Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan titah guru Kafa, pegawai masjid enggan divaksin mungkin tidak dibenar bertugas

SHAH ALAM, 2 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor mengingatkan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) yang enggan divaksin berkemungkinan tidak dibenar meneruskan tugas.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan sama turut dikenakan kepada pegawai masjid dan jurunikah yang tidak mahu menerima suntikan pelalian Covid-19.

“Beta telah menerima laporan terperinci daripada pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru Kafa, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di negeri ini.

“Beta ingin mengingatkan kepada guru Kafa yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenar untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan sama,” titah Baginda menerusi kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan Jais, Baginda difahamkan seramai 316 guru Kafa yang belum mendapat vaksin dan 95 daripadanya enggan disuntik.

Manakala, seramai 59 pegawai masjid juga belum menerima vaksin dan 11 daripadanya tidak mahu serta enam daripada sembilan jurunikah belum divaksin turut memilih enggan divaksinasi.

“Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 kepada golongan ini.

“Mereka sepatutnya sedia maklum jika dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin dapat mengelakkan seseorang itu daripada menerima kesan yang lebih buruk termasuk kematian,” titah Baginda lagi.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin menyeru seluruh rakyat Selangor supaya menerima suntikan pelalian di pusat pemberian vaksin berhampiran demi kebaikan diri dan masyarakat sekeliling.

“Beta juga difahamkan bahawa ada 268 guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor turut enggan divaksin. Ini boleh membahayakan pelajar sekolah dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib,” titah Baginda.

Baginda turut mengingatkan vaksin merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak dan perkara itu telah disahkan oleh pakar perubatan.

“Beta suka mengingatkan Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

“Justeru, rakyat beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapat suntikan vaksin. Isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini telah banyak kali disebut dalam khutbah Jumaat dan menerusi kenyataan akhbar yang beta keluarkan,” titah Baginda.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor zahir takziah kepada keluarga Koperal Safwan

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Sultan Sharafuddin dalam kenyataan bertitah tragedi yang menimpa Allahyarham itu sebagai suatu pengorbanan yang amat mulia di sisi agama, bangsa dan negara.

“Beta berdukacita dan kesal ke atas tragedi yang menimpa Allahyarham akibat dilanggar oleh pemandu mabuk ketika sedang menjalankan tugas menjaga keselamatan rakyat.

“Beta memandang berat kes kemalangan cuai sebegini dan berharap si pelaku dikenakan hukuman yang setimpal. Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham,” titah baginda.

Baginda turut berharap agar waris dan ahli keluarga Allahyarham Safwan terus tabah menerima ketentuan ini.

Allahyarham Safwan, 31, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia dalam kejadian 2.11 pagi di lokasi berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Lekas akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda disyaki dipandu oleh pemandu mabuk.

Susulan itu, kenderaan terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa yang ketika itu bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran plaza berkenaan.

Categories
SELANGOR

Kepimpinan negeri pegang nasihat DYMM Sultan Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 6 NOV: Barisan kepimpinan Negeri Selangor hari ini akan terus memegang pesanan dan nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mengutamakan kepentingan negeri juga rakyat berbanding isu lain yang tidak memberi faedah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pesanan baginda lebih meninggalkan kesan di hatinya, sekali gus membuatkan beliau lebih yakin untuk menerajui Selangor mengharungi cabaran ekonomi yang getir tahun hadapan.

“Peranan tuanku cukup jelas, baginda mahu negeri dibangunkan secara baik demi kepentingan rakyat. Tuanku tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negeri apatah lagi urusan politik.

Azmin-Rakyat“Bagaimanapun, tuanku meminta semua pimpinan terutama Ahli Dewan Negeri Selangor (DNS) dalam sidang seumpama ini meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan dalam perbahasan kerana kita berhadapan cabaran cukup getir dan memerlukan usaha kolektif bagi membangunkan Selangor.

“Itu memang pesanan dan nasihat tuanku untuk memastikan pembangunan berjalan lancar dan dapat memberi kebaikan juga kesejahteraan kepada rakyat di Selangor ,” katanya kepada Selangor Kini selepas selesai persidangan hari keenam Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor di DNS, di sini, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Mohamed Azmin membentangkan Belanjawan Selangor 2016 iaitu beliau mengambil langkah meningkatkan peruntukan untuk pembangunan kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.33 bilion bagi Belanjawan 2015.

