Categories
NASIONAL

Tun M: “Sejak PRU-13 dasar Najib tidak pernah berubah”

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 OGOS: Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad hari ini menarik balik sokongannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selepeas beliau melihat tindakan kepimpinan Najib tidak berkesan berbanding Tun Abdullah Badawi.

Katanya dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin.

www.kualalumpurpost.net_wp-content_uploads_2013_05_najib-mahathir“Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima,” menerusi laman blognya, Chedet.cc.

Katanya, beliau tidak menyangka pencapaian Najib dalam Pilihanraya Umum ke13 (PRU-13) lebih buruk dari Tun Abdullah.

“Harapan saya Dato Seri Najib akan mengambil ikhtibar dari prestasinya yang buruk dalam Pilihanraya Umum ke 13.

“Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Dato Seri Najib.

” Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur,” katanya.

Beliau berkata penarikan sokongan bermula dengan pendirian ‘melayani semua tuntutan musuh’  dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang buang daerah.

Tindakan ini katanya tidak sedikit pun mengurangkan tentangan oleh parti lawan sebaliknya jenayah bertambah dengan banyaknya kerana pembebasan ketua-ketua kumpulan.

Jelasnya penggunaan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan rakyat apabila sahaja pilihanraya umum diadakan menjadikan rakyat terlalu bergantung segala-galanya kepada kerajaan.

“Bagi yang betul-betul miskin, bantuan seperti ini memanglah wajar. Tetapi beribu rakyat yang ditawar menolak bantuan wang seperti ini.

“Semangat rakyat untuk bekerja menjadi luntur apabila mereka diberi ganjaran tanpa apa-apa usaha oleh mereka. Semangat ini tidak akan menolong pembangunan negara,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.