Categories
SELANGOR

23 projek di DUN Rawang terima peruntukan Marris

Oleh : AFEEQA AFEERA

RAWANG, 3 OKT : Sebanyak 23 projek diperuntukkan di bawah penyelenggaraan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) bagi memperbaiki serta meningkatkan kualiti jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang.

Adunnya, Gan Pei Nei, berkata keutamaan penyelenggaraan jalan raya di kawasan itu akan diberikan kepada jalan-jalan lama yang mengalami kerosakan teruk dengan peruntukan tahunan sebanyak RM3 juta bagi setiap DUN.

_MG_7672Beliau berkata kriteria pemilihan penurapan sesuatu kawasan dibuat berdasarkan senarai rekod aduan yang diterima Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Ahli Majlis dan pejabat Adun.

“Kita alu-alukan orang awam untuk membuat aduan jika mereka rasa perlu (turap jalan) di kawasan mereka.

“Kita juga dalam peringkat untuk menyusun projek (penurapan jalan raya) pada tahun depan tetapi dalam tempoh tiga bulan ini kita kena selesaikan isu jalan berlubang, kalau perlu turap kena mohon peruntukan khas daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan tapak di Bandar Country Homes yang akan diselenggara jalan utamanya di bawah peruntukan Marris, petang tadi.

Mengulas lanjut, Pei Nei, berkata kerja-kerja penurapan semula jalan raya di kawasan itu adalah sepanjang 1.2 kilometer dengan jumlah projek bernilai lebih RM873,000.

Katanya projek penyelenggaraan itu akan bermula selepas Hari Raya Aidiladha iaitu pada Selasa depan.

Selain itu, katanya peruntukan Marris juga akan diberikan kepada beberapa mukim Rawang yang lain dengan kos anggaran melebihi RM192,000.

“Kita mahukan supaya penduduk bersama membantu memantau kualiti kerja kontraktor ini kerana sekiranya mereka tidak menjalankan kerja mengikut prosedur yang ditetapkan, maka PBT akan tahan dulu bayaran mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah peruntukan Marris pada tahun hadapan bagi menjamin keselesaan rakyat.

Katanya sekiranya ia berlaku, peruntukan Marris bukan sahaja untuk menyelenggara jalan raya, tetapi turut merangkumi sistem perparitan dan infrastruktur khas di kawasan masing-masing.

“Kita baru turun padang bersama Menteri Besar untuk melawat beberapa kawasan di daerah Gombak dan beliau juga membuat pengumuman mungkin akan menambah peruntukan Marris tahun depan supaya duit ini akan digunakan sebaiknya untuk keselesaan rakyat.

“Saya tidak pasti berapa peruntukan akan dinaikkan, tetapi beliau sudah memberi arahan kepada pegawai Kerajaan Negeri untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan yang diberikan kerajaan pusat untuk rakyat Selangor,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.