Categories
KENYATAAN MEDIA

Mahasiswa: Buktikan pentadbiran Azmin lebih baik daripada Tan Sri Khalid

Oleh: Muhammad Mus’ab Muzahar

IKRAM Siswa mewakili sebahagian daripada golongan mahasiswa yang mempunyai 5 buah cawangan di negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Mohamed Azmin Ali yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu pada pagi ini, 23 September 2014.

IKRAM Siswa seterusnya ingin menegaskan bahawa seluruh tumpuan kini terarah kepada YAB Azmin.

MB AzminSeharusnya, beliau mampu membuktikan kepada rakyat Selangor bahawa pentadbiran beliau adalah lebih baik dan cemerlang daripada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) sebelum ini.

Sudah pastinya YAB Azmin tidak mahu diturunkan pula oleh partinya nanti sebagaimana yang terjadi kepada TSKI.

Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kebelakangan ini yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menurunkan TSKI daripada jawatan Menteri Besar Selangor dan menggantikannya dengan Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail, menimbulkan polemik politik di negeri Selangor yang bukan sahaja mengelirukan rakyat Selangor, tetapi juga  mengelirukan rakan seangkatan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dengan perlantikan YAB Azmin Ali yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR sebagai Menteri Besar Selangor yang baru ini, IKRAM Siswa berharap agar konflik politik yang terdapat dalam PR, khususnya antara PKR dan PAS dapat ditamatkan segera dan tidak terus menjadi bebanan berita kepada rakyat.

PR seharusnya mula kembali fokus kepada memimpin negeri Selangor ke arah yang lebih baik, bukannya berkelahi sesama sendiri. YAB Azmin perlu sedar bahawa beliau kini bukan hanya Timbalan Presiden PKR, tetapi merupakan figura nombor satu yang menerajui kepimpinan negeri Selangor.

IKRAM Siswa juga menyeru agar YAB Azmin Ali dan pasukan barunya nanti akan dapat menjalankan tugasan mentadbir negeri Selangor kali ini dengan penuh rasa amanah, bertanggung jawab serta takut akan Tuhan bagi meyakinkan semula rakyat Selangor, khususnya mahasiswa kepada pentadbiran kerajaan PR.

*Muhammad Mus’ab Muzahar ialah Timbalan Presiden IKRAM Siswa Nasional merangkap Pengerusi JK Politik IKRAM Siswa Nasional

Leave a Reply

Your email address will not be published.