Categories
NASIONAL

Mahasiswa: “Kampung Chubadak, kita lawan sampai menang”

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Nasib pasangan warga emas dan penduduk Kampung Chubadak akan terus diperjuangkan mahasiswa agar mereka mendapat keadilan sewajarnya.

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) memandang serius isu perobohan rumah penduduk kampung itu yang sebagai tindakan zalim daripada pihak berkuasa dan pemaju.

Kampung ChubadakPresidennya, Khairol Najib Hashim, berkata dengan gabungan tenaga bersama beberapa persatuan mahasiswa dan pihak lain, PMIUM tekad berusaha agar penduduk kampung terbela.

Katanya, insiden berlaku kepada Abdul Halim Hamid, 76, dan isteri, Wahidah Mat Salleh, 72, mendapat perhatian mahasiswa yang terus menyokong dan membina rumah mereka biarpun dirobohkan sejak Jun lalu.

“Ini perjuangan pertama, baru rumah Halim dan Wahidah. Ada lebih kurang 50 rumah lagi yang akan kita terus perjuangkan. Kita akan lawan sampai menang,” katanya dalam program “Opah Wahidah Masuk Universiti” di Universiti Malaya di sini malam tadi.

Khairol Najib berkata, hasil perbincangan bersama pemaju, Sentul Murni Sdn Bhd, yang juga disertai Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, beberapa persetujuan dicapai bagi penyelesaian kes Halim dan Wahidah.

Katanya, antara tuntutan dipersetujui ialah pemaju akan membayar pampasan setimpal, memberikan rumah sementara dengan kos sewa dalam tempoh menunggu rumah disiapkan serta segala kos guaman turut ditanggungnya.

“Turut dipersetujui ialah tempoh berpindah pada 15 November ini dan tiada pencerobohan akan berlaku dalam masa itu,” katanya sambil menjelaskan mahasiswa akan terus memantau perkara berkenaan.

EZY

Categories
NASIONAL

Tian Chua: Roboh Kampung Chubadak, DBKL tak bertanggungjawab

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 OKT: Isu Kampung Chubadak perlu diselesaikan segera pihak berkuasa supaya tidak mendatang masalah kepada penduduk kampung berkenaan, kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Beliau berkata, perkara itu tidak sewajarnya berlarutan begitu lama dan satu keputusan perlu dicapai berhubung tuntutan penduduk bagi penyelesaian isu berkenaan.

Interview penduduk Kg. Chubadak (6)“Memang penduduk sudah menuntut supaya satu ganti rugi yang munasabah dirunding tetapi sehingga kini mereka tidak dapat selesaikan.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa lain untuk membenarkan perobohan ini berlaku,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Tian Chua berkata demikian ekoran tindakan merobohkan beberapa rumah di Kampung Chubadak yang dikatakan bagi memberi laluan pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan.

tianBeliau mendakwa tindakan pihak berkuasa juga tidak kena pada masanya apabila mengambil kesempatan ketika rayuan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

“Ia juga memilih satu masa, yang mana tumpuan kita tertumpu kepada kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berjalan.

“Mereka mengalihkan pandangan serta mengambil tindakan untuk merobohkan beberapa rumah di Kampung Chubadak. Ini satu tindakan yang amat dikesali,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Chubadak: Harapan musnah kerana tiada keadilan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Harapan penduduk Kampung Chubadak, di sini, untuk mendapat pembelaan sewajarnya dilihat tipis kerana apa berlaku setakat ini dianggap tidak adil terhadap mereka.

Aktivis masyarakat, Nashita Md Noor, 48, berkata keadaan yang berlaku dianggap zalim kerana perbincangan tidak dijalankan secara adil dan saksama.

Nasshita“Ketika penduduk mengadakan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian dengan pihak berkuasa, pihak satu lagi mengambil kesempatan untuk merobohkan rumah mereka. Di mana adilnya?

