Categories
NASIONAL

OIC gesa negara anggota timbang semula hubungan dengan Israel

SHAH ALAM, 5 OGOS: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani mengutuk perbuatan biadab Israel menyerang masjid di Semenanjung Gaza.

“Kini semakin jelas bahawa jentera perang Israel tidak berpuas hati dengan hanya menyembelih orang awam, memusnahkan rumah, membakar ladang dan menghancurkan infrastruktur.

“Sekarang, Israel menunjukkan sikap babarismenya itu terhadap tempat beribadat, tanpa sebarang perasaan malu kerana melanggar semua kod moral serta tidak langsung memperdulikan undang-undang peperangan,” katanya ,” katanya yang dipetik dari BERNAMA.

GazaMadani juga menggesa mana-mana daripada 57 negara anggota OIC ‘yang mempunyai hubungan dengan Israel’ supaya menimbang semula hubungan mereka dengan sebuah kerajaan yang tidak menghormati sebarang undang-undang atau etika termasuk prinsip asas kemanusiaan.

Beliau merayu kepada semua negara yang terus memberi perlindungan politik dan justifikasi moral yang boleh diragukan serta membekalkan senjata pembunuh secara berterusan kepada Israel supaya menyedari bahawa mereka boleh dikaitkan melakukan jenayah perang yang amat dahsyat juga tidak terkira banyaknya.

Beliau berkata, Israel nampaknya bukan sahaja melancarkan kempen keganasan untuk mengusir rakyat Palestin, tetapi juga menakluk mereka daripada segi rohani dan menghalang mereka daripada menikmati kedamaian jiwa apabila berada di masjid.

Iyad-Ameen-Madani OICLaporan antarabangsa menyebut jet pejuang Israel terus membedil Gaza, mengebom sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Jabaliya, utara Gaza City serta menyerang beberapa masjid berhampiran sekolah itu.

Kementerian Kesihatan Gaza dilaporkan berkata jumlah kematian di Gaza kini mencecah 1,732, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas akibat serangan tentera Israel, sejak 8 Julai lalu.

Madani menggesa umat Islam dan rakyat semua negara supaya mempamerkan tanggungjawab mereka dengan menggunakan apa juga alat politik, ekonomi, budaya dan masyarakat sivil yang dimiliki untuk mempertahankan hak rakyat Palestin untuk terus hidup, bebas daripada ketakutan serta hak untuk beribadat.

“Membisu terhadap jenayah yang dilakukan Israel kini tidak boleh lagi dianggap suatu opsyen,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.