Categories
NASIONAL

KM Pulau Pinang: “Kenapa PPS dihukum hanya perbuatan salah seorang?”

GEORGE TOWN, 1 SEPT: Kerajaan Pulau Pinang menyediakan khidmat dan pembiayaan guaman mempertahankan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditahan secara salah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, khidmat itu disediakan kepada anggota PPS bukannya atas sebab salah laku jenayah, tetapi kerana menjaga kepentingan orang ramai.

PPS“PPS tidak pernah menyimpang daripada objektif memberi perkhidmatan kepada orang ramai,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, Exco Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri Phee Boon Poh bertanggungjawab memastikan bahawa anggota PPS yang melakukan salah laku dihukum.

“Jika terdapat sebarang kejadian jenayah yang melibatkan anggota PPS, kerajaan Pulau Pinang akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis untuk mengambil tindakan,” kata Guan Eng.

Tambahnya, Kerajaan Pulau Pinang berulangkali menjelaskan bahawa PPS tidak didaftarkan sebagai pertubuhan di bawah Seksyen 41 Akta Pertubuhan, tetapi oleh kerajaan negeri.

Katanya lagi PPS berfungsi sama seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ditubuhkan kerajaan negeri dan JKKK (Persekutuan) yang ditubuhkan oleh kerajaan Pusat melalui Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.

“Jika JKKK dan JKKK (P) tak salah, kenapa ada pilih kasih oleh Ketua Polis Negara untuk mengisytiharkan PPS yang ditubuhkan oleh kerajaan Pulau Pinang sebagai tidak sah?

“Mengapa seluruh 10,000 anggota PPS dihukum hanya kerana perbuatan salah seorang anggota PPS?” soal Guan Eng.

“Jika demikan, apakah KPN boleh menjawab bahawa 120,000 polis terpaksa dihukum hanya kerana perbuatan jenayah beberapa anggota polis yang melakukan jenayah, memukul orang sehingga menyebabkan kematian sama ada dalam lokap atau semasa soal siasat,” kata Guan Eng.

Leave a Reply

Your email address will not be published.