Categories
AGENDA NASIONAL

PM tiba di Perdana Putra, buat mesyuarat khas

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Pergerakan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya petugas media susulan perkembangan politik semasa negara.

Perdana Menteri ketika dibawa keluar dari kediamannya di Bukit Damansara pada 7.42 pagi ini dilihat melambai ke arah media yang telah berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi.

Beliau kemudian tiba di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi, dijangka untuk menghadiri mesyuarat khas Kabinet.

Turut kelihatan tiba di bangunan itu, kenderaan-kenderaan membawa Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Di Putrajaya, Muhyiddin yang tiba di bangunan Perdana Putra melambai ke arah petugas media yang berkumpul sejak 7 pagi.

Turut kelihatan kenderaan-kenderaan yang membawa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang tiba di bangunan itu.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali semalam, satu mesyuarat khas Kabinet akan diadakan pada Isnin (hari ini) tanpa memperincikan agenda pertemuan tersebut.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata Muhyiddin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas media juga anggota barisan hadapan – wartawan veteran

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Beberapa wartawan veteran mengatakan bahawa wartawan harus selalu berada di lapangan di mana aksi berlaku dan oleh yang demikian mereka juga boleh dikategorikan sebagai barisan hadapan.

Aksi tersebut mungkin berupa peristiwa, bencana alam, kemalangan jalan raya atau insiden penembakan, dan untuk melaporkan dengan sebaik-baiknya mereka terpaksa turun padang.

Tidak ada bezanya juga dalam hal meliputi peristiwa yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 seperti sekatan pergerakan, sekatan jalan raya, pengedaran makanan dan sebagainya.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berkata para petugas media ini mahu tidak mahu terpaksa melaporkan pelbagai kegiatan dan aktiviti membabitkan Covid-19.

Mengambil contoh situasi pandemik koronavirus kini, bekas Pengerusi Media Prima Bhd dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu berkata ini termasuk merisikokan diri berada di mana-mana tempat yang berlaku wabak berkenaan seperti hospital, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pusat kuarantin supaya apa yang berlaku di tempat ini dapat digambarkan dengan jelas kepada masyarakat.

“Tetapi tidak pula pernah disebut ‘frontliner’ (barisan hadapan) itu terdiri daripada para wartawan, ini sepatutnya berlaku sebab dalam apa keadaan sekali pun para wartawan akan berada di hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini dilaporkan beberapa petugas media dikesan positif Covid-19 selepas membuat liputan berita, termasuk seorang petugas media yang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.

Tidak keterlaluan juga, menurut Johan, sekiranya para petugas media ini diletakkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 atas faktor sifat pekerjaan mereka ini.

Turut senada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya yang menzahirkan harapan kepada pihak berkuasa untuk mempertimbang cadangan menyenaraikan petugas media sebagai golongan terawal menerima suntikan itu.

Beliau berkata ia menjadi satu keperluan kepada golongan berkenaan kerana wujud kebarangkalian mereka bertembung pembawa Covid-19 yang tidak bergejala ketika menjalankan tugas.

“Misalnya, mereka (wartawan) mengikuti rombongan pemimpin melawat ke tempat tertentu, mislanya tempat yang menempatkan pesakit Covid-19. Secara langsung mereka ini terdedah (kepada Covid-19) walaupun mereka patuh segala tatacara operasi piawai (SOP).

“Mereka ini mempunyai tugas penting untuk mencari maklumat, menemu ramah, seterusnya menyalurkan maklumat itu kepada orang ramai. Itulah pentingnya vaksin ini kepada mereka,” katanya.

Menurut Chamil, sejumlah 2,000 sehingga 3,000 suntikan vaksin sudah memadai bagi menampung jumlah keseluruhan petugas media di Malaysia.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Abdul Rashid Yusof tidak menolak bahawa teknologi boleh membantu petugas media membuat laporan tanpa turun padang, namun untuk menyampaikan gambaran sebenar sesuatu peristiwa, ‘sentuhan manusia’ tetap penting.

“Media diharap untuk menginsankan naratif. Bagi menginsankan sebuah cerita, anda sentiasa akan memerlukan petikan. Ya…teknologi telah membantu ini tetapi wartawan masih perlu turun untuk bersemuka.

