Categories
NASIONAL

Peguam: Bebaskan segera Pasukan Peronda Sukarela tanpa syarat

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 1 SEPT: DAP menuntut pembebasan lebih 200 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan tanpa syarat oleh sepasukan anggota polis ketika sedang menyertai perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri di Padang Kota, Pulau Pinang semalam.

Setiausaha Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo, berkata penahanan ahli PPS berkenaan memberi imej buruk kepada Polis dan menjadikan seruan kerajaan supaya orang ramai bersama-sama memerangi jenayah sebagai karut semata-mata.

PPSKatanya di sebalik tugas polis yang sepatutnya memberi tumpuan kepada peningkatan keselamatan, mereka dilihat lebih ‘berminat’ untuk bertindak ke atas rakyat yang komited membantu mereka dalam memerangi jenayah.

“Apa yang dapat dicapai dengan membuat tangkapan secara besar-besaran terhadap rakyat yang secara sukarela ingin menjaga keamanan negara?

“Bentuk jenayah apakah yang telah mereka lakukan sehingga pihak polis layak untuk membuat tangkapan dan penahanan tanpa syarat?” katanya dalam satu kenyataan.

BwasGVjCMAAt7J-Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata isu ini turut menjadi perhatian awam terutama di kawasan perumahan yang memiliki pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan rumah mereka.

Beliau mempersoalkan sama ada kumpulan pengawal ini turut berhadapan risiko penangkapan dan penahanan sekiranya masih meneruskan tugas menjaga keselamatan di kawasan kediaman.

“Ini adalah satu lagi contoh malang bagaimana Malaysia dan pentadbiran Najib sekali lagi akan menjadi bahan ketawa kepada dunia antarabangsa kerana kita mungkin satu-satunya negara yang membuat tangkapan ke atas rakyat yang secara sukarela membantu dalam memerangi jenayah,” katanya lagi.

Anggota PPS ditahan kira-kira jam 10.15 pagi berdekatan bulatan di Jalan Lebuh Pantai sebelum melintasi pentas utama ketika sedang menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan.

Mereka ditahan di Balai polis Lebuh Pantai sebelm dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk proses dokumentasi.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata PPS dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan ROS.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.