Categories
SELANGOR

Rakyat makin bijak, sokong berdasarkan prestasi & integriti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Rakyat Selangor dianggap semakin bijak berpolitik apabila tidak lagi mementingkan idelogi sesuatu parti politik sebaliknya lebih mengutamakan integriti dan prestasi seseorang pemimpin bagi memacu kemajuan pembangunan di negeri terkaya itu.

Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berkata ini dapat dilihat apabila rakyat tanpa mengira parti yang disokongnya bersedia memberikan sokongan kepada pemimpin yang mereka lihat mempunyai ciri-ciri pemimpin pilihan mereka walaupun tidak mewakili parti yang mereka sokong.

ProfMohdAbuBakar1“Dalam konteks negeri Selangor menilai dari segi prestasi dan integriti pemimpin jadi semakin penting. Rakyat juga sudah semakin tidak menumpukan kepada persoalan di segi idealogi politik lagi.

“Jadi dalam keadaan sedemikian, penghukuman yang dikenakan oleh rakyat lebih bersandarkan keutamaan diberikan pemimpin daripada segi pembangunan, pembahagian kekayaan negeri.

“Itulah ukuran yang akan dipakai dalam pengundian akan datang,” kata Profesor Mohamad ketika dihubungi Selangor Kini di sini.

Profesor Mohamad juga percaya saingan sengit akan berlaku sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor terpaksa diadakan pada masa terdekat disebabkan kemarahan rakyat terhadap isu perebutan kerusi Menteri Besar yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

“Kalau pun berlaku pilihan raya semula saya rasa keadaan itu masih membawa kepada kebuntuan sebab sokongan kepada semua parti masih sama.

“Kalau pun BN menang dalam keadaan sekarang, bukanlah menang kerana sentimen rakyat ingin melihat dia menang tetapi lebih kepada kemarahan kepada pemimpin tertentu PKR,” kata Profesor Mohamad lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.