Categories
AGENDA NASIONAL

Kuota haji: Malaysia masih tunggu keputusan Arab Saudi

TAWAU, 27 FEB: Malaysia masih menunggu keputusan akhir daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kuota untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji di negara itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata sehingga kini kerajaan belum menerima jumlah kuota yang diperuntukkan Arab Saudi, iaitu kebiasaannya Malaysia dibenarkan menghantar seramai kira-kira 32,000 jemaah.

“Sekiranya sudah ada angka yang tepat, kita akan mula menyaring jemaah yang layak untuk pergi mengerjakan haji tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Inspirasi Kasih Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini hari ini.

Selain itu, katanya, berikutan peningkatan sebanyak 15 peratus cukai tambah nilai (VAT) yang dikenakan Arab Saudi, kos haji dijangka meningkat tahun ini.

“Begitu juga dengan kos hotel di Arab Saudi mungkin akan meningkat disebabkan tatacara operasi piawai (SOP) yang mengurangkan jumlah jemaah dalam satu bilik, sekiranya ada peningkatan kos haji pada tahun ini, kerajaan (akan) pastikan ia tidak akan membebankan jemaah yang layak.

“Kerajaan mungkin akan melaksanakan subsidi secara bersasar kepada jemaah haji supaya mereka tidak terbeban dengan kenaikan kos yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai individu belum menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 yang dilarang masuk ke masjid, Ahmad Marzuk berkata ia adalah di bawah pihak berkuasa agama negeri.

“Walaupun ia tidak diwajibkan tetapi saya sangat galakkan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil dos penggalak sebagai pelindung tambahan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan kepada 76 ketua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Titingan pada tahun lepas.

Sumbangan bakul makanan itu disumbangkan oleh YaPEIM bernilai RM28,000 serta Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (RM12,400).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kos baharu tunai haji diketahui dalam tempoh terdekat

TAMPIN, 9 NOV: Kadar kos menunaikan ibadah haji dijangka diketahui sebelum awal tahun hadapan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Bagaianapun beliau berkata beliau tidak menolak kemungkinan kadar itu meningkat, susulan ketetapan dari kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus.

“Selain perubahan tatacara operasi piawai (SOP) ibadah itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan pandemik Covid-19, seperti penjarakan fizikal iaitu had kapasiti bilik hotel yang mengehadkan hanya dua orang dalam satu bilik, sudah tentu akan meningkatkan pertambahan kos.

“Namun kadar sebenar kos haji akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet sebelum awal tahun hadapan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Klinik Rohani di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan peningkatan kos ibadah haji itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi, seperti penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas, selain pergerakan jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram yang turut dihadkan.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata kerajaan juga menyediakan bantuan subsidi kepada individu yang ingin menunaikan haji, yang mana kos sebenar sebelum Covid-19 adalah sebanyak RM24,000.

“Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM12,920. Insya-Allah, jumlah dan kadar yang mampu untuk para jemaah nanti,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kadar sebenar akan diketahui tidak lama lagi termasuk senarai nama-nama mereka yang terpilih menunaikan haji.

Jelasnya, kerajaan akan terus mengekalkan subsidi haji, cuma kadar dan jumlah ditetapkan berdasarkan kewangan semasa tabung haji.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

263 rakyat Malaysia di Arab Saudi tunai haji tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seramai 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi layak menunaikan haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Tahun lepas hanya lapan orang rakyat Malaysia di negara itu yang dapat menunaikan haji.

Beliau berkata Tabung Haji (TH) akan memberikan kursus secara dalam talian berkaitan ibadah haji kepada semua jemaah itu.

“Malam esok, insya-Allah saya akan adakan temu bual dengan bakal haji rakyat Malaysia yang sedang berada di kota suci Makkah Al-Mukarramah,” katanya dalam program Salam Baitullah di saluran TV1 RTM malam ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini memutuskan ibadat haji musim ini hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada di negara itu sahaja berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi iktiraf Sinovac, penerima vaksin boleh tunai haji, umrah

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kerajaan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi memasuki negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata orang ramai boleh menyampaikan berita gembira itu kepada ahli keluarga yang berniat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang.

“Sama-Sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Zulkifli turut berkongsi pautan ke laman sesawang Kementerian Kesihatan Arab Saudi https://eservices.moh.gov.sa untuk rujukan permohonan masuk ke negara itu.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Arab Saudi kini mengiktiraf enam jenis vaksin bagi Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen, Sinopharm dan Sinovac.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan membuat ketetapan hanya jemaah yang menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca dibenar menunaikan haji sekali gus menimbulkan keresahan rakyat Malaysia yang menerima vaksin Sinovac.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi rancang benarkan ibadah haji dengan syarat ketat

RIYADH, 10 MEI: Arab Saudi mengumumkan rancangan untuk membenarkan ibadah haji pada tahun ini dengan peraturan langkah pencegahan yang ketat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan jemaah, lapor Agensi Berita Xinhua, memetik Agensi Berita Saudi pada Ahad.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu masih menilai keadaan dan mengambil semua langkah untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang ramai, kata Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Perincian mengenai pengurusan musim haji tahun ini akan diumumkan kemudian.