“Tiada apa lagi nak dipertahankan kerana duit pampasan juga tidak dapat. Masih ada harapankah?,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, seharusnya pampasan diberikan kepada penduduk seperti pasangan Abdul Halim Hamid, 76, dan Wahidah Md Noor, 72, supaya perancangan boleh dibuat apabila rumah mereka dirobohkan.

Namun, katanya, berlaku sebaliknya apabila rumah dirobohkan dan pampasan tidak diberikan.

“Kita akan membantu apa terdaya. Pembinaan khemah untuk Abdul Halim dan Wahidah adalah tanda untuk terus bertahan selagi pemaju tidak memenuhi apa sepatutnya yang menjadi hak penduduk,” katanya yang mendakwa rumah PPRT ditawarkan kepada penduduk tidak sesuai.

Interview penduduk Kg. Chubadak (ASRI)Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Ali Jamil, berkata hak masyarakat Melayu untuk menduduki kawasan bandar dinafikan kerajaan yang memerintah.

“Proses hutan belantara menjadi kampung, orang Melayu duduk tetapi proses kampung menjadi bandar, orang Melayu tiada. Ini ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Katanya, kerajaan BN mengabaikan golongan marhaen dengan kebanyakan tanah milik orang Melayu diambil bagi memberi laluan kepada projek pembangunan demi membela nasib golongan mewah dan berkepentingan.

“Sedangkan golongan miskin dan kurang berkemampuan tidak mempunyai tempat tinggal. Bila ini berlaku, orang Melayu terutama golongan muda akan terpinggir.

“Bila dibangunkan projek dan bangunan besar, anak Melayu tak mampu nak membeli dan memiliki. Maka, orang Melayu menjadi pelarian di negara sendiri,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Chubadak: Pasangan warga emas enggan pindah jika tak dibayar pampasan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Pasangan warga emas yang rumah mereka diroboh di Kampung Chubadak, di sini, semalam bertekad untuk terus mendiami kampung itu selagi tidak dibayar pampasan.

Kini, Abdul Halim Hamid, 76, dan isterinya, Wahidah Mat Salleh, 72, yang menetap di situ lebih 40 tahun lalu hanya berteduh di bawah sebuah khemah yang dibina jiran tetangga.

Abdul Halim berkata, dakwaan bahawa mereka sudah mendapat pampasan adalah tidak benar kerana sepanjang tempoh menduduki kampung itu mereka tidak pernah dibayar walaupun sedikit.

Halim“Ada yang kata dah dibayar pampasan RM100,000, bahkan ada yang kata macam-macam tetapi semuanya memang tiada. Sekarang ini dikatakan pula akan dibayar RM7,500 dan diarahkan pindah tetapi tiada juga.

“Kalau tidak dibayar pampasan yang sebetulnya, kami tidak akan berpindah dari kampung ini,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Pasangan terbabit berkata, rumah mereka dirobohkan tiga kali sejak Jun lalu dan tidak tahu apa kesudahan terhadap nasib mereka.

“Kami tinggal di sini sejak 1964 bila kali pertama meneroka kawasan ini. Sepatutnya, hak kami tidak dinafikan sehingga begini. Kini, ia berlaku sebaliknya.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menjalankan bancian seadilnya supaya isu ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata bekas konduktor bas itu.

Sementara itu, Darus Jam, 62, pihak berkaitan perlu merujuk kepada keputusan mahkamah berhubung program pembangunan di kawasan berkenaan.

Darus jam a“Mahkamah Rayuan pada 2000 membuat keputusan berhubung perkara ini. Kawasan ini boleh dibangunkan tetapi pampasan mesti diberikan kepada semua penduduk. Yang menjadi persoalan kenapa arahan itu tidak diikuti?,” katanya.

Darus berkata, rumahnya juga dikatakan akan dirobohkan dalam tempoh terdekat ini tetapi berdasarkan bancian DBKL, ia tidak termasuk dalam kawasan akan dibangunkan.

