Categories
NASIONAL

Jenazah Hamfazlin Sham selamat dikebumikan jam 3.10 petang

Oleh: NAEEM RAFFI

BATU CAVES, 22 OGOS: Jenazah anak kapal Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Hamfazlin Sham Mohamed Ariffin selamat dikebumikan kira-kira jam 3.10 petang, di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah Kl-Karak, Taman Batu Muda, di sini, hari ini.

Allahyarhamah, 37, sebelum itu disembahyangkan di kediaman keluarganya, di Seksyen 6 Wangsa Maju, di sini, sebaik jenazahnya tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang , jam 12.50 tengahari.

Mangsa MH17 (11)Sejak awal pagi, ahli keluarga terdekat,  jiran dan sahabat handai memenuhi kawasan kediaman keluarganya untuk memberi penghormatan terakhir.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Usamah Bin Zaid untuk disembahyangkan sekali lagi selepas solat Jumaat.

Cuaca yang cerah menyaksikan majlis pengebumian berjalan lancar dan keranda yang diselimuti Jalur Gemilang diusung dalam satu istiadat penghormatan yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sekurang-kurangnya 600 orang hadir pada majlis pengebumian itu.

jenazah mh17 2 aAllahyarhamah meninggalkan suami, Ahmad Tarmizi Ismail, 41, dan dua anak lelaki,  Alif Haiqal , 8, serta Alif Hazim, 1 tahun 6 bulan.

Allahyarhamah adalah salah seorang daripada sembilan anak kapal yang berjaya dibawa pulang dengan pesawat khas MAS yang turut membawa 11 jenazah penumpang lain selepas 37 hari tragedi MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, di Timur Ukraine, pada 17 Julai lalu.

Pesawat khas itu selamat mendarat di KLIA, pada jam 9.54 pagi tadi.

Sementara itu, Selangor Kini turut ke kediaman seorang lagi anak kapal pesawat malang itu, Angeline Premila Rajandaran, 30, di Bandar Bukit Tinggi 2, Klang.

Bagaimanapun, pengawal keselamatan di pintu utama kawasan perumahan itu menghalang masuk atas permintaan keluarga mendiang yang masih belum bersedia berdepan dengan media.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut membatalkan hasratnya menziarahi keluarga mendiang sebagai menghormati permintaan itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.