Kementerian itu juga tidak menyatakan sama ada jemaah asing akan dibenarkan melakukan ibadah haji bagi musim ini.

Tahun lalu, ibadah haji dibenarkan dengan jumlah jemaah yang terhad sebagai sebahagian langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan 942 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Arab Saudi menjadikan keseluruhan jangkitan seramai 426,384.

Jumlah kes pulih meningkat kepada 409,740 dengan 1,064 lagi pesakit sembuh.

Dalam tempoh 24 jam lalu, angka kematian meningkat kepada 7,072 dengan 13 korban baharu dilaporkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH lantik 22 syarikat sebagai Pengelola Jemaah Haji musim 2021

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel and Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pelantikan itu adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh lembaga berkenaan.

“Setakat hari ini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1442H/2021M (2021) daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan TH hari ini.

Selain THTS, syarikat berkenaan ialah Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Alif Travel & Tours Sdn Bhd, Al-Balad Travel & Tours Sdn Bhd, Az Zuha Group Travel & Tours Sdn Bhd, Batuta Travel & Tours Sdn Bhd, C.S Holidays Sdn Bhd, Citra Travel & Tours Sdn Bhd, Eiman Travel & Tours Sdn Bhd, Gemilang Travel And Tours Sdn Bhd dan Jad Travel & Tours (M) Sdn Bhd.

Syarikat lain ialah Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Masmas Travel & Tours Sdn Bhd, MIMM Travel & Tours Sdn Bhd, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd, Rayhar Travels Sdn Bhd, Syarikat Pelancongan Yaskin Sdn Bhd, TM Tours & Travel Sdn Bhd, TRI-D Travel & Tours Sdn Bhd, UTAS Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Wira Saujana Travel & Tours Sdn Bhd dan Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd.

Syed Saleh seterusnya mengingatkan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, kerana lembaga itu tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkaitan tawaran serta pakej haji,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH baru-baru ini telah diberikan taklimat berkaitan norma baharu pelaksanaan ibadah haji pada musim pandemik COVID-19.

Senarai PJH yang menerima lesen daripada TH boleh disemak di laman web rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my) manakala bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

– BERNAMA

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Keputusan laksana haji bergantung kelulusan Arab Saudi

PUTRAJAYA, 4 MAC: Keputusan untuk menghantar jemaah Malaysia menunaikan haji tahun ini bergantung pada kelulusan daripada Arab Saudi dan situasi pandemik ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Katanya beliau akan sentiasa berhubung dengan kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan jemaah haji Malaysia.

“Setakat mana kebolehan untuk pergi ke Makkah ini amat bergantung pada keputusan kerajaan Arab Saudi dan situasi pandemik Covid-19 adakah reda dan melandai atau masih lagi dalam keadaan yang cukup mencabar.

“Ini bukan jemaah Malaysia sahaja tetapi seluruh dunia. Saya yakin kebijaksanaan (kerajaan Arab Saudi) dan melihat situasi (Covid-19) semasa, mereka akan buat keputusan,” katanya kepada media selepas melancarkan Kit Ramah dan menyampaikan kerusi roda kepada pesakit hospital, di sini hari ini.

Ditanya sama ada bakal jemaah haji akan diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 sekiranya ibadat itu dibenarkan, Zulkifli berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Menteri Kesihatan Arab Saudi Dr Tawfiq al-Rabiah sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Namun beliau tidak menyatakan sama ada jemaah dari luar Arab Saudi dibenarkan untuk menunaikan ibadat itu.

“… sebagai sebuah kerajaan, kita nak terima satu keputusan rasmi.. apa syarat dan akan kita patuhi,” kata Zulkifli.

Pada tahun lepas, kerajaan Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji kepada 1,000 orang sahaja bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Pada majlis hari ini, Zulkifli menyerahkan 600 unit Kit Ramah yang mengandungi debu tayamum dan botol semburan wuduk, serta 15 unit kerusi roda bernilai RM13,200 untuk pesakit di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Malaysia bincang haji, umrah dengan Arab Saudi tahun depan

PETALING JAYA, 21 DIS: Kerajaan akan membincangkan syarat dan kelonggaran untuk jemaah dari negara ini menunaikan ibadat haji tahun depan dengan Arab Saudi.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata perbincangan itu meliputi pertimbangan sama ada jemaah Malaysia perlu dibekalkan vaksin Covid-19 atau sebaliknya.

