Categories
SELANGOR

Kelemahan sistem perparitan, sampah punca Kajang banjir

Oleh : AFEEQA AFEERA

KAJANG, 1 OKT : Kelemahan sistem perparitan, penyelenggaraan longkang dan kutipan sampah tidak konsisten didakwa antara punca yang menyebabkan masalah banjir kerap berlaku.

Tinjauan Selangor Kini di sekitar pekan Kajang mendapati rata-rata penduduk meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di situ yang dianggap membuat kerja ‘sambil lewa’.

Mereka mendakwa meskipun pelbagai aduan sudah dibuat berhubung perkara itu, namun tiada tindakan tegas daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menangani masalah berkenaan.

Seorang kakitangan swasta, Mohd Shafiq Riduan, 28, berkata penduduk di Kajang sudah berhadapan kejadian banjir kilat hampir tiga kali sejak tahun 2011 disebabkan pembangunan tidak terancang di kawasan itu.

Katanya sistem perparitan yang kurang memuaskan tidak mampu menampung aliran air yang banyak lebih-lebih lagi hujan lebat berlaku di kawasan itu.

vpopkajang1“Kejadian banjir sudah tiga kali berlaku di Kajang sejak 2011 hingga sekarang dan puncanya daripada projek pembangunan tidak terancang yang tidak memikirkan aliran air hingga menyebabkan longkang tersumbat.

“Kita hanya mengharapkan longkang besar di hadapan Pasar Kajang untuk menampung aliran air di sini dan kita semua tahu Kajang ini bukan pekan kecil.

“Bayangkan longkang hanya sedepa tetapi air yang melimpah itu ibarat penuh satu tangki, jadi memang banjirlah,” katanya.

Katanya ekoran insiden itu penduduk juga mengalami kerugian apabila kebanyakan kenderaan rosak dimasuki air dan terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk membaiki kenderaan mereka.

Justeru beliau berharap tindakan drastik daripada Kerajaan Negeri dan PBT dapat dilakukan bagi memastikan rakyat tidak terus berhadapan masalah sama di masa akan datang.

“Saya kesian pada penduduk Kajang kerana mereka bukan sahaja berdepan kesesakan trafik di sini tetapi juga masalah banjir.

“Saya minta jasa baik Menteri Besar baharu untuk turun pantau masalah rakyat kerana masalah ini berlaku sejak dahulu lagi.

“Pembangunan bagus di sini tetapi saluran air untuk kegunaan Kajang sangat mengecewakan,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pesara, Ibrahim Yusoff, 55, berkata masalah sampah ternyata paling ketara di daerah berkenaan dan kebanyakan perangkap sampah yang diletakkan di kawasan sungai tidak mampu menampung timbunan sisa pepejal yang banyak.

vpopkajang7

Beliau berkata banyak perangkap sampah diletakkan di kawasan sungai, namun malangnya sampah itu tidak dikutip secara konsisten oleh pihak Majlis.

vpopkajang3“Bila air naik, air tidak boleh jalan kerana terlalu banyak sampah di dalam sungai dan juga longkang.

“MPKj perlu angkat sampah secara kerap kerana ia menganggu saliran air, malah hujung longkang juga kecil jadi air tidak dapat mengalir dengan lancar.

“PBT hanya (kutip sampah) bila ada aduan, kalau tiada mereka diam sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, S. Bathumalai, 51, turut meluahkan pendapat sama berhubung masalah sampah yang serius di kawasan Kajang.

Beliau yang sudah menetap hampir 20 tahun di situ berkata masalah kutipan sampah berlaku sejak dahulu lagi, namun kerja-kerja pembersihan tidak kerap dilakukan.

“Mereka (MPKj) ada datang bersihkan tetapi seminggu atau sebulan sekali sahaja.

vpopkajang2“Banjir ini memang berpunca daripada sampah, kalau bersihkan pun tetap orang buang sampah juga, jadi saya harapkan PBT perlu lebih kerap buat kerja-kerja pembersihan supaya masalah sama tidak berulang lagi,” katanya.

Kelmarin, hujan lebat selama lebih sejam menyebabkan beberapa kawasan termasuk pekan Kajang dan Kampung Sungai Kantan dilanda banjir kilat.

Hujan lebat yang bermula kira-kira jam 4 petang itu mengakibatkan banjir berulang di kawasan sama selepas insiden berkenaan pernah berlaku 10 bulan lalu.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.