat Palestin memaklumkan perkara itu didedahkan selepas wartawan Sameh al-Arian dan Mohamed Daher terkorban, pada 31 Julai lalu.

Sehari sebelum itu, rakan mereka, Ramy Rayyan dan Ahed Zaqqout juga dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan di kawasan berhampiran pasar sesak di tengah bandar Gaza.

Difahamkan, lima petugas media termasuk seorang wanita maut pada minggu pertama Israel melancarkan Operasi Perlindungan Sempadan.

Sejak lebih 20 hari lalu, sekurang-kurangnya sembilan wartawan terbunuh manakala 16 cedera akibat bedilan rejim Zionis, laporan dipetik dari Middle East Monitor.

Pada masa sama, Israel mengumumkan gencatan senjata kemanusiaan tujuh jam di Gaza hari ini.

gaza3Tentera Israel berkata, pihaknya akan menghentikan tembakan ke atas Semenanjung Gaza bermula jam 10 pagi waktu tempatan.

Israel berkata, gencatan senjata kemanusiaan itu bagaimanapun tidak dikuatkuasakan, yang mana pasukan tentera Israel masih menjalankan operasi.

Semalam, Israel mengundurkan hampir kebanyakan tentera daratnya di Semenanjung Gaza, namun pertempuran dilaporkan masih berlaku di sebahagian kawasan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.