Categories
SELANGOR

MPK tegas tangani isu pasar pagi Jalan Papan

Oleh: NORHAYATI UMOR

KLANG, 29 OGOS: Tujuh gerai warga asing disita dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di Pasar Pagi Jalan Papan, Pandamaran, di sini, yang diselaraskan Jabatan Penguatkuasa bersama Jabatan Pelesenan, Kejuruteraan, Perkhidmatan Persekitaran, Bangunan dan Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Operasi yang dijalankan seawal jam 5.30 pagi itu mensasarkan peniaga asing dan peniaga tanpa lesen serta kewujudan struktur haram di lokasi berkenaan serta masalah sampah yang sering menjadi isu di pasar pagi berkenaan.

jalan papan 4Sitaan dilakukan di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Penjaja MPK 2007 dan 90 notis dikeluarkan Jabatan Kejuruteraan kepada pemilik untuk merobohkan binaan atau struktur tanpa izin masing-masing.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yacob, berkata hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat peniaga yang membuat sambungan atau pendawaian haram bagi mendapatkan bekalan air dan elektrik melalui tandas awam yang disediakan.

“Perkara itu dirujuk untuk tindakan lanjut kerana MPK memandang serius perkara terbabit,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, pasar pagi yang mula beroperasi sejak 2004 itu juga menyaksikan pertambahan petak niaga mendadak terutama pada Sabtu dan Ahad, selain mewujudkan masalah kebersihan di kawasan persekitaran antaranya segelintir peniaga yang suka membuang sampah ke dalam longkang

jalan papan 5“Lebih memburukan lagi keadaan, sebahagian besar peniaga tidak membersihkan petak perniagaan selepas beroperasi menyebabkan kawasan setempat agak kotor dan berbau busuk, selain masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna.

“MPK sememangnya akan memberi perhatian terhadap isu pasar pagi Jalan Papan dan tidak akan berkompromi terutama membabitkan peniaga asing dan haram serta binaan tanpa kebenaran, bahkan operasi seperti ini akan diteruskan daripada semasa ke semasa,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.