Categories
SELANGOR

26 belia terima Insentif Perkahwinan Belia Selangor RM500 seorang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 SEPT: Seramai 26 belia Selangor yang mendirikan rumah tangga tahun ini menerima Insentif Perkahwinan Belia Selangor sebanyak RM500 setiap seorang daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Antara penerima insentif terbabit, kakitangan swasta, Janaki a/p Subramaniam, 29, menganggap pemberian ini merupakan salah satu tanda keprihatinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Abdul Khalid.

belia6“Prestasi Kerajaan Negeri selama enam tahun ini memang nampak cukup prihatin dengan isu kebajikkan rakyat termasuk golongan belia di mana dengan pemberian ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban belia yang baru berkahwin.

“Lebih-lebih lagi, belanja perkahwinan sekarang ini semakin meningkat tinggi tetapi dengan adanya bantuan RM1,000 ini banyak membantu kami sebagai pasangan baru berkahwin,” kata Janaki yang menetap di Klang kepada Selangor Kini.

Janaki dan suaminya yang juga rakyat Selangor menerima Insentif Perkahwinan Belia Selangor keseluruhan sebanyak RM1,000.

Sementara itu, Juruteknik syarikat swasta, Surenthiran a/l Kaniappan, 29, pula berkata insentif seperti ini perlu diteruskan bagi membuktikan slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor sebagai dasar pentadbiran Kerajaan Selangor.

“Sangat berbeza dari dahulu, sekarang macam-macam program diadakan untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kemakmuran Negeri Selangor.

“Cuma soalnya, kita tidak boleh cuma tunggu di depan pintu rumah sahaja dan menyalahkan kerajaan untuk dapatkan pelbagai kemudahan dari program yang kita layak. Promosi ada dijalankan dan kita kena ambil tahu apa atau sekurang-kurangnya bertanya di pejabat-pejabat ADUN,” kata beliau.

Peniaga, Mohd Najmi Hashim, 43, pula berkata hanya pentadbir yang mementingkan intergiriti sahaja yang mampu meningkatkan rezab negeri dan bantuan kepada rakyat.

“Kalau pentadbir tak amanah, bolehkah dana rakyat dipertingkatkan sebab sudah pasti dana itu dibelanjakan dengan sesuka hati. Silap gaya wang rezab susut banyak tetapi kebajikan dan pembangunan infrastruktur entah ke mana,” kata Mohd Najmi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.