Categories
SELANGOR

MB Selangor tetap milik PKR

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: PAS Pusat menegaskan parti itu tetap konsisten dengan pendirian kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Memetik Harakah Daily, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata pihaknya akan mempersembahkan tidak kurang daripada dua nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai calon menteri besar yang baru.

Grafik-Selangor-PakatanKatanya, PAS akan menghantar senarai berkenaan kepada pihak istana sebelum tarikh akhir berbuat demikian, pada 3 September ini.

“Kita tidak akan calonkan ADUN PAS untuk jawatan itu kerana Menteri Besar Selangor adalah jawatan milik PKR. Kita hormati perkara ini dan ia adalah muktamad.

“Jika ada laporan yang sebut saya kata sekurang-kurangnya tiga nama (calon Menteri Besar), itu tak betul,” jelasnya.

Beliau dilaporkan mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan PAS negeri itu yang turut disertai Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dan setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman, malam tadi.

mustafa aliMustafa berkata, mesyuarat itu tidak menyentuh berkenaan isu Menteri Besar Selangor, sebaliknya beliau hanya menjelaskan kronologi kemelut jawatan menteri besar kepada ahli PAS negeri itu.

Semalam, Istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar, sebelum 3 September ini.

Surat itu dialamatkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan salinan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut menyatakan calon yang dinamakan itu perlu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Pada 26 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baru ditentukan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.