Peningkatan itu sejajar dengan pekembangan iklim ekonomi pada 2016 yang dijangkakan lesu akibat pelbagai faktor termasuk kejatuhan matawang ringgit.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan teori ekonomi dunia yang diterima pakai oleh ahli ekonomis terkenal yang menganggap langkah kerajaan melebihkan perbelanjaan pembangunan ketika kegawatan ekonomi dan mengurangkan perbelanjaan di saat ekonomi kembali rancak semula adalah tindakan tepat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

648 terima sumbangan raya DYMM Sultan Selangor peringkat Sabak Bernam

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 24 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan aidilfitri kepada 648 penerima di Sabak Bernam, semalam.

iftar pasir panjang 3Sumbangan yang disampaikan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Peringkat Sabak Bernam itu melibatkan 17 fakir, 273 miskin, 200 saudara baharu dan 148 anak yatim.

Golongan terbabit adalah penduduk beberapa kampung sekitar Sabak Bernam.

Turut mengiringi Sultan Sharafuddin ddi Masjid Al-Huda, Parit 13, Sungai Panjang itu adalah Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, beberapa Exco dan Adun) serta orang kenamaan lain.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Dr Mohd Na’im Mokhtar dilantik Ketua Hakim Syarie Selangor baharu

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Pelantikan itu dibuat di bawah Seksyen 56 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 ynag berkuatkuasa pada 21 Mei lalu.

Sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie, Mohd Na’im, 47, adalah Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

DR HAJI MOHD NAIM BIN HAJI MOKHTAR ,KETUA HAKIM SYARIE NEGERI SELANGOR 02Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau pernah dilantik sebagai Malaysian Cheavening Visiting Fellow Oxford University, United Kingdom bagi tahun 2008/2009 dan Visiting Fellow di Harvard Law School, Harvard University, Amerika Syarikat.

Dalam istiadat sama, turut mendapat watikah pelantikan adalah Datuk Mukhyiddin Ibrahim yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor berkuatkuasa hari ini di bawah Seksyen 57 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Beliau adalah mantan Ketua Hakim Syarie Selangor sebelum dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

DATO HAJI MUKHYUDDIN BIN HAJI IBRAHIM HAKIM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH SELANGORTurut menerima watikah adalah 14 Hakim dan lima Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Selangor serta 13 Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Selain itu, tiga individu menerima tauliah Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam dan Wali Raja, manakala 19 yang lain untuk Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam dan Wali Raja.

Kali terakhir Sultan Sharafuddin mengurniakan watikah pelantikan kepada pegawai Mahkamah Syariah Selangor apada 1 Oktober 2013 membabitkan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Perak dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 Jan: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dikurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati (D.K.) dalam satu istiadat rasmi yang diadakan, di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Darjah Kerabat itu dianugerahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan ke-69 baginda, pada 11 Disember lalu.

Penganugerahan pingat Sultan Selangor kepada Raja Nazrin (1) (1)Istiadat pengurniaan itu turut disaksikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada 11 Disember lalu, 102 menerima darjah dan bintang kebesaran Selangor dalam satu istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Dua Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi turut dianugerahkan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran datuk.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan: Bakal haji perlu jaga akhlak, belanja secara berhemah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mendoakan jemaah haji Selangor dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan selamat serta mendapat haji yang mabrur.

Dalam titah yang disampaikan pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1435H Peringkat Negeri Selangor, baginda mengingatkan semua jemaah haji supaya membuat persiapan rapi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Hal itu kerana ibadah haji memerlukan kesihatan fizikal yang baik serta kekuatan mental untuk melaksanakannya.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (1) (1)“Beta menasihatkan semua bakal haji dapat menjaga akhlak, tingkah laku dan nilai budi yang tinggi sepanjang musim ibadah haji.

“Tunaikan ibadah haji dengan penuh tertib, sabar dan mengikut peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi,” titahnya di Masjid Sultan Salahuddin Idris Shah, di sini.

Baginda turut menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan memandangkan kota Mekah dalam proses penambahbaikkan serta pembinaan, selain mengamalkan perbelanjaan berhemah ketika berada di sana.

Majlis penutup ini turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (7)Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, berkata lebih 3,600 orang bakal haji dari Selangor dipilih untuk musim kali ini.

