Categories
BERITA UTAMA

Apa yang kita boleh belajar daripada krisis MB Selangor?

Oleh: Adeeba Adni

Realiti, bukan kebenaran, adalah hasil reaksi/tindakbalas dinamika politik yang dipergunakan oleh para aktivis politik, khususnya para pemimpin untuk mencapai apa saja kehendak dan cita-cita semasa.

Amat tidak enak, malah membawa konotasi sesuatu yang membahayakan apabila ada di antara mereka ini digelar “warlords”.

selangorRealiti itu yang ingin diyakinkan di kalangan rakyat dan mereka yang mencari kesahihan berita dan kejadian. Bahkan ia ingin agar dapat diterima sebagai suatu realiti oleh pimpinan yang lain. Ukuran sesuatu itu sahih atau tidak adalah suatu ijtihad peribadi.

Panduan kesahihan sesuatu itu ialah ia diredhai di sisi Tuhan Pencipta manusia.Maka perlulah aktivis politik mengenal Tuhan itu kerana pengenalan terhadapNya akan memberikan petunjuk terhadap apa yang sahih, bagaimana untuk membuat pilihan dan membuat keputusan/ijtihad dalam jangkamasa dan langkah yang tidak merugikan sesiapa, terutamanya rakyat jelata.

Kesahihan yang diredhai oleh Allah swt ialah yang dapat dibuktikan dengan jelas. Ia harus dianggap sahih secara kolektif dan ia perlu dihebahkan tanpa sebarang zarah kezaliman ke atas apapun atau sesiapapun – ia berhasrat untuk mencapai redhaNya dalam segala aspek dan perspektif kerana mereka yang menghebahkan realiti itu akan dipertanggungjawabkan di mahkamah Allah swt kelak.

Dengan sebab itu, politik baru, politik berlandaskan nilai hanya mampu didokong dan diamalkan oleh mereka yang sensitif terhadap kepertanggungjawaban sedemikian, yang punya mekanisme “check and balance” dalam diri mereka sendiri, yang punya para penasihat yang menasihatkan tentang pertanggungjawaban itu dan penasihat itu sendiri punyai dalam diri mereka mekanisme “check and balance” juga.

Tetapi, anggota parti dan rakyat juga mestilah memilih mereka yang sebegitu terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, amatlah imperatif untuk mengenali pimpinan yang akan dipilih, bukan memilih mereka yang paling banyak menawarkan kebendaan, wang ringgit, pangkat, kedudukan dan segala kewahan dunia.

Pimpinan yang sedemikian akan mudah kemudiannya untuk mengsonglap segala harta dan khazanah rakyat di hadapannya apabila mereka berkuasa ke atasnya nanti dan berleluasa rasuah dan segala maksiat dalam pengurusan dan pentadbiran hal ehwal rakyat. Tentunya mereka perlu menggantikan segala wang, kebendaan dan apalagi yang telah mereka gunakan untuk meraih kemenangan dan undi.

Bagaimana boleh Muhammad Nazreen (MN) menyatakan bahawa kita belum bersedia untuk politik baru?

rakyat majmukRakyat sudah bersedia untuk mendamba erat politik baru. Tetapi para pemimpin masih selesa dan terus mara dengan politik bangsat, yang tiada berperikemanusiaan dan tanpa berpegang pada sempadan halal dan haram.

Politik baru ialah politik yang berlandaskan nilai (value-based politics). Ciri utamanya ialah melaksanakan musyawarah dan pembuatan keputusan secara kolektif sebagai norma.

Ia bukan dipaksakan dan bukan pula memenuhi agenda sempit individu atau kelompok anggota parti dan pemimpin. Dan sama sekali tidak berhasrat untuk memperbodohkan manusia lain.
Mereka yang enggan berkongsi secara telus sebarang agenda adalah mereka yang punya agenda peribadi dan tersendiri.

Politik berlandaskan nilai menuntut aktivis dan pimpinan meletakkan kepentingan awam mengatasi dirinya dan tidak akan menghancurkan apa yang ada di tangannya semata-mata untuk menegakkan kesahihan berkaitan peribadinya.

Politik berlandaskan nilai menuntut agar berlaku pengorbanan dari semua pihak untuk berundur dan bergencatan senjata serta serta-merta mengambil jalan yang terhormat dan terbaik untuk kepentingan semua pihak.

Tiada yang akan memperolehi kesemua yang dihajati, tetapi bersama mencari suatu penyelesaian yang “viable” dan akhirnya merapatkan semula saf yang berpecah dan memberikan hak kepada setiap insan yang terlibat.

Keluhuran hati itu akan tercerna di bibir dan dari tindakan seorang pemimpin ketika saat-saat yang genting di persimpangan membuat keputusan yang akan merubah lanskap politik di sekelilingnya – dari yang kucar kacir dan berbalah kepada yang tersusun, kembali berfungsi memfokus ke arah melaksanakan reformasi tulin, membina semula kepercayaan dan saff perjuangan dengan penuh keinsafan dan kasih sayang, tanpa sebarang dendam.

