Categories
KENYATAAN MEDIA

Keluasan Tanah Rizab Melayu di Selangor meningkat sejak 2008

Kerajaan Selangor semenjak 2008 memantau secara lebih dekat tanah rizab Melayu bukan sahaja melibatkan keluasan tanah malah juga lokasi, jenis kegunaan tanah dan nilai tanah itu mengikut harga pasaran semasa.

YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim selepas menjadi Menteri Besar Selangor pada Mac 2008 telah menetapkan polisi bahawa setiap tanah rizab Melayu yang diambil untuk dibangunkan perlu diganti semula mengikut keluasan tanah yang telah diambil dan nilai tanah itu mengikut kadar semasa.

Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor juga telah menjalankan audit terhadap tanah-tanah rizab Melayu mengikut daerah bagi mengenal pasti keluasan sebenar kerana ada tanah-tanah yang tidak diketahui statusnya.

Mengikut statistik terbaharu yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, jumlah keseluruhan keluasan tanah rizab Melayu di negeri ini adalah 426,334.501 ekar atau 170,533 hektar.

Mengikut daerah, Sabak Bernam mempunyai 13 tanah rizab Melayu dengan keluasan 191,419.004 ekar; Kuala Selangor 57,779.831 ekar (66 rezab Melayu); Klang 19,913.801 ekar (14); Gombak 11,543.458 ekar (19); Petaling 2,776.141 ekar (7); Hulu Langat 33,473.474 ekar (15); Kuala Langat 45,272.742 ekar (14); Sepang 24,802.360 ekar (16) dan Hulu Selangor 39,353.690 ekar (29).

Berdasarkan Laporan Khas akhbar Utusan Malaysia hari ini berkenaan tanah rizab Melayu, boleh dibuat kesimpulan bahawa keluasan tanah rizab Melayu di Selangor telah meningkat lebih dua kali ganda daripada 51,083.50 hektar pada 2009 kepada 170,533 hektar pada 2014.

Peningkatan keluasan ini membuktikan Kerajaan Selangor semenjak 2008 telah mengambil langkah-langkah pro-aktif untuk menambah keluasan tanah rizab Melayu dengan mewajibkan penggantian semula bagi tanah rizab Melayu yang diambil untuk pembangunan mengikut keluasan dan harga semasa, menjalankan audit bagi mengenal pasti keluasan sebenar dan menghalang usaha mana-mana pihak termasuk ahli politik untuk menjual tanah rizab Melayu selain menghalang pencerobohan haram menerusi tindakan penguatkuasaan pihak berwajib.

Mengulas perkara ini, Menteri Besar berkata sebelum 2008 Kerajaan Negeri tidak tahu lokasi dan keluasan sebenar tanah rizab tetapi sekarang Kerajaan Negeri mempunyai maklumat- maklumat lengkap.

“Kita juga telah ada pasukan khas untuk pantau tanah rizab dan akan meneruskan usaha menjaga tanah ini dengan baik,” kata Menteri Besar

Leave a Reply

Your email address will not be published.