“Ikut kebiasaannya akan ada mesyuarat bersama dengan Kerajaan Arab Saudi dan pada masa itu, akan diperjelaskan mengenai kedudukan dan syarat-syaratnya.

“Insya-Allah apabila ada kejelasan itu nanti, kita akan rancang yang terbaik termasuk dari segi jemaah akan dibekalkan dengan vaksin Covid-19 atau tidak. Buat masa ini, masih terlalu awal (untuk diberitahu) dan kita akan tunggu hasil mesyuarat itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas usaha TH dalam meyakinkan Arab Saudi untuk memberikan kelonggaran kepada jemaah haji dari negara ini memandangkan Malaysia dijangka menerima vaksin bagi virus itu pada suku pertama tahun depan.

Nik Mohd Hasyudeen berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1 antara TH dan Bukit Damansara Development Sdn Bhd di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyaksikan majlis menandatangani tawaran pembelian tersebut.

Bagaimanapun, Nik Mohd Hasyudeen tidak memperincikan jangka masa mesyuarat bersama Arab Saudi itu akan berlangsung.

Beliau berkata TH juga masih menunggu penjelasan Arab Saudi mengenai pelaksanaan haji pada tahun depan.

Tahun ini, buat pertama kali dalam sejarah, hanya 10,000 jemaah haji di seluruh dunia dibenarkan menunaikan ibadat itu berbanding 2.5 juta orang pada tahun lepas sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Nik Mohd Hasyudeen juga berkata TH komited dalam mencari peluang baharu bagi mempergiatkan pelaburan termasuk dari segi hartanah, ekuiti atau pendapatan sekali gus memberi manfaat dan pulangan yang mampan kepada sembilan juta pendepositnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Teliti SOP Covid-19 jemaah haji, permudah urusan – timbalan mufti

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Kesihatan serta pihak berkepentingan, hendaklah melakukan perbincangan serta meneliti situasi pandemik Covid-19 untuk merangka tatacara operasi piawai (SOP) lengkap, bagi jemaah Malaysia mengerjakan haji.

Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir berkata ibadah haji mengalami kesan signifikan berikutan penularan Covid-19, seperti aspek perjalanan dan kos, justeru SOP lengkap diperlukan bagi memastikan kelancaran ibadah itu, selain menjaga jemaah haji Malaysia daripada terdedah kepada wabak itu.

Beliau berkata SOP ini perlu dicadang bagi mengelakkan kemudaratan terhadap jemaah haji, yang mana dalam kaedah Fiqh menyatakan mengelakkan mudarat itu perlu didahulukan daripada mendapatkan manfaat.

“Pandemik Covid-19 ini adalah ujian Allah, yang sehingga sekarang tiada ubat hanya SOP dapat membantu, kerana itu kita sebut SOP itu perlu bagi kita jauhkan mudarat, SOP ini mungkin berbeza berdasarkan situasi tertentu,” kata Anhar yang juga Ahli Jawatankuasa Pembimbing Ibadat Haji TH, kepada Bernama.

Menjelaskan lebih lanjut tentang situasi itu beliau berkata, antara perkara penting dalam SOP itu ialah penjarakan fizikal, yang amalannya perlu dibezakan berdasarkan situasi seperti jarak antara jemaah dalam kenderaan berbeza dengan jarak di kawasan lapang ketika beribadah.

Anhar berkata selain itu, SOP ketika melontar melibatkan penjarakan fizikal supaya tidak bertembung dengan kumpulan lain dan SOP ketika berada di bilik penginapan juga perlu diteliti, bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Berada di Arafah untuk wukuf dan di Mina juga perlu SOP sendiri, tetapi di Mina contohnya jumlah jemaah tidak boleh ditambah, sedangkan penjarakan fizikal adalah perlu, ini kerana kawasan tersebut amat terhad. Ini saya cadangkan agar diteliti lebih lanjut lagi.

“Pakai pelitup muka (ketika sedang berihram haji atau umrah) kita putuskan dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bahawa, dalam situasi wabak ia diharuskan kerana ada keperluan dan hanya dikenakan dam sekali sahaja,” katanya, merujuk perihal jemaah lelaki sedang berihram haji atau umrah dilarang memakai pakaian berjahit yang menutupi tubuhnya bagi lelaki, manakala wajah bagi wanita.

Selain itu katanya pemilihan jenis ibadah haji jemaah Malaysia juga boleh dilakukan, bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata kenaikan kos mengerjakan haji dengan perlaksanaan SOP mengekang Covid-19 juga harus diteliti, bagi memastikan jemaah dan pengendali khidmat haji serta umrah seperti TH tidak terbeban.

“Kalau (laksanakan) penjarakan fizikal, kapal terbang yang sebelum ini boleh muat 400 dan bas boleh muat 50 mungkin perlu bahagi dua (kapasiti penumpang), tetapi ia akan meningkatkan harga kos, ditambah lagi dengan kos kuarantin dan ujian Covid-19 serta kos-kos lain, pasti akan beri kesan kepada kos keseluruhan ibadah haji,” katanya.