Kesemua itu tidak sukar dilaksanakan jika ada keazaman dan kesanggupan politiknya (political will).

Bukan tidak bersedia dengan politik baru tetapi pendokong politik baru tidak sepakat, tidak punya jentera yang kemas, mudah diinfiltrasi dan majoriti bilangan yang tulus hanya bersedia untuk menjadi “armchair politician” sahaja.

Antara faktor utama yang lain ialah majoriti kedudukan pembuatan keputusan dan sistem parti itu adalah di bawah kawalan “warlords” yang menghalal sebarang cara untuk mencapai matlamat.

Kesengajaan untuk tidak mendidik anggota parti tentang demokrasi dan sistem pilihan raya dalaman adalah sebahagian dari taktik untuk memenangi sebarang pilihan raya parti tanpa integriti yang diperlukan.

Ketulusan dan kerangka minda yang betul belum tentu akan menjayakan agenda politik baru.

Ada segolongan mereka yang mempercayai politik baru telah memilih untuk tetap bersama “warlords” dengan alasan bahawa ia taktik politik yang bijak untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan agar dapat meneruskan agenda reformasi.

Perlu diketahui bahawa kedudukan di manapun tidak akan mengukuhkan politik baru dan mengangkat agenda reformasi jika jelas lisan dan bahasa badannya adalah bersekongkol dengan “warlords” yang menganggap enteng politik durjana dan segala kejelekannya – keduanya menjadi kemestian dalam setiap permainan politik mereka, tiada peduli apa yang akan dihancurkannya, jika mereka tiada mendapati apa yang dihajati, maka dijahanamkan semuanya agar orang lain tidak dapat memilikinya.

Politik baru adalah kepolitikan yang mengamati ketertiban dan peraturan. Justeru, pilihlah para pemimpin yang faham dan mengamalkan perlembagaan dan peraturan parti dan pentadbiran lainnya dengan teliti dan beradab mengikut apa yang tertulis. Bukan yang cenderung ke arah kepolitikan eksklusif dan bersifat diktator.

Proses yang dilalui oleh Pakatan Rakyat adalah suatu “cleaning process”. Mohon rakyat menginsafi bahawa Pakatan Rakyat dimeterai hanya baru enam tahun, maka fasa penyelarasan dan kesesuaian masih di peringkat usia yang masih muda.

Ada beberapa asas dalam proses pembuatan keputusannya yang perlu dipatuhi, antara yang penting ialah pelantikan Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah dari kalangan parti yang diamanahkan untuk mentadbir negeri berkaitan.

Sebarang “deviation” daripada asas itu perlulah dengan kesepakatan Pakatan Rakyat, bukan tindakan berasingan mana-mana anggota parti PR.

PAKATAN RAKYATDalam isu pelantikan Menteri Besar yang baru di negeri Selangor, prerogatif adalah daripada parti yang diamanahkan menerajui pentadbiran negeri Selangor, iaitu KEADILAN. Sebarang “deviation” dari asas itu oleh PAS atau DAP akan dianggap sebagai suatu kebiadaban.

Apa yang diperlukan dalam arena politik semasa ialah pembinaan kepercayaan di kalangan mereka yang inginkan reformasi/islah/pembaharuan. Ia perlu diutamakan. Kepercayaan akan terbina jika peraturan dan asas yang dibina bersama dipatuhi dengan konsisten. Ia perlu didokumentasikan dan dirakyatkan.

Ia perlu dilaksanakan di semua peringkat dan menjadi budaya PR. Rakyat akan melihat itu sebagai suatu ciri dan budaya politik PR. Tidak sukar, dan alangkah mudah jika asas itu ada secara rasminya dan diikutinya sebagai suatu konvensyen bukan menerusmarakan budaya ISH (ikut sedap hati) dalam politik dan kepolitikan PR.

Bukan budaya menangguk di air keruh, bukan budaya ingin mendominasi mana-mana pihak dan bukan merayakan sebarang zarah politik durjana. Juga penting ialah untuk membentuk suatu mekanisme ombudsman (sistem penyeliaan dan pengaduan) yang bebas, telus dan adil agar mereka yang benar-benar ditindas dan dizalimi mendapat keadilan yang hakiki.

Apakah kita belum bersedia untuk sesuatu yang sebegitu baik dan diredhai oleh Allah swt? Yang tentunya akan didokongi oleh rakyat jelata jua? Apa yang menghalangi kita? Jika kita percaya, yakini dan berhasrat, maka apakah yang menghalangi kita?

Sejujurnya, apakah yang menghalangi kita?

* Adeeba Adni ialah seorang penulis bebas, aktivis memasyarakat kebajikan dan politik.

Artikel ini adalah respon kepada tulisan Muhamad Nazreen, Apa yang boleh kita belajar daripada krisis Selangor, 1 September 2014. http://wargamarhaen.blogspot.com/2014/09/apa-yang-kita-boleh-belajar-daripada.html?m=1

Leave a Reply

Your email address will not be published.