Categories
KENYATAAN MEDIA

DBKL roboh Kampung Chubadak Tambahan, AMK gesa keadilan ditegakkan

Oleh: ANGKATAN MUDA KEADILAN

Angkatan Muda Keadilan  kesal dengan insiden di Kg Chubadak Tambahan, Sentul sehingga melibatkan tangkapan dua aktivis mahasiswa semalam.

AMK juga maklum bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu telah memutuskan bahawa penduduk di Kg Chubadak ini adalah setinggan dan bukan pemilik tanah yang sah. Keputusan ini dibuat berasaskan keputusan mahkamah persekutuan pada tahun 1982 yang menyatakan bahawa penduduk setinggan tidak berhak di sisi undang-undang dan ekuiti.

Keputusan ini jelas berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 1998 yang menyatakan bahawa Kg Chubadak adalah milik penduduk yang membuka penempatan di sana dan sekiranya ia mahu dimajukan, pampasan setara mesti diberikan kepada penduduk.

Malah, mahkamah rayuan pada tahun 2000 juga menolak dakwaan bahawa penduduk Kg Chubadak adalah setinggan dan penceroboh, sebaliknya bersetuju bahawa mereka adalah pemegang lesen yang sah dan dibenarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

AMK kesal apabila Kg Chubadak Tambahan disenaraikan bersama lima kampung lain sebagai kawasan setinggan oleh pihak DBKL melalui Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 sehingga membawa kepada pengusiran penduduk dan kejadian hari ini. Jelas, tindakan DBKL ini dibuat untuk memaksa pengambilalihan tanah di kawasan tersebut.

AMK berpendirian bahawa tindakan DBKL ini bukan sahaja tidak wajar, malah zalim. DBKL seharusnya menghormati kemuliaan insan dan tidak mengambil jalan mudah dalam proses pengambilalihan yang ingin dilakukan.
Sekiranya benar kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan bahawa pengusiran ini perlu dibuat untuk memberi laluan kepada pembangunan rumah kos rendah, maka apa yang sepatutnya dibuat ialah bukan pengusiran, tetapi pemindahan sementara dan jaminan bahawa setiap penduduk di Kg Chubadak Tambahan ini masing-masing akan diberikan satu unit rumah sebagai pampasan kepada pengambilalihan tanah mereka.

AMK sekali lagi ingin mendesak agar tindakan mengusir penduduk Kg Chubadak Tambahan segera dihentikan. Pihak kerajaan dan DBKL wajib membentuk prosedur yang jelas untuk memastikan agenda pembangunan diuruskan dengan cara manusiawi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.