“Sekarang, saya tunggu apa akan berlaku pada rumah yang sedang didiami ini,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

DBKL roboh Kampung Chubadak Tambahan, AMK gesa keadilan ditegakkan

Oleh: ANGKATAN MUDA KEADILAN

Angkatan Muda Keadilan  kesal dengan insiden di Kg Chubadak Tambahan, Sentul sehingga melibatkan tangkapan dua aktivis mahasiswa semalam.

AMK juga maklum bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai lalu telah memutuskan bahawa penduduk di Kg Chubadak ini adalah setinggan dan bukan pemilik tanah yang sah. Keputusan ini dibuat berasaskan keputusan mahkamah persekutuan pada tahun 1982 yang menyatakan bahawa penduduk setinggan tidak berhak di sisi undang-undang dan ekuiti.

Keputusan ini jelas berbeza dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 1998 yang menyatakan bahawa Kg Chubadak adalah milik penduduk yang membuka penempatan di sana dan sekiranya ia mahu dimajukan, pampasan setara mesti diberikan kepada penduduk.

Malah, mahkamah rayuan pada tahun 2000 juga menolak dakwaan bahawa penduduk Kg Chubadak adalah setinggan dan penceroboh, sebaliknya bersetuju bahawa mereka adalah pemegang lesen yang sah dan dibenarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

AMK kesal apabila Kg Chubadak Tambahan disenaraikan bersama lima kampung lain sebagai kawasan setinggan oleh pihak DBKL melalui Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 sehingga membawa kepada pengusiran penduduk dan kejadian hari ini. Jelas, tindakan DBKL ini dibuat untuk memaksa pengambilalihan tanah di kawasan tersebut.

AMK berpendirian bahawa tindakan DBKL ini bukan sahaja tidak wajar, malah zalim. DBKL seharusnya menghormati kemuliaan insan dan tidak mengambil jalan mudah dalam proses pengambilalihan yang ingin dilakukan.
Sekiranya benar kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan bahawa pengusiran ini perlu dibuat untuk memberi laluan kepada pembangunan rumah kos rendah, maka apa yang sepatutnya dibuat ialah bukan pengusiran, tetapi pemindahan sementara dan jaminan bahawa setiap penduduk di Kg Chubadak Tambahan ini masing-masing akan diberikan satu unit rumah sebagai pampasan kepada pengambilalihan tanah mereka.

AMK sekali lagi ingin mendesak agar tindakan mengusir penduduk Kg Chubadak Tambahan segera dihentikan. Pihak kerajaan dan DBKL wajib membentuk prosedur yang jelas untuk memastikan agenda pembangunan diuruskan dengan cara manusiawi.

Categories
NASIONAL

Chubadak: Warga emas tidur dalam khemah lepas rumah diranap DBKL

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Sepasang warga emas di Kampung Chubadak Tambahan, dekat sini, terpaksa tidur dalam khemah selepas pondok usang yang mereka diami sebelum ini dirobohkan, semalam.

Wahida Mat Salleh, 73, dan suaminya, Halim, hilang tempat berteduh dan kini hanya tinggal di khemah sementara yang dibina secara gotong-royong oleh aktivis dan penduduk.

Memetik Harakah Daily, pasangan itu langsung tidak mendapat pembelaan dari kerajaan walapun kehidupan mereka daif ditambah dengan keadaan kesihatan yang semakin uzur.

chubadak1Bagi pasangan berkenaan, mereka tidak akan berganjak dari meninggalkan tapak rumah yang sudah didiami lebih 40 tahun itu walau apa juga terjadi.

Semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju berjaya meranapkan tempat berteduh mereka.

Dalam operasi itu, dua aktivis mahasiswa turut ditangkap ketika cuba menghalang rumah pasangan warga emas itu dari dirobohkan.

chubadak2Mereka adalah Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Abdul Muqit Muhammad dan Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan Gamis, Ahmad Fahmi Mokhtar.

Kedua-dua mereka bagaimanapun dibebaskan petang semalam selepas ditahan dan diambil keterangan lebih empat jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.