Categories
NASIONAL

Arahan henti perbahasan isu perbezaan pandangan pimpinan tertinggi

Oleh Afix Redzuan

BATU PAHAT, 18 SEPT: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din hari ini mengarahkan semua perwakilan muktamar yang belum berbahas supaya menghenti isu menyentuh perbezaan pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan pimpinan lain.

Ini berikutan sesi perbahasan perwakilan pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 bertema Terus Beristiqamah sejak semalam membabitkan isu berkenaan menimbulkan situasi tegang.

“Saya ingin mengarahkan semua isu itu, berhenti setakat itu sahaja. Perwakilan lain yang akan bercakap, saya berharap isu itu ditutup kerana semua sudah dapat maklumat. Yang atas (pimpinan) pun sudah catat, akan diulas dalam penggulungan.

“Kalau itu dapat dipatuhi, saya boleh katakan keadaan akan reda. Kalau dipanaskan barang yang panas, takut lebih tidak baik,” katanya yang diberi ruang sebaik sahaja sesi petang perbahasan bermula.

Sejak semalam, perbahasan perwakilan menyentuh soal perbezaan pandangan antara Abdul Hadi dengan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkaitan isu Langkah Kajang dan pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Rata-rata perwakilan menyatakan sokongan terhadap Abdul Hadi dalam isu berkenaan.

Perwakilan Sabah yang memulakan perbahasan ucapan dasar presiden turut menyatakan kepatuhannya terhadap arahan itu walaupun bercadang menyentuh isu berkenaan.

Saksikan siaran langsung melalui tvselangorku.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.