Categories
SELANGOR

MB: Bekalan air 96.3% kawasan kembali pulih

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 OKT: 932 kawasan iaitu 96.3 peratus daripada 968 kawasan yang terbabit dengan pencemaran air yang berlaku beberapa hari lalu pulih sepenuhnya.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, bekalan air di kawasan terbabit pulih dan boleh digunakan setakat jam 5 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri masih menyiasat pihak yang menjadi dalang menyebabkan pencemaran itu.

azmin“Setakat jam 5 pagi ini, daripada 968 kawasan yang terbabit, sebanyak 932 kawasan (96.3%) sudah pulih sepenuhnya,” katanya melalui laman makro Twitter.

Beliau berkata, Loji Semenyih juga beroperasi secara ‘over loading’ untuk menaikkan tahap di kolam imbangan bagi pembekalan air di USJ.

“Saya sudah meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk meningkatkan usaha di Loji Semenyih dan memulihkan segera penyaluran air bersih ke kawasan USJ,” katanya.

SYABAS memaklumkan empat Loji Rawatan Air (LRA) yang terjejas ekoran insiden tumpahan hidrokarbon sudah beroperasi semula secara berperingkat bermula jam 8 pagi semalam (13 Oktober).

syabassPada 11 Oktober lalu, LRA Sungai Selangor Fasa I, II, dan III serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas menyedari terdapat tumpahan hidrokarbon.

Penutupan operasi selama 12 jam itu menyebabkan 1,350 juta liter air atau 60 peratus bekalan air tidak dapat disalurkan kepada pengguna.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang giat melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar insiden tumpahan hidrokarbon di muka sauk Sungai Selangor, baru-baru ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.