Categories
SELANGOR

MB: Isu Bible akan ditentukan selepas bertemu MAIS, JAIS

Oleh AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 6 OKT: Isu pemulangan semula kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban yang diambil Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana mengandungi kalimah Allah akan ditentukan selepas pertemuan dengan Majlis Agama Islan Negeri Selangor (MAIS).

Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata beliau belum mahu memutuskan perkara ini sebelum beliau mendengar penjelasan daripada pihak JAIS.

“Saya belum mendapat penjelasan daripada Jais dan Mais. Itu perkara selanjutnya akan kita bincang sebab yang kita tumpukan minggu lepas adalah isu air dan beberapa perkara lain,” katanya kepada media di majlis sambutan Aidiladha bersama rakyat di Hulu Klang.

Pada 19 Jun lalu, Jais dititahkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya merujuk isu pengambilan 300 kitab Bible dari Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) itu kepada pihak pendakwa raya supaya diselesaikan menerusi proses mahkamah.

“Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat,” kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan itu.

Azmin, ketika ditanya sama ada Kitab Bible tersebut masih berada dalam simpanan Jais, mengatakan setakat ini belum ada sebarang maklumat mengenainya dan akan berbincang bersama Jais.

“Tertakluk kepada perbincangan nanti. Tidak adil adil untuk saya membuat keputusan sekarang sebelum saya dapat maklumat,” jelasnya.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.