Categories
NASIONAL

Kongres Nasional PKR dijangka dihadiri lebih 3,000 perwakilan & pemerhati

SHAH ALAM 20 OGOS: PKR akan menganjurkan Kongres Nasional Tahunan 2014 selama tiga hari bermula 22 Ogos ini dengan kehadirian lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati.

Kongres dijangka akan padat dengan pelbagai agenda diatur anggota parti yang hadir diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Kongres PKRTirai persidangan akan dimulakan dengan Kongres AMK yang akan diadakan di Dewan Bankuet MBSA pada Jumaat, dan akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.

Pada Sabtu 23 Ogos, kongres dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang kemudiannya diikuti oleh ucapan dasar oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kemudiannya akan merasmikan kongres.

Program seterusnya diteruskan dengan pemilihan bagi jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, serta pemilihan dua pemeriksa kira-kira.

Menurut Pengarah Kongres, Abdul Hadi Suhaimi, semua pemerhati jemputan, wakil kedutaan asing dari pelbagai negara, wakil parti gabungan Pakatan Rakyat dan ahli badan bukan kerajaan (NGO), dijemput hadir.

“Seramai 800 pemerhati daripada 1,500 telah mengesahkan kehadiran mereka setakat ini.

“Semua diplomat asing terutama dari United Kingdom, Jerman, Filipina, Singapura, Sri Lanka, India dan negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi dijemput hadir dan seramai 10 orang daripadanya telah mengesahkan kehadiran.

“Untuk NGO pula, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) juga telah mengesahkan kehadiran dengan diwakili oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),” katanya dipetik Keadilan Daily.

Selain ucapan dasar Presiden, kongres kali ini turut membahaskan isu-isu semasa di dalam dan luar negara seperti isu MH17 dan MH370, isu keselamatan Sabah dan penindasan umat Islam di Gaza.

Leave a Reply

Your email address will not be published.