Categories
SELANGOR

Isu MB: Hormati & taat keputusan Presiden PAS

SHAH ALAM 8 SEPT: Dewan Ulamak PAS Pusat menasihati ahli-ahli PAS menghormati keputusan Presiden dalam isu berkaitan dengan Menteri Besar Selangor dan memberikan ketaatan serta thiqah (kepercayaan) atas tindakan beliau.

Demikian dinyatakan pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dalam satu kenyataan, semalam.

PAS-for-AllMenurutnya, mesyuarat Dewan Ulamak PAS Pusat Sabtu lalu di Pejabat Agung PAS Pusat sebulat suara menegaskan bahawa tindakan dan arahan Presiden PAS dalam isu berkaitan dengan Menteri Besar Selangor merupakan kuasa prerogatif Presiden yang diperuntukkan oleh Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS, Pindaan (2011).

Tambahnya, Majlis Syura Ulamak sebagai badan yang diberi kuasa untuk menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS sebagaimana termaktub dalam fasal 8 (1a), dalam mesyuaratnya semalam turut mengesahkan hak Presiden tersebut.
Berikut adalah kenyataan Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat berkenaan isu itu :

Dengan merujuk kepada Perlembagan PAS, Fasal 8 (1) (a), yang memberikan kuasa kepada Majlis Syura Ulamak untuk menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS,

Maka mesyuarat Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada Ahad, 7 September 2014, membuat keputusan bahawa:

“Ketua” yang dimaksudkan di dalam fasal Fasal 26 (1) (a) tersebut hendaklah difahami sebagai mempunyai kuasa pemutus secara bersendiri walaupun berbeza dengan kehendak ahli perbincangan dan mesyuarat selepas melakukan perbincangan dan mesyuarat.

Dalilnya ialah firman Allah Taala dalam surah Aali ‘Imran ayat 159

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Maka hendaklah kamu berbincang dengan mereka dalam urusan tersebut. Maka apabila kamu telah bertekad (berazam) maka hendaklah kamu bertawakkal menyerah diri kepada Allah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang bertawakkal menyerah diri”

Pengambilan dalilnya ialah setelah mana Allah mengarahkan Nabi saw berbincang maka ditegaskan pula hak prerogatif Nabi saw untuk membuat keputusan sendiri iaitu “apabila kamu telah bertekad (berazam)”.

Tekad dan azam adalah merujuk kepada keputusan yang perlu dibuat oleh ketua selepas perbincangan.

Setelah bertekad dan berazam membuat satu keputusan maka kewajipan ketua ialah bertawakkal menyerah diri kepada Allah.

Menyerah diri kepada Allah adalah sifat ketua yang baik dan bertaqwa yang disukai oleh Allah. Bertawakkal dan berserah diri kepada Allah selepas seorang ketua keputusan pasti mempunyai hikmah dan kebaikan sama ada disedari atau tidak.

Majlis Syura Ulamak juga menasihatkan ahli-ahli dan pimpinan agar sentiasa selari dengan kehendak Islam sebagaimana tuntutan Perlembagaan PAS Fasal 7.

Hukum dan Kekuasaan (1) Adapun hukum yang tertinggi sekali pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.