Anhar berkata syarat baharu untuk kebenaran mengerjakan ibadah umrah oleh Kerajaan Arab Saudi pada 1 November lepas boleh dijadikan gambaran, untuk melihat kepada SOP mengerjakan haji selepas ini, antaranya had umur jemaah iaitu 18 hingga 50 tahun.

“Kalau pendekatan atau perkara sama diguna pakai formulanya seperti umur untuk ibadah haji nanti, mungkin akan ada syarat tambahan lain seperti pengesahan kesihatan, kesan simptom seperti lakukan ujian saringan 72 jam sebelum bertolak dan lain-lain.

“Golongan berisiko mungkin akan dikenakan syarat tambahan, sama ada pengesahan doktor dan seumpamanya, sekiranya melihat kebenaran ibadah umrah baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Anhar berkata mereka yang berkemampuan daripada segi kewangan untuk mengerjakan haji tetapi tidak mempunyai kemampuan daripada segi kesihatan, tetap wajib mengerjakan haji dengan menggunakan kaedah badal haji.

“Seorang yang tidak mampu duduk lama dalam kenderaan kerana perjalanan yang sangat jauh beribu kilometer, ambil tujuh hingga lapan jam, jadi orang yang fizikal tidak baik mereka termasuk golongan tidak mampu, maka tidak wajib haji dengan diri sendiri. Tetapi kalau ada kemampuan kewangan dia wajib haji dengan upah orang lain atau badal haji,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

OIC minta jemaah haji patuhi jarak sosial

JEDDAH, 30 JULAI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meminta jemaah haji tahun ini memberi komitmen untuk mengamalkan penjarakan sosial demi menjaga kesihatan semua pihak, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Al-Othaimeen, meminta jemaah haji mematuhi prosedur kesihatan yang dilaksanakan pihak berkuasa di Arab Saudi untuk melindungi mereka, anggota keluarga dan jemaah lain.

Beliau turut menasihatkan semua jemaah agar memanfaatkan perkhidmatan kesihatan dan peraturan yang disediakan kerajaan Arab Saudi.

Dr Al-Othaimeen menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, yang dipimpin Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, atas kesungguhan untuk melaksanakan ibadah haji tahun ini meskipun pandemik Covid-19 sedang melanda.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Arab Saudi hadkan hanya 1,000 jemaah haji

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan Arab Saudi mengehadkan hanya 1,000 jemaah haji yang bermula 29 Julai ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Pihak berkuasa negara itu berkata ibadah tersebut dilaksanakan dengan protokol kebersihan ketat dan akses terhad kepada jemaah di bawah 65 tahun serta tiada penyakit kronik.

“Kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Arafah jatuh ialah pada Khamis (30 Julai),” kata Saudi Press Agency (SPA) memetik laporan Berita Harian.

Menurut laporan itu, walaupun pegawai haji mengatakan ia terhad kepada 1,000 orang yang sudah berada di negara berkenaan, 70 peratus daripadanya adalah orang asing dan yang lain dari negara terbabit. Manakala beberapa laporan akhbar tempatan mengatakan 10,000 orang mungkin turut mengambil bahagian.

Penurunan jumlah jemaah ini secara tidak langsung memberi kesan kerugian besar kepada ekonomi negara tersebut selain penurunan harga minyak.

Categories
AGAMA AGENDA GLOBAL

Duta: Tangguh haji demi kepentingan bersama umat Islam

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini demi kepentingan bersama antara umat Islam bagi mengekang virus Covid-19.

Qattan berkata beliau mengikuti reaksi rakyat (umat Islam) Malaysia di pelbagai platform berhubung keputusan penangguhan itu.

“Saya mendapati rakyat Malaysia memahami dan menerima keputusan kerajaan Malaysia mengenai perkara ini. Ibadat haji merupakan perkara yang besar dan penting di sisi rakyat (umat Islam) Malaysia dan mereka sangat realistik serta sedar kepentingan umat Islam di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Malaysia mengumumkan untuk menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 23 Jun lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk mengehadkan jemaah haji pada tahun ini hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Menurut kementerian tersebut, hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Mengulas lanjut, Qattan berkata pendirian Malaysia menyambut baik pengumuman negaranya untuk meneruskan ibadah haji bagi tahun ini, mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Mari sama-sama kita berdoa supaya wabak ini berakhir secepat mungkin,” katanya.

Sehingga 6 Julai, Arab Saudi telah mencatatkan 213,716 kes baharu dan 4,207 kematian berdasarkan kenyataan kementerian kesihatan negara itu.

Terkesan dengan wabak Covid-19, Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.

Pada pertengahan Mac, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

-BERNAMA