Categories
KENYATAAN MEDIA

Jurang antara realiti desa dan aspirasi Belanjawan 2015

Oleh: Rodziah Ismail

Sebanyak RM10.5 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani oleh Belanjawan 2015. Ia adalah pengurangan daripada kira-kira RM15 bilion dalam Belanjawan 2014.

Antara mekanisme utama dalam meneruskan agenda kesejahteraan rakyat luar bandar ialah keberhasilan yang boleh diteliti menerusi Belanjawan yang terdahulu yang telah disalurkan.

Ia belum dihebahkan secara menyeluruh, terbuka dan mudah diperolehi oleh rakyat jelata, khususnya oleh mereka di luar bandar.

Informasi adalah keutamaan dalam pembinaan masyarakat berilmu (knowledge-based society) yang menjadi ciri negara maju dan sebuah tamadun.

Lebih-lebih lagi ia menjadi keperluan yang mendesak ke arah usaha pembangunan yang hakiki populasi dan sumber di luar bandar.

Perlu juga diutarakan bahawa data yang ada masih tidak sempurna dalam mengasingkan jantina (disaggregated data) bagi mengetahui bilangan petani, peladang dan golongan-golongan wanita di luar bandar serta pencapaian mereka.

Apakah pencapaian sebenar status ekonomi, pengetahuan dan tahap kesihatan, pemeliharaan alam sekitar, pendidikan anak-anak, hasrat menghalangi penghijrahan anak muda desa ke bandar, jatidiri, jurang akses ICT antara penduduk bandar dan luar bandar, kecekapan dan keberkesanan serta kecelikan mengenai hak dan tanggungjawab warga luar bandar sebagai warganegara?

Dalam satu kajian dengan sebahagian penduduk desa, kesihatan kronik seperti diabetes, strok, penyakit berkaitan jantung, hilang penglihatan, pendengaran dan lain-lain adalah lazim, dan juga dalam lingkungan umur yang masih muda.

Ia sesuatu yang bercanggahan dengan kefahaman bahawa kegiatan yang kurang stres dan lebih santai dengan pemakanan semulajadi yang mudah didapati di desa boleh menjamin kesihatan yang baik atau mengurangkan pengidapan penyakit-penyakit yang kebiasaannya dihidapi oleh penduduk bandar.

Gejala sosial yang didapati dibandar seperti penagihan dadah yang tinggi, isu keselamatan penduduk dan harta benda mereka, khususnya wanita, juga berlaku di luar bandar.

Penggemblengan aset-aset berharga yang dimiliki oleh Malaysia seperti universiti, para ilmuan, para teknokrat, teknologi terkini, ahli strategis, blueprint untuk bekalan makanan yang mencukupi bagi rakyat Malaysia tanpa didominasi oleh pengimpotan, dan kesanggupan politik yang diperlukan sudah pasti mampu untuk melonjakkan kemajuan luar bandar secara sistematik, pantas dan telus dengan keberhasilan yang tuntas.

Contoh Selangor

Mode dan model pertanian yang menghasilkan padi sebanyak tiga kali setahun adalah kejayaan kolaborasi erat antara ahli akademik, teknokrat, kerajaan negeri Selangor, golongan petani,dan para pembuat dasar di negeri Selangor.

Menggabungkan nilai-nlai positif kedesaan(keprihatinan sesama insan, kebersamaan, pegangan nilai budaya, moral dan spiritual yang baik) dan kebandaran (akses terhadap berbagai perkhidmatan moden, pendidikan, kesihatan, perumahan yang baik, peluang-peluang ekonomi dan lain-lain), merupakan dasar yang wajar direalitikan kerana ia adalah sebahagian dari nilai-nilai dan pencapaian pembangunan yang sempurna, sehingga tiada lagi perbezaan yang ketara antara penduduk luar bandar dan bandar dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia.

Penglibatan dan peranan wanita dalam bidang pertanian dan kemajuan luar bandar perlu ditingkatkan dalam skop yang lebih luas, secara mendatar dan vertikal dengan penglibatan di semua sektor dan peringkat pembuatan keputusan yang boleh menyuarakan dan mengetengahkan isu-isu wanita luar bandar setempat dengan berkesan.

Wanita bukan hanya wajar dilihat sebagai sumber tenaga kerja yang hanya digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian.

“Secara kolektifnya, wanita desa adalah golongan yang mampu memacu kemajuan dunia.Kita perlu menggilap kuasa itu untuk mencapai jaringan objektif, melonjakkan usaha ke arah mencapai tujuan pembangunan milenium (MDG), melaksanakan pendekatan pembangunan lestari (sustainable development), dan memastikan pemeliharaan alam sekitar untuk kehidupan yang baik yang berterusan untuk generasi mendatang.” Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Kerajaan Umno-BN perlu lebih telus dalam usaha pencapaian bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat didesa, terutama wanita yang sebahagian mereka adalah ketua-ketua keluarga yang miskin.

Amatlah berbeza status warga luar bandar negara maju seperti UK di mana hanya 3% daripada golongan yang berprofesion adalah dari kalangan para petani di luar bandar yang adalah juga antara golongan yang terkaya di UK, bahkan di benua Eropah.

Selamat menyambut Hari Wanita Desa Sedunia 2014 (International Day of Rural Women).

* Rodziah Ismail adalah Adun Batu Tiga

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.