Categories
SELANGOR

Kajian pembangunan belia siap Sept ini

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA SELANGOR, 8 SEPT: Kerajaan Selangor kini sedang melakukan kajian dasar berhubung pembangunan belia bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan hasilnya dijangka siap menjelang September ini.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata kajian dasar itu akan dipraktikkan ke dalam pembangunan belia bagi menjamin manfaat golongan itu untuk jangka masa panjang.

pc agrofest dan pc belia perkahwinan - 2“Beberapa kali (kajian itu) dipersembahkan kepada Exco dan kita akan lihat hasilnya nanti dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Walkaton di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr Yunus berkata Kerajaan Selangor menyambut baik pelancaran Hari Belia Bebas Dadah oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang positif kepada pembangunan belia di negara ini.

Beliau berkata meskipun Kerajaan Selangor sudah melancarkan program sama pada April lalu, namun semangat yang ditunjukkan KBS tidak boleh dipandang remeh.

Katanya pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga diminta untuk terus bergiat aktif dalam program seumpama itu dan menjalin kerjasama kuat bersama kerajaan pusat dan negeri untuk memerangi najis dadah.

“Saya ada menulis surat kepada Khairy Jamaluddin untuk melihat kesamaan dalam pembangunan belia di Selangor.

“Walaupun tiada jawapan secara langsung, tetapi saya melihat satu yang agak baik apabila dalam mesyuarat peringkat KBS, Selangor juga dijemput untuk bincang pembangunan belia.

“Ini satu yang positif walaupun dari segi kebersamaan dalam beberapa program itu tidak berlaku tapi saya lihat kepada yang lebih positif,” katanya.

KBS melancarkan program Hari Belia Bebas Dadah 2014 bagi mempertingkatkan kempen membasmi masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia di negara ini.

Keputusan itu susulan mesyuarat Jemaah Menteri yang mahu kementerian berkenaan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk melaksanakan kempen membasmi penyalahgunaan dadah.

Manakala di Selangor, program sama turut dilancarkan April lalu melalui pengajuran Hari Sukan Antarabangsa dengan tema “Belia Sihat Tanpa Dadah” untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal ke arah hidup aktif.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.