Categories
SELANGOR

Sultan Selangor saran JAIS miliki SOP penguatkuasaan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 OGOS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disaran supaya memiliki standard operating procedure (SOP) yang lengkap dan kemas serta mengaplikasikannya ketika menjalankan tugas penguatkuasaan, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah, prosedur yang teratur penting bagi memelihara nama baik JAIS kerana terdapat golongan tertentu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mempertikai setiap tindakan dan kredibiliti organisasi terbabit dalam melaksanakan tugas.

“JAIS perlu mengelak daripada bertindak secara kasar serta keterlaluan dan mengenepikan hak seseorang individu di bawah undang-undang.

Majlis Ramah Mesra JAIS dgn DYMM dan MB (5)“Beta percaya jika penguatkuasaan dilakukan berdasarkan undang-undang dan SOP, ia akan memastikan hanya mereka yang melakukan kesalahan dibawa ke muka pengadilan,” titah baginda pada Majlis Perjumpaan bersama Pegawai dan Kakitangan JAIS di Dewan Jubli Perak, semalam.

Sultan Sharafuddin turut menyeru JAIS supaya melaksanakan persiapan rapi sebelum melakukan tindakan penguatkuasaan seperti membawa peralatan lengkap untuk siasatan dan serbuan.

Baginda bertitah, JAIS supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan lain bagi melicinkan sesuatu operasi di samping menjaga keselamatan pegawai yang melaksanakan penguatkuasaan.

“Beta mahu JAIS sentiasa menjalankan tugas secara profesional, tidak keterlaluan di dalam melaksanakan penguatkuasaan, menghormati penganut agama lain dan sentiasa melakukan sesuatu tindakan secara berhemah,” titah baginda.

Selain itu, Baginda turut menasihatkan JAIS supaya memberi penekanan kepada penguatkuasaan kes yang lebih berat dan penting seperti ajaran sesat, isu murtad dan perkara yang mencemar kesucian agama Islam.

Jais-logo kecikBaginda bertitah, JAIS perlu bertindak dalam lingkungan tugas membabitkan kesalahan isu agama Islam sahaja tanpa mengganggu tugas serta bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini adalah bagi mengelakkan tohmahan terhadap JAIS yang mengambil tindakan bukan dalam bidang kuasa mereka dan lebih menumpukan kepada perkara remeh sedangkan isu yang lebih besar tidak diberi keutamaan,” titah baginda.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.