Categories
SELANGOR

Lewat lagi, Hospital Shah Alam dijangka beroperasi pertengahan 2015

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 25 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta bertegas menangani isu kelewatan operasi Hospital Shah Alam yang sepatutnya bermula Oktober ini, namun ditangguhkan hingga pertengahan tahun depan, kata Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi.

Daroyah berkata, KKM juga gagal mengadakan sebarang sesi perbincangan bersama Kerajaan Negeri berhubung isu terbabit yang sudah banyak kali tertangguh dan terus menjadi persoalan masyarakat setempat.

Katanya, Kerajaan Selangor terpaksa bertanya kepada Jabatan Kesihatan Negeri berhubung isu penangguhan yang sudah beberapa kali berlaku untuk dimajukan kepada KKM.

hospital shah alam sketch“Kalau operasi hospital berkenaan dijangka bermula pertengahan tahun depan, ia sangat lama dan Kerajaan Negeri sendiri tidak faham kenapa KKM tidak bertegas untuk menyelesaikannya segera dan hal berkenaan pertukaran kontraktor tidak boleh dijadikan alasan.

“Saya akan majukan masalah ini kepada Ahli Parlimen Shah Alam dan Kapar untuk dibawa ke sidang Dewan Rakyat kerana yang kita pentingkan adalah kepentingan rakyat. Hospital Klang kini sudah tidak mampu menampung bilangan pesakit yang semakin ramai dan kita perlukan Hospital Shah Alam untuk mengurangkan bebanan itu.

“Selain itu, kita mahu KKM meneliti pembinaan Hospital Kapar yang sudah ada dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan berharap pembinaannya tidak ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

daroyahTerdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menyatakan Hospital Shah Alam dijangka beroperasi pertengahan tahun depan dengan proses pentauliahan peralatan dan kelengkapan perubatan kini giat dijalankan.

Katanya, 2,300 bilik dan ruang di kompleks bernilai RM410 juta itu memerlukan pemeriksaan teliti termasuk proses percubaan peralatan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Subramaniam berkata, hospital yang sepatutnya mula beroperasi pada 2011 itu gagal disiapkan mengikut jadual, menjurus kepada kontraktor baharu dilantik pada tahun sama untuk menyiapkannya.

Beliau yang dipetik dari Bernama berkata, hampir 94 peratus kompleks itu sudah siap dan sedang dalam proses akhir memperindah serta mempersiap segala kelengkapan hospital sebelum dibuka kepada umum.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.