Katanya, Tabung Haji membelanjakan kos hampir RM3.6 juta untuk penganjuran kursus haji di seluruh negara, manakala jumlah tanggungan keseluruhan haji setiap tahun adalah melebihi RM130 juta.

“Ini tidak termasuk tanggungan Tabung Haji bagi setiap seorang jemaah Haji Muassasah iaitu RM6,175 seorang bagi mengekalkan kos pergi haji sebanyak RM9,980 seorang pada tahun ini,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor hadiri bacaan Yassin, tahlil sempena Hari Pahlawan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat ke majlis bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat bagi memperingati pahlawan yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara.

Keberangkatan baginda ke majlis bersempena Hari Pahlawan 2014 itu diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

MB dan Sultan berbuka puasa di Masjid di Assam Jawa (3)Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin turut mencemar duli berangkat ke majlis yang diadakan di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelotong, di sini.

Selepas selesai bacaan Yassin, tahlil dan doa selamat, baginda Sultan Selangor turut berkenan sembahyang Jumaat bersama masyarakat di Bukit Jelutong.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Mohd Farhan Wijaya ketika membacakan khutbah mengingatkan umat Islam negara ini tidak lupa pengorbanan pahlawan negara seperti Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Kilau, Dr Burhanuddin Helmi, Datuk Onn Jaafar dan lain-lain.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan: Rakyat perlu lupakan ideologi politik, kukuhkan silaturrahim

Oleh :LIZAWATI MADFA

HULU LANGAT, 25 JULAI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya seluruh rakyat melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik.

Baginda bertitah, rakyat perlu menumpukan sepenuhnya perhatian kepada amal ibadat dan bersatu padu serta mengukuhkan silaturrahim antara satu sama lain.

Dengan itu, titah baginda, rakyat akan mendapat faedah serta kebaikan daripada Allah.

sultan“Oleh yang demikian, marilah kita berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan serta tanggungjawab kepada keluarga, agama juga negara.

“Beta harap kita semua akan dapat menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin,” titah baginda di hadapan hampir 1,000 hadirin ketika majlis berbuka puasa bersama rakyat dan perasmian Masjid Teras Jernang, di sini, semalam.

Turut mengiringi baginda adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Selain itu, baginda turut menyampaikan ucapan selamat hari raya aidilfitri bagi tahun 1435 hijrah kepada seluruh rakyat.

sultan“Semoga rakyat beta dapat menyambutnya dengan keadaan yang selamat dan sejahtera. Beta juga berharap seluruh rakyat sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika memandu walau di mana berada,” titah baginda.

Pada majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 300 orang penerima fakir dan miskin, 150 saudara baru serta 148 anak yatim.

-NFN-

Categories
SELANGOR

DYMM Sultan Selangor rasmi Masjid Bandar Bukit Puchong

Oleh: AFIX REDZUAN

PUCHONG, 19 JULAI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Bandar Bukit Puchong dan berbuka puasa bersama rakyat, semalam.

Sejarah permulaan masjid yang tersergam indah itu bermula dengan pewartaan tapak masjid pada 30 Julai 2007 dengan keluasan 17,828 meter persegi.

Masjid itu yang mula dibina pada 9 Ogos 2007, siap sepenuhnya pada 30 Disember 2008 dengan kos pembinaan berjumlah RM4.25 juta.

Sultan berbuka di Masjid Bandar Baru Puchong (4)Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sahibus Samahah Ahmad Zaharin Mohd Saad, berkata ruang solat utama masjid mampu menampung kapasiti 500 jemaah dalam satu masa, manakala ruang legar termasuk ruang tambahan mampu menampung jemaah sehingga 1,300 orang.

Katanya, dana pembinaan masjid itu turut diterima hasil sumbangan kariah Bandar Bukit Puchong, yang mana hasil kutipan digunakan untuk penambahbaikan masjid seperti menyediakan kelengkapan pendingin hawa di ruang solat utama, pembaikan tandas muslimin serta pembinaan bilik pengurusan jenazah.

“Masjid ini diserahkan secara rasmi kepada Ahli Jawatankuasa masjid dan kariah untuk digunakan pada 28 Ogos 2008.

Sultan berbuka di Masjid Bandar Baru Puchong (3)“Diharapkan dengan perasmian masjid hari ini akan memberikan suntikan semangat kepada ahli jawatankuasa dan kariah dalam mengimarahkannya.

