Categories
SELANGOR

Khusrin: Abdul Khalid berjaya pisahkan pentadbiran kerajaan dengan politik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 SEPT: Abdul Khalid Ibrahim merupakan Menteri Besar Selangor pertama berjaya memisahkan antara pentadbiran Kerajaan Negeri itu daripada pengaruh politik.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi berkata langkah itu membolehkan urusan pentadbiran dapat dijalankan dengan lebih berkesan dan telus tanpa campur tangan politik.

MB khalid“Saya sebagai kakitangan awam melihat tiada langsung campur tangan politik dalam pentadbiran beliau.

“Keadaan ini membolehkan kakitangan awam bebas membuat keputusan dengan telus tanpa mengira kepentingan politik,” kata Khusrin dalam Majlis Perpisahan di hari terakhir Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor ke-14, semalam.

Majlis yang dihadiri lebih 1,000 kakitangan awam itu diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Jelas Khusrin lagi, dasar telus yang diamalkan Abdul Khalid itu merupakan faktor beberapa kejayaan seperti meningkatkan rezab negeri sehingga lebih RM3 bilion.

Ketika menyentuh sambutan majlis serba ringkas itu, Khusrin menyatakan rasa terkejut apabila mendapati sambutan hangat yang diberikan kakitangan awam yang bertugas di bangunan SUK.

“Sepanjang pengalaman saya bertugas dengan beberapa Menteri Besar, saya belum pernah lihat majlis yang sebegini perpisahan Menteri Besar dengan kehadiran yang begitu ramai seperti ini,” kata Khusrin lagi.

Khusrin yang pernah memegang beberapa jawatan penting Kerajaan Negeri, diawal perlantikannya sebagai SUK pada penghujung 2010 mencetuskan kontroversi apabila dianggap tidak sehaluan dengan Pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah Abdul Khalid.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.