Categories
SELANGOR

Sultan: Bakal haji perlu jaga akhlak, belanja secara berhemah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mendoakan jemaah haji Selangor dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan selamat serta mendapat haji yang mabrur.

Dalam titah yang disampaikan pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1435H Peringkat Negeri Selangor, baginda mengingatkan semua jemaah haji supaya membuat persiapan rapi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Hal itu kerana ibadah haji memerlukan kesihatan fizikal yang baik serta kekuatan mental untuk melaksanakannya.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (1) (1)“Beta menasihatkan semua bakal haji dapat menjaga akhlak, tingkah laku dan nilai budi yang tinggi sepanjang musim ibadah haji.

“Tunaikan ibadah haji dengan penuh tertib, sabar dan mengikut peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi,” titahnya di Masjid Sultan Salahuddin Idris Shah, di sini.

Baginda turut menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan memandangkan kota Mekah dalam proses penambahbaikkan serta pembinaan, selain mengamalkan perbelanjaan berhemah ketika berada di sana.

Majlis penutup ini turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (7)Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, berkata lebih 3,600 orang bakal haji dari Selangor dipilih untuk musim kali ini.

Katanya, Tabung Haji membelanjakan kos hampir RM3.6 juta untuk penganjuran kursus haji di seluruh negara, manakala jumlah tanggungan keseluruhan haji setiap tahun adalah melebihi RM130 juta.

“Ini tidak termasuk tanggungan Tabung Haji bagi setiap seorang jemaah Haji Muassasah iaitu RM6,175 seorang bagi mengekalkan kos pergi haji sebanyak RM9,980 seorang pada tahun ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.