Categories
NASIONAL

PDRM jangan senyap, dedah perkembangan terbaru kes kematian Beng Hock

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta supaya memberikan setiap perkembangan terbaru siasatan terhadap kes kematian Pembantu Politik DAP, Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong berkata, kes itu berprofil tinggi dan beliau merasakan perkembangan terkini siasatan perlu dimaklumkan.

“Saya rasa, rakyat Malaysia mahu tahu apakah yang sedang berlaku dan dijalankan polis untuk memastikan mereka yang bersalah dapat dihadapkan ke mahkamah.

Teoh-Beng-Hock-as-he-was“Saya menyeru KDN dan PDRM dapat mendedahkan segala kerja penyiasatan kepada rakyat Malaysia kerana kita mahu siasatan yang telus, yang mana tiada pihak boleh menyembunyikan kebenaran proses siasatan dilakukan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan lisan berhubung soalan yang dikemukakan Kok Seong memaklumkan, satu pasukan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi menyiasat punca kematian Beng Hock dengan mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya pada 5 September lalu, memutuskan kematian Beng Hock adalah kematian dalam tahanan apabila ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menolak dakwaan mangsa membunuh diri.

Keputusan itu sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.