‘Malah, teknologi telah memaksa had kelajuan bagi penyaluran berita sebanyak 100 kali ganda. Oleh itu, wartawan sentiasa perlu bergerak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas media diingat patuhi SOP di kawasan Istana Negara

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Semua petugas media dan agensi berkaitan yang akan bertugas dan berada di sekitar kawasan Istana Negara hari ini diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua Polis Daerah Brickfield ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata aplikasi pendaftaran MySejahtera akan digunakan dan semua pihak wajib memakai pelitup muka, membuat pemeriksaan suhu badan dan mendaftar kehadiran di kaunter yang disediakan.

“Petugas media akan dibenarkan untuk memasuki kawasan khas yang disediakan dengan petak khas penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Peraturan itu berikutan satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dijadual akan diadakan di Istana Negara, bermula 2.30 petang, hari ini.

Zairulnizam menegaskan petugas media tidak dibenarkan untuk bergerak dan berada di atas jalan raya bagi mengelakkan gangguan lalu lintas.

Polis turut menasihatkan orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan agar tidak berada di kawasan luar pintu Istana Negara bagi mengelakkan kesesakan.

Zairulnizam berkata, kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun serta-merta mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Sementara, sebarang tindakan provokasi oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkaitan, katanya.

“Semua pihak juga diingatkan agar terus patuh SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran majlis dan mengelakkan penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN kesal Parlimen had bilangan media

SHAH ALAM, 16 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kesal terhadap arahan mengehadkan bilangan media bagi membuat liputan pembentangan Belanjawan 2021 di sidang Parlimen.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata sesi tersebut sebaliknya memerlukan lebih ramai petugas bagi menyaksikan perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat pada tahun akan datang.

“Sekiranya benar Parlimen berpandangan ruang bagi petugas media tidak mencukupi dan itu antara sebab utama menghalang lebih banyak media hadir, saya percaya terdapat banyak ruang boleh diubah suai menjadi tempat mereka.

“Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas, bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah bangunan pejabat ahli-ahli parlimen boleh diubah suai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Malah, jika perlu khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk VIP (kenamaan) sewaktu program-program kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata arahan tersebut boleh menimbulkan salah faham dengan membayangkan institusi itu mengekang kebebasan bersuara kerana membenarkan terbitan media rasmi sahaja.

Beliau turut meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbang semula arahan itu demi kebebasan bersuara dan kemuliaan dewan.

Hari ini, Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen mengeluarkan surat kepada ketua pengarang media memaklumkan hanya 15 petugas dibenarkan hadir di Parlimen untuk membuat liputan sepanjang sidang mulai 2 November hingga 23 Disember depan.

Categories
NASIONAL

Israel terus mengganas, 9 petugas media turut jadi korban

PALESTIN, 4 OGOS: Kira-kira 10 rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel sekitar Semenanjung Gaza pagi ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 1,822 orang.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan Gaza, Ashraf al-Qudra, berkata lima orang terbunuh di Jabalia di utara, tiga di kawasan sekitar bandaraya Gaza di Zeitun dan Sheikh Radwan, seorang di Nuseirat dan seorang kanak-kanak terbunuh di bandaraya Rafah di selatan.

Askar Israel menyerang 4,686 sasaran di Semenanjung Gaza dalam konflik yang bermula, pada 8 Julai lalu.

gazaSelain itu, rejim Zionis bertindak melancarkan 72 serangan yang menyasarkan petugas media di wilayah Gaza.

Kementerian Maklumat Palestin memaklumkan perkara itu didedahkan selepas wartawan Sameh al-Arian dan Mohamed Daher terkorban, pada 31 Julai lalu.

Sehari sebelum itu, rakan mereka, Ramy Rayyan dan Ahed Zaqqout juga dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan di kawasan berhampiran pasar sesak di tengah bandar Gaza.

Difahamkan, lima petugas media termasuk seorang wanita maut pada minggu pertama Israel melancarkan Operasi Perlindungan Sempadan.

Sejak lebih 20 hari lalu, sekurang-kurangnya sembilan wartawan terbunuh manakala 16 cedera akibat bedilan rejim Zionis, laporan dipetik dari Middle East Monitor.

Pada masa sama, Israel mengumumkan gencatan senjata kemanusiaan tujuh jam di Gaza hari ini.

gaza3Tentera Israel berkata, pihaknya akan menghentikan tembakan ke atas Semenanjung Gaza bermula jam 10 pagi waktu tempatan.

Israel berkata, gencatan senjata kemanusiaan itu bagaimanapun tidak dikuatkuasakan, yang mana pasukan tentera Israel masih menjalankan operasi.

Semalam, Israel mengundurkan hampir kebanyakan tentera daratnya di Semenanjung Gaza, namun pertempuran dilaporkan masih berlaku di sebahagian kawasan.