Categories
NASIONAL

Rejim Zionist mula sasar Malaysia ekoran sokongan perjuangan rakyat Palestin?

SHAH ALAM 2 OGOS: Rejim Zionist mula mensasarkan Malaysia sebagai kempen untuk memburukkan nama negara ekoran sokongan padu rakyat negara ini kepada perjuangan pembebasan rakyat Palestin dan mengecam keras tindakan zalim rejim itu.

The Jerusalem Post, iaitu media Israel digunakan menghebahkan propaganda rejim Zionis dengan mendakwa seorang tentera Hamas dari unit Al-Qassam bersama sembilan anggota lain menjalani latihan di Malaysia pada 2012 tentang cara melakukan serangan merentasi sempadan menggunakan payung terjun.

10492201_759041747470667_6327889361438921114_nPendedahan tersebut kononnya dibuat oleh seorang komander Hamas kepada agensi keselamatan Israel, Shin Bet dalam siri soal siasat selepas beliau ditahan di Khan Yunis, Gaza pada 21 Julai lalu.

Anggota Hamas itu didakwa mendedahkan bahawa beliau menerima latihan dalam serangan menggunakan payung terjun serta cara menculik askar sebagai sebahagian daripada persediaan untuk menentang serangan darat tentera Israel di Gaza.

“Suspek menyertai Hamas pada 2007 dan menjadi sebahagian daripada unit tentera Hamas, Al-Qassam.

“Beliau menjadi cekap dalam penggunaan senapang automatik Kalashnikov dalam pelbagai posisi menembak,” menurut The Jerusalem Post.

Namun, laporan itu tidak menyebut pihak di Malaysia yang didakwa menyediakan latihan itu kepada anggota Hamas tersebut.

Sementara itu, laporan Astro Awani semalam menyebut, Hamas menafikan tuduhan Shin Bet itu.

Menurut pemimpin kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi, rejim Zionis mengolah propaganda itu untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.

“Israel sedang mengalami kekalahan moral yang teruk dalam operasi ketenteraannya kali ini di Gaza dan mereka cuba menjejaskan sokongan sebuah negara Islam yang proaktif dan kuat terhadap warga Palestin,” kata Khaled seperti dilaporkan Astro Awani.

Hamas juga menyifatkan Malaysia menjadi sasaran penipuan Tel Aviv kerana peranan luar biasa kerajaan dan rakyat negara ini dalam memperjuangkan Palestin di pentas global.

“Israel adalah penipu besar. Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia sebuah negara Islam yang bebas serta berani sentiasa berada di sisi rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara,” tegas Dr Khaled.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.