“Ahli jawatankuasa perlu mempunyai kemampuan dan kebolehan mengurus tadbir dan mengimarahkan masjid ini bertetapan dengan kehendak Islam,” katanya.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak yatim dan fakir miskin.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Hannah: DYMM Sultan Selangor Titah Laksanakan Tugas Sebaik Mungkin

sultan hannah khalid 28 jun 01

SHAH ALAM, 28 JUN : Usianya yang masih muda tidak patut menjadi penghalang kepada Hannah Yeoh Tseow Suan untuk melaksanakan tugasnya sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), dengan sebaik mungkin.

Itu merupakan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Hannah yang menjadi wanita pertama dilantik Speaker dewan undangan negeri.

“Nasihat Tuanku kepada saya sebagai Speaker yang paling muda, Tuanku mengatakan saya kena ‘do my best’, buat yang terbaik untuk Dewan Negeri.

“Dan peluang macam ini tak selalu datang. Jadi kena ambil kesempatan belajar sebanyak yang mungkin,” ujar Adun Subang Jaya itu ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Persidangan Penggal Pertama DNS ke-13 di sini hari ini.

Hannah berkata, baginda Tuanku juga berharap beliau dapat memajukan DNS agar menjadi dewan undangan negeri yang terbaik di Malaysia.

“Tuanku gembira cara Sidang Dewan telah berjalan dalam masa lima tahun lepas. Tuanku juga minta Sidang Dewan akan terus maju,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Pentingkan Kebajikan Rakyat : Adun PR Selangor Junjung Titah Sultan Selangor

dewan-rakyat

SHAH ALAM, 29 JUN : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya mementingkan, memelihara serta meningkatkan kebajikan rakyat di negeri ini.

eanExco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Ean Yong Hian Wah berkata, titah DYMM Sultan supaya Kerajaan Negeri memperluaskan dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) itu adalah demi kebaikan rakyat di negeri ini.

Katanya, bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela, pimpinan PR berhasrat untuk meneruskan program MES sedia ada selain menambah beberapa agenda lain bagi memenuhi kehendak rakyat.

“DYMM Tuanku memuji program MES yang dilaksanakan Kerajaan Negeri, maka kita akan meneruskan usaha untuk memberi lebih banyak kebajikan kepada rakyat.

“Saya juga menyambut baik saranan DYMM Tuanku untuk meningkatkan pelaburan asing dan domestik dengan berusaha sedaya upaya mengekalkan negeri Selangor sebagai satu destinasi pelaburan terbaik di Malaysia,” ulasnya berhubung titah DYMM Sultan Selangor sempena Majlis Perasmian  Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13 semalam.

ngsueelimSementara itu, Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menyifatkan seruan Tuanku Sultan supaya wakil rakyat dan penjawat awam bersama-sama membangunkan Selangor dan menjaga kepentingan rakyat perlu disambut baik oleh semua pihak.

Malah katanya, titah Sultan berhubung peningkatan rizab Selangor sehingga mencecah RM2.5 bilion membuktikan kecekapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menguruskan perbelanjaan negeri.

“Ini adalah satu perakuan yang cukup baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat di mana terbukti pimpinan Menteri Besar cukup cekap khususnya dalam pengurusan ekonomi dan berbelanja secara berhemah.

“Dalam tempoh lima tahun dan penggal kali ini, kemenangan PR sudah bertambah lebih sekaligus menunjukkan bahawa rakyat cukup berpuas hati dan menerima cara pentadbiran PR yang telus, berintegriti dan berwibawa,” katanya.

rodziahTitah Sultan berkenaan kebajikan Orang Kelainan Upaya(OKU) dan Orang Asal disambut baik Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Baginda berharap agar kedua-dua golongan tersebut terus dibela supaya mereka dipandang sama rendah dan tinggi dengan semua rakyat yang lain.

“Sebenarnya sejak tahun lepas kita (Kerajaan Negeri) sudahpun bersetuju untuk mewujudkan Majlis Pemuafakatan OKU agar kita dapat melihat dengan lebih dekat akan kehendak dan kepentingan mereka selain daripada menyediakan infrastruktur yang sesuai,”kata Rodziah yang ditemui sejurus selesai